SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Ingatan bagi pelupa: Bangga, sombong ciri rakus tercela

Abul-Laits berkata: "Rakus itu ada dua macam, rakus yang tercela dan tidak tercela tetapi lebih baik ditinggalkan.”

Rakus tercela ialah yang sampai melupakan kewajipan terhadap Allah atau mengumpulkan kekayaan untuk berbangga dan kesombongan.

Adapun yang tidak tercela iaitu tidak sampai meninggalkan kewajipan dan tidak bermaksud untuk kesombongan. Sebab antara sahabat juga ada yang kaya raya dan tidak dicela atau dilarang oleh Rasulullah SAW.

Abud-Dardaa' menyebut rakus yang tercela iaitu menyebabkan mengabaikan perintah dan kewajipan terhadap Allah.

Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Hafsah binti Umar berkata kepada ayahnya (Umar): "Sungguh Allah memberi kepadamu kebaikan sebanyak-banyaknya, dan melapangkan rezekimu maka jika engkau makan yang lebih baik daripada makananmu yang biasa dan memakai lebih halus daripada pakaian biasa."

Umar menjawab: "Saya akan mengajak engkau bertahkim kepada dirimu sendiri, lalu Umar mengingatkan keadaan Rasulullah SAW yang diketahui sendiri oleh Hafsah sehingga Hafsah menangis, kemudian Umar berkata: Saya mempunyai dua kawan, dan keduanya sudah menempuh jalan, maka jika saya menempuh jalan lain, maka tentu saya sampai ke jalan lain yang bukan jalan kedua kawanku itu, demi Allah saya akan sabar mengikuti kehidupan keduanya yang berat, semoga saya dapat mencapai kehidupan keduanya yang lunak dan puas."

Sumber: www. agamaberitaharian.blogspot.com/2009

Posted in Labels: | 0 comments

Doa ibu bapa wahana berkesan bentuk peribadi anak

Selepas peperiksaan dan cuti persekolahan yang semakin hampir, waktu begitu terluang bagi anak-anak berada di rumah. Justeru, ibu bapa perlu mengambil peluang ini bagi mendekati dan memahami, sekali gus mendidik anak mereka dengan penuh kasih sayang. Ini kerana, dengan pendidikan langsung daripada ibu bapa, anak akan rasa dihargai dan diberi perhatian.

Lantas, tindakan ini akan dapat mengelakkan mereka daripada membuang masa tanpa arah dan tujuan. Dalam konteks pendidikan anak-anak, ibu bapa harus berfikiran terbuka dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT dalam setiap tindakan yang mereka lakukan, bukannya menegur anak dalam keadaan merasakan merekalah yang terbaik.

Justeru, sebagai ibu bapa mereka sewajarnya mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pendidik yang baik. Mereka perlu menjadi contoh ikutan kepada anak-anak. Apatah lagi, sebagai orang yang sentiasa bersama dengan anak-anak, mereka perlu menunjukkan reaksi positif terhadap segala perkara yang berlaku di persekitaran.

Ini kerana, contoh ikutan adalah satu wahana yang amat berkesan membimbing seseorang ditambah pula kanak-kanak suka meniru apa yang orang lain lakukan.

Kanak-kanak akan melihat apa yang dilakukan oleh orang dewasa, semuanya adalah benar terutama ibu bapa mereka. Jadi, ibu bapa harus mengatur kehidupan mereka dengan sebaik mungkin untuk menjadi contoh dan ikutan terbaik.

Ibu bapa harus menunjukkan sifat kasih sayang dan saling memaafkan kerana ia adalah asas dalam pendidikan anak-anak. Ini kerana, kanak-kanak tidak memahami dan belajar erti kasih sayang sekiranya ibu bapa sentiasa menunjukkan kemarahan dan kekasaran dalam mendidik mereka.

Jika seseorang kanak-kanak dizalimi, sudah pasti ini akan melahirkan rasa permusuhan dalam lingkungan adik-beradik mereka. Justeru itu, menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa supaya tidak menyemai rasa hasad di kalangan anak-anak serta membesarkan dan mendidik mereka dengan penuh persamaan dan keadilan.

Satu lagi aspek ialah berkongsi sesuatu yang dialami. Peluang sebegini perlu diambil untuk memberitahu kepada mereka perkara positif yang hendak disampaikan. Misalnya, walaupun Rasulullah SAW sibuk dengan urusan orang Islam, jihad, pentadbiran negara dan sebagainya, baginda meluangkan masa untuk bersama cucu baginda bagi menceritakan pengalaman hidup dan mengajar perkara asas di dalam agama.

