Golongan jin yang beriman
Posted On Saturday, June 23, 2012 at at 12:50 PM by maori
Menurut al-Biqaie surah yang lalu menerangkan tentang
Nabi Nuh a.s. yang merupakan Rasul Allah yang pertama diutus kepada para
penentang dan penyembah berhala. Mereka menolak ajakan dan seruan sedangkan
beliau salah seorang anggota masyarakat. Surah yang lalu diakhiri dengan doa
Nabi Nuh a.s. ke atas mereka. Nabi Muhammad SAW rasul yang terakhir dan kaum
baginda mempunyai banyak persamaan dengan kaum Nabi Nuh. Ini disebabkan
keagungan al-Quran dan ayat ini mengingatkan hal tersebut sambil mengisyaratkan
kecaman kepada masyarakat Arab yang tidak menyambut ajakan beliau dan nabi yang
menyampaikannya dari suku bangsa bahkan yang terdekat dengan mereka.
Sheikh Muhammad al-Hindi dalam kitabnya pada majlis yang
ketujuh berkata: "Aku telah
mengumpulkan ajaran yang dibawa oleh agama Islam dengan ajaran yang dibawa oleh
penemuan moden, seperti ucapan mereka.” Sesungguhnya setiap ilmu, kebaikan
dan keburukan yang berlaku dalam hati itu ditimbulkan oleh roh yang mulia dan
roh yang hina. Dalam hadis diungkapkan yang bermaksud di dalam hati itu ada dua
kemahuan (kehendak). Kemahuan (kehendak) dari malaikat dan kemahuan (kehendak)
dari syaitan.
Firman Allah SWT: Katakanlah (hai Muhammad):
Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya: Telah mendengarkan sekumpulan jin (akan
al-Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Quran
yang menakjubkan.
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT memerintahkan
Rasulullah SAW memberitahu kepada umatnya, bahawa jin mendengar al-Quran, lalu
mereka beriman, membenarkannya serta tunduk kepada Allah SWT."
Menurut Al-Maraghi, Allah SWT mengeluarkan perintah
kepada rasul-Nya agar memberitahu kepada para sahabatnya tentang kisah-kisah
jin yang diwahyukan kepadanya kerana ia mempunyai banyak faedah dan manfaat kepada
manusia, antaranya:
- Sebagai
makluman bahawa Nabi SAW itu diutus kepada bangsa manusia juga kepada
bangsa jin.
- Sebagai
makluman bahawa jin itu mendengar pembicaraan dan memahami bahasa kita.
- Sebagai
makluman bahawa jin itu dibebankan dengan tanggungjawab (mukalaf) sama
seperti manusia.
- Sebagai
makluman bahawa jin yang beriman telah berdakwah kepada jin lain dari
kabilahnya agar mengaku beriman.
- Supaya kaum Quraisy mengetahui bahawa jin itu asalnya bersikap derhaka ketika mendengar al-Quran dan apabila mengetahui kemukjizatannya jin itu beriman kepadanya.
Secara zahirnya, ayat ini menunjukkan betapa nabi
mengetahui para jin yang mendengar wahyu yang diturunkan kepadanya, tetapi
bukan melalui kesaksian mata.
Dalam Ensiklopedia Abad XX karya Muhammad
Farid Wajdi dinyatakanmakhluk yang bersifat hawa (udara) atau api, berakal
dapat dibentuk dan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan yang berat.
Sayyid Sabiq seorang ulama Mesir mendefinisi jin sebagai
roh berakal, berkehendak, mukalaf (dibebani tugas keagamaan oleh Allah seperti
manusia) tetapi tidak berbentuk materi, kasar dan mereka mempunyai kemampuan
untuk tampil dalam pelbagai bentuk.
Firman Allah SWT: (yang) memberi petunjuk kepada
jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan
mempersekutukan seseorangpun dengan Tuhan kami.
Menurut Al-Mawardi, ayat itu ada dua pendapat:
- Segala
perkara yang mendapat petunjuk.
- Ke arah makrifatullah.
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu jalan yang lurus."
Hamka berkata: "Inilah
kesan pertama yang tinggal dalam diri mereka setelah mendengar al-Quran dibaca
Nabi. Mula-mula mereka takjub, merasa hairan tercengang mendengar ayat itu
dibaca". Ini kerana isi kandungannya tidak ada jalan membantah dan
menolak jika hatinya benar-benar bersih.
Firman Allah SWT: Dan bahawasanya Maha Tinggi
kebesaran Tuhan kami, dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak.
Sebenarnya perkataan jaddu dalam ayat
ini ada sepuluh tafsiran:
- Urusan
tuhan kami seperti pendapat al-Suddi.
- Perbuatan
tuhan kami seeperti pendapat Ibn Abbas.
- Peringatan
tuhan kami seperti pendapat Mujahid.
- Kekayaan
tuhan kami seperti pendapat Ikrimah.
- Ujian
tuhan kami seperti pendapat al-Hasan.
- Kerajaan
tuhan kami seperti pendapat Abu Ubaidah.
- Kemuliaan
dan keagungan tuhan kami seperti pendapat Qatadah.
- Kenikmatan
tuhan kami atas makhluk-Nya seperti pendapat al-Dahhak.
- Ketinggian
tuhan kami seperti pendapat Sa'id bin Jubair.
- Mereka yang prihatin dengan datuk, iaitu bapa kepada ayah. Ini pendapat daripada ucapan jin kerana kejahilan.
Syed Qutub berkata: "Kata-kata al-jad bererti
bahagian, habuan, kedudukan dan martabat iaitu kebesaran dan kekuasaan semuanya
merupakan makna-makna yang terpancar dari kata-kata itu dan sesuai dengan
tempatnya."
Maksud umum dari makna tersebut adalah mengungkapkan
perasaan hati bahawa Allah SWT Yang Maha Tinggi dan Maha Agung yang suci dari
mempunyai isteri dan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan.
www.utusan.com.my_dr.zulkifli mohamad albakri