Suami kena berazam jadi ketua keluarga terbaik
Posted On Friday, November 25, 2011 at at 8:00 PM by maoriKepemimpinan, teladan seorang ayah tarbiah paling berkesan bentuk peribadi anak
MASIH tidak terlambat untuk berazam sempena awal Muharam yang akan mendatang beberapa hari lagi. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memanjangkan usia di tahun baru bersama semangat dan keyakinan bahawa tiada yang boleh berubah melainkan jika kita berani memulakannya.
Masa berlalu pantas seperti tiada apa yang sempat kita rebut walaupun di awalnya kita berazam dengan pelbagai janji untuk diri sendiri. Sedar tak sedar, setahun masa berlalu dan kita masih tidak mengenal diri.
Mujur kita masih diberi waktu untuk memperbanyakkan amal dan bakti. Bala dan musibah masih belum cukup memberi peringatan kerana kita membutakan mata dan tulikan telinga daripada mengambil pengajaran.
Hakikatnya, jika tidak berani untuk berubah, tiada siapa yang boleh berhijrah. Sikap lalai dan cuai banyak memberi kerugian daripada laba yang diingini ramai. Pemimpin yang lalai daripada tanggungjawab boleh menggadaikan tanah air ke tangan asing dan menumbangkan struktur organisasi dibina dengan tonggak dan nilai murni.
Sebaliknya, kuasa dan wang ringgit menjadi taruhan sehingga sanggup meminggirkan agama dan bangsa. Pemimpin yang leka juga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan yang utuh dengan persefahaman dan tolak ansur, menghilangkan rasa hormat daripada yang dipimpin.
Sifat memimpin tidak akan terbina tanpa ilmu dan akhlak, menyeru kebaikan dan mengingkari kejahatan adalah semata-mata kerana janji kepada Allah sebagai khalifah yang akan meneruskan kesinambungan 'khaira ummah'.
Tetapi sekiranya pemimpin itu sendiri melakukan kerosakan di muka bumi, sudah tentulah sukar untuk membina sebuah kehidupan yang baik dan harmoni kerana maksiat dan kejahatan kepada Yang Esa hanya menjanjikan kecelakaan ke seluruh alam.
Justeru, yang paling penting, pemimpin keluarga mengetuai satu unit masyarakat kecil perlu berani berubah seiring hijrah. Latihan kepemimpinan bermula dengan mengatur keperluan ahli keluarga dan menunaikan hak serta tanggungjawab boleh membantu ketua menjadi pemimpin yang diteladani.
Jangan malu dengan perkahwinan, biarlah dicela kerana tidak seperti pinang dibelah dua, asalkan agama dijunjung di kepala. Pernikahan bermula dengan dua insan saling menghormati dan mempercayai sehingga lahirnya cahaya mata menyinari segenap ceruk rumah tangga dengan cinta dan kasih sayang.
Tarbiah mereka dengan ilmu dan akhlak dipesan Rasulullah SAW serta sahabat supaya kelak mereka menjadi ibu bapa yang menyambung legasi kekasih Allah dan mendidik generasi baru seperti yang pernah mereka lalui.
Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (Surah At Tahrim, ayat 6).
Jangan sesekali lalai dengan masa kerana itu merugikan ramai orang sehingga mereka terlambat. Di saat anak sudah mesra dengan maksiat, pemimpin keluarga baru hendak beringat, tetapi semuanya sudah terlambat.
Laporan remaja berzina di awal usia belasan tahun amat mengejutkan, mana mungkin itu terjadi jika pemimpin tidak cuai menjalankan tugas. Janin tidak berdosa di buang merata-rata adalah petanda ada sesuatu tidak kena dalam kepimpinan keluarga hari ini.
Pergaulan bebas bukan berlaku di kota tetapi juga di desa kecil yang warganya saling mengenali dan boleh berpesan sesama sendiri. Setiap pemimpin keluarga yang berada di bawah sinar telunjuk agama tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap ahli keluarga walau sedetik pun.
Seorang penyair, Hithan bin Mu'alla berkata: "Sesungguhnya anak berada di sekitar kita. Mereka adalah jantung hati kita yang berjalan di atas bumi. Apabila angin menerpa mereka, nescaya mata kita tak mampu untuk terpejam."
Sempena tahun baru, setiap pemimpin keluarga harus menanam tekad dan hasrat membina 'rakyat' dalam rumah tangganya dengan akidah, akhlak dan muamalah diseru agama. Di saat pertama bergelar pemimpin keluarga, mulakan hidup baru bertunjangkan Islam.
Biar tidak berilmu atau sijil berjela, kesediaan bergelar suami dan menghulur mahar adalah petanda segala-galanya lengkap di dada. Untuk memimpin, membimbing dan meneraju sebuah rumah tangga adalah beratus kali payahnya daripada mengetuai diri sendiri.
Oleh itu, janganlah memandang enteng terhadap hidup berkeluarga jika tidak mampu menjadi suami yang paling baik terhadap isteri dan ayah paling dihormati oleh anak.
Sumber: www. agamaberitaharian.blogspot.com