Ini kerana, hasil pendedahan awal sebegini akan mematangkan mereka dalam melayari kehidupan. Begitu juga, Rasulullah SAW mengetahui bahawa kanak-kanak tidak mampu untuk menilai kehidupan dengan akal semata-mata, namun mereka belajar sesuatu perkara daripada apa yang mereka lihat.

Ibu bapa hendaklah bergaul dan mengasah minda anak mereka dengan perkara bermanfaat sebagai persediaan menempuh kehidupan lebih mencabar.

Sewajarnya mendidik anak ialah dengan penuh kebijaksanaan dan menggunakan kaedah pendekatan yang dapat diterima dengan mudah.

Ini bermakna, jika ibu bapa ingin mengarahkan sesuatu perkara kepada anak-anak, perlulah dilihat apakah suasana dan situasi mereka. Dalam hal ini, ibu bapa mestilah prihatin terhadap keadaan bagaimana dan di mana anak mereka berada.

Jika larangan atau suruhan daripada ibu bapa kepada anak dibuat secara melulu dan dengan kekerasan, ini akan mengurangkan kesan ketaatan kepada ibu bapa bahkan anak-anak juga akan membantah dengan penuh emosi. Malah, dengan melakukan kekerasan terhadap anak, berkemungkinan akan mencederakan mereka sekali gus menambahkan lagi konflik di antara ibu bapa dan anak.

Berdoa kepada Allah SWT kerana ia adalah wahana yang amat berkesan dalam pembentukan peribadi anak-anak. Apatah lagi, Allah SWT adalah pemilik segala-galanya. Tambahan pula, jika dirujuk semula perjalanan hidup rasul-rasul terdahulu, mereka adalah manusia yang paling banyak berdoa kepada Allah SWT.

Mereka akan memohon agar Allah SWT melimpahi rahmat ke atas anak-anak mereka. Buktinya, Nabi Ibrahim AS berdoa agar baginda dan keturunannya dijauhkan daripada menyembah berhala serta mensyirikkan Allah SWT. Iaitu firman Allah, bermaksud ; "Dan (ingatkanlah) tatkala Nabi Ibrahim AS berdoa dengan berkata "Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala". (Surah Ibrahim (14) : 35).

Daripada contoh di atas jelas menunjukkan berdoa adalah cara yang amat berkesan dalam mendidik anak-anak untuk menjadi generasi berilmu, beriman dan bertakwa, ibu bapa perlu bijak dalam dalam mencorak generasi pelapis ini.

Jika mereka komited dengan tanggungjawab, sudah tentu generasi awalan yang ada sekarang berupaya menjadi umat contoh yang berjaya membina peradaban tersendiri suatu hari nanti.

Sumber: www. agamaberitaharian.blogspot.com/2009

Posted in Labels: | 0 comments

Usah ambil hak orang

BAGI mengingatkan umat Islam mengenai hal ini, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 188).

Imam ibn Al-Arabi menegaskan, ini adalah satu daripada kaedah utama dalam muamalat Islam dan asas bagi semua kontrak pemilikan. Erti ‘makan’ dalam ayat itu ialah penerimaan pemberian dan penguasaan. Digunakan lafaz ‘makan’ sebagai perumpamaan saja.

Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi: “Apa saja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya yang tiada satu faedah dan manfaat (buat Islam).”

Imam Al-Qurtubi pula memasukkan perjudian, pertaruhan, penipuan, rampasan, khianat, mengingkari hak orang lain yang sebenar, mengambil hak orang lain tanpa direstuinya, upah pelacuran, upah tukang tilik, bomoh, harga dan untung jualan arak, babi serta yang memang jelas menyalahi hukum Islam adalah tergolong dalam makanan harta secara batil.

Ini sebagaimana dinyatakan beliau: “Sesiapa yang memakan harta orang lain tidak di atas landasan izin syarak, dia makan secara batil.”

Syeikh Rashid Ridha meluaskan lagi bentuk dan erti ‘batil’ kepada apa saja bentuk bayaran yang tidak mempunyai nilai timbal balik pada pandangan syarak yang sebenar.

