SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Belajar dari jantung!

Jantung tidak mementingkan diri. Dia tahu organ-organ lain di dalam badan memerlukan bantuannya. Dia bekerja dalam jemaah, ada "team work". Jantung mengepam 5 Liter darah dalam masa satu minit. Jumlahnya hampir-hampir satu baldi air. Dia bekerja tanpa rehat,dia berdenyut sepanjang masa sehingga mendapat arahan dari tuannya Yang maha Kuasa iaitu Allah untuk berhenti.


Terhentinya denyutan nya bermakna ajal tuan jasadnya sudah sampai.Sekiranya manusia tidur, otaknya akan berehat. Tapi jantungnya akan terus menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah dikala kita tidur dan tanpa sedar.

Jantung menerima arahan dari SA node. Bahasa mudahnya, SA node ini seperti seorang ketua dan jantung akan mematuhi setiap arahan ketuanya. Dia tahu betapa penting dirinya. Dia perlu selalu berinteraksi, menjaga batas perhubungannya. Sekiranya dia berhenti berinteraksi, akan berlaku "sudden cardiac death". Jantung akan tiba-tiba mati.

Satu lagi perkara mengenai jantung - dia tidak akan berhenti bergerak. Apa yang akan terjadi kalau jantung berhenti bergerak? Darah akan bergumpal dan seterusnya menyebabkan strok dan serangan sakit jantung yang akhirnya menyebabkan kematian.

Jantung mengajar kita agar sentiasa belajar .Usaha pembelajaran adalah satu usaha berterusan. Sebagai seorang muslim, kita perlu belajar dari buaian sehingga ke liang lahad.

Jantung ini patuh pada penciptanya, Allah. Kalau dia patuh pada selain Allah,nescaya huru haralah degupan jantung dan pengedaran darah dalam badan kita.jantung akan berdenyut secara tak sekata iaitu arrhythmia.

Kadangkala kita tidak sedar betapa hebatnya kasih sayang Allah buat hambaNya. Derhaka macam mana pun kita pada Allah, jatung tetap berfungsi dengan baik. Semua itu nikmat. Nasihat saya buat diri saya dan anda semua… bertaubatlah sebelum jantung itu berhenti berfungsi kerana mematuhi perintah RabbNya.
Diwaktu itu segala penyesalan tiada berguna lagi.

Posted in Labels: | 0 comments

Diam


Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam memberi komen,
Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam menegur,
Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam memberi nasihat,
Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam memprotes,
Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam persetujuan,

tapi

Biarlah DIAM kita mereka faham ertinya,
Biarlah DIAM kita mereka terkesan maknanya,
Biarlah DIAM kita mereka maklum maksudnya,
Biarlah DIAM kita mereka terima tujuannya,

kerana

DIAM kita mungkin disalah tafsir,
DIAM kita mungkin mengundang syak wasangka,
DIAM kita mungkin disilap diterjemah,
DIAM kita mungkin tidak membawa apa-apa maksud,

justeru itu
jika kita merasakan DIAM itu terbaik, seharusnya kita DIAM,
namun seandainya DIAM kita bukanlah sesuatu yang bijak,
berkatalah sehingga mereka DIAM.

Posted in Labels: | 0 comments

Empat syarat isteri masuk syurga


Terdapat hadis Nabi s.a.w yang menceritakan keadaan di neraka, antaranya ramai kaum wanita di neraka dan wanita mendapat seksaan disebabkan dosa besar yang mereka lakukan ketika di dunia.

Bagi wanita yang menjadi isteri, hanya empat syarat untuk mereka ke syurga. Daripada Anas, Nabi bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad). Wanita tidak perlu keluar berjihad atau berperang, cukup sekadar mengerjakan haji atau umrah bagi yang cukup syaratnya. 

Daripada Aishah katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad? “ Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.”

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji” (Hadis Riwayat an-Nasa’i).

Dari Abdullah bin Umar katanya: Rasulullah bersabda bermaksud: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka.” 
Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?” 

Rasulullah bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. “ 

Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?“ Rasulullah bersabda maksudnya: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. 

“Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.” 

Dalam hadis lain, dari Ali bin Abi Talib: Aku dengar Rasulullah bersabda maksudnya: “Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahanam selama tujuh kali umur dunia. Mereka adalah: 

1. Orang yang gemuk tapi