Begitupun, mungkin ada yang akan bertanya mengenai hukum terhadap hak ke atas harta yang dimenangi membabitkan proses kehakiman di mahkamah dengan alasan harta berkenaan disahkan oleh hakim.

Mengenai hal ini, Imam Al-Qurtubi menjelaskan: “Barang siapa memakan secara batil, walaupun jika seorang hakim memutuskan kemenangan kepadamu, sedang kamu sesungguhnya tahu kamu (hakikatnya) bersalah (menipu), yang haram tidak akan sesekali menjadi halal dengan keputusan hakim itu, dia hanya memberikan hukum berdasarkan zahir dan bukti, dan inilah (hukum yang) ijma.” (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 2/338).

Pandangan ini jelas sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku hanya manusia dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk diselesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah dari sebahagian lainnya, lalu aku memutuskan hukuman berdasarkan apa yang aku dengar saja.

“Barang siapa yang ku jatuhkan hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi).

Kesimpulannya, umat Islam perlu mengambil berat mengenai perihal pendapatan mereka kerana dibimbangi mereka lupa mengenai objektif dalam mendapatkan harta serta pendapatan secara halal sehingga menganiaya pihak lain.

Secara ringkasnya, setiap kita perlu mengelak terbabit dalam mengambil hak orang lain (batil) seperti:

- Menjual sesuatu yang memudaratkan masyarakat seperti menjual ubat dan makanan yang tamat tempoh, kesan buruk akibat tercemar atau mempunyai aib tapi disembunyikan.

- Mendapatkan pendapatan daripada upah menjampi yang bercanggah dengan Islam.

- Mengadakan kursus motivasi dengan ilmu karut dan meragukan seperti sandaran ramal masa depan sama ada melalui tarikh lahir, rupa paras dan yang sepertinya.

- Menyalahgunakan pekerja sehingga mereka disuruh melakukan tugasan yang tidak dibayar setimpal serta dizalimi dari sebarang kenaikan walau mempunyai merit tinggi dan baik.

- Mengambil upah hiburan (entertainment cost) daripada syarikat sebagai pra syarat untuk memastikan peluang kontrak dan tender sentiasa baik.

- Sengaja berhutang dengan niat untuk tidak membayar semula dan sentiasa beralasan untuk melepaskan diri daripada pembayaran semula hutangnya walau dalam keadaan mampu.

- Individu yang tidak termasuk dalam kategori asnaf zakat tetapi menerima wang zakat. Mereka juga ialah pemakan harta secara batil.

- Individu yang mengambil dan menikmati harta wakaf secara peribadi dan menjadikannya sebagai hak miliknya secara tetap. Ini juga ditegah dan termasuk dalam harta batil.

- Memakan dan menyalahgunakan harta anak yatim piatu.

- Hadiah yang diberi oleh pelanggan atas alasan kononnya berterima kasih atas kecekapan dan bantuan kita selaku pekerja yang menyiapkan kerja tepat waktunya atau segera. Ia dinamakan wang ‘ghulul’ atau ‘khianat’ oleh Nabi SAW.

- Mencipta dan menghasilkan filem, novel, penulisan majalah, artikel, kartun, animasi, drama, buku, cerpen dan sepertinya yang meraikan nafsu manusia, bertemakan nafsu dan hiburan bagi meraih keuntungan. Keuntungan yang diperoleh hasil daripada kerja ‘seni’ yang merosakkan jatidiri kemanusiaan.

- Mencuri dan mengambil kesempatan di atas musibah yang menimpa orang lain.

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Ibnu Abbas RA mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya manusia memiliki dua lembah yang penuh dengan harta, nescaya dia mencari (lembah harta) yang ketiga. Tiada yang memenuhi isi perut manusia, kecuali tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”

Posted in Labels: | 0 comments

Rumah terbuka medan erat silaturahim, bukan tempat bermegah

ISLAM amat menekankan betapa perlu beristiqamah atau mengekalkan amalan baik dalam kehidupan terutama selepas menjalani ibadah puasa. Inilah visi sebenar ibadah puasa yang akan membentuk jiwa yang bertakwa dan sentiasa beristiqamah dengan amalan kebajikan.

Sifat ini amat sukar untuk dipraktikkan kerana kita dibelenggu dengan gangguan syaitan yang sentiasa berusaha mengurangkan prestasi KPI umat manusia dalam perkara kebajikan.

Firman Allah SWT bermaksud: Maka tetaplah (istiqamah) engkau wahai Muhammad di jalan yang benar seperti yang diperintahkan bersama orang yang bertaubat dan janganlah melampaui batas. ( Hud ayat 112).

Dalam surah Syura ayat 15 menyebut: Oleh kerana keraguan ahli kitab dengan kebenaran, maka serulah mereka dan beristiqamahlah seperti yang diperintahkan dan janganlah melayani keinginan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya mereka yang berkata Tuhan kami adalah Allah kemudian mereka beristiqamah tidak akan berasa gentar dan gundah gulana. (Al-Ahqaf 13).

Seorang sahabat Sufian bin Abdullah As-Saqafi bertemu Baginda SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku agar tiada lagi perlu aku bertanya orang lain lagi selepas ini. Jawab Baginda SAW: Katakanlah, aku beriman kepada Allah dan beristiqamah. (HR Muslim).

Ilmuwan Islam berkata: Istiqamah itu adalah lebih baik dari seribu keramat.
Tiga golongan manusia akan muncul setelah selesai Ramadan iaitu:

· Mereka yang beribadat pada Ramadan seperti seorang wali Allah dengan solat, tilawah, sedekah dan segala kebajikan lain dan kembali seperti sediakala apabila selesainya Ramadan.

· Mereka yang tiada berasa apa-apa sama ada Ramadan atau tidak. Baginya semua sama dan tiada apa-apa makna dalam kehidupannya.

· Mereka yang menerima Ramadan dengan gembira dan melakukan ibadat padanya dengan penuh keikhlasan dan meneruskan ibadat sehingga selesainya Ramadan dan beristiqamah dengannya.


Bagi warga kota yang baru pulang dari kampung, kemeriahan hari raya akan disambut pula dengan menganjurkan rumah terbuka bagi menjemput sahabat handai rakan dan taulan serta saling menziarahi antara satu sama lain. Amalan ini sangatlah baik dan dipuji kerana Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Maka usahakanlah untuk mendamaikan mereka. (Al-Hujurat ayat 10).

Janganlah kita jadikan medan rumah terbuka sebagai tempat untuk berbangga dan bermegah-megah dengan kemewahan yang dikurniakan Allah SWT. Baginda Nabi SAW telah mengajar kita bagaimana mensyukuri nikmat itu dengan doa bermaksud: Ya Allah, jadikanlah aku hambamu yang sentiasa ingat dan bersyukur. Sikap bermewah-mewah ini kadang-kadang boleh membebankan setengah pihak dengan bebanan hutang dan akan membawa kepada pembaziran yang tidak digalakkan di dalam agama Islam. Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya. (Al-Israk 27).

Apa yang lebih hebat ialah mengadakan pertemuan antara sahabat lama bagi mengeratkan lagi silaturahim. Medan ini juga dijadikan platform untuk mengetahui perkembangan sahabat lama yang jarang bertemu selepas masing-masing meninggalkan alam persekolahan.

Apa yang malang ialah kita mendapati masih ada dalam kalangan sahabat yang menganggap pertemuan ini adalah sama ketika alam persekolahan dulu. Ini dirasai oleh penulis sendiri ketika mengadakan pertemuan beberapa hari yang lalu. Seolah-olah tiada roh persaudaraan antara mereka. Gurau senda mereka masih tidak berubah. Pertuturan masih tidak dijaga sehingga terkadang mengguris perasaan sahabat sendiri.

Sepatutnya majlis seumpama ini akan lebih bermakna jika diadakan program kekeluargaan dan menggunakan ruang ini untuk mempersoalkan isu semasa atau dengan pengisian yang terbaik bagi mengukuhkan persaudaraan Islam dalam kalangan masyarakat. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: Muslim yang sebenar ialah mereka yang dapat mengawal lidah dan anggotanya daripada menyakiti orang lain. Baginda SAW juga berwasiat kepada Sufian dalam hadis yang sahih apabila ditanya maksudnya: Wahai Sufian, inilah anggota yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat (sambil mengisyaratkan kepada lidah Baginda SAW).(HR Tirmizi).

Marilah sama sama difikirkan di manakah kedudukan kita selepas Ramadan berlalu bagi mencapai matlamat sebenar kewajipan ibadah puasa iaitu menjadikan ketakwaan sebagai asas kehidupan kita.

Sumber: www.bharian.com_Zamanuddin Jusoh

Posted in Labels: | 0 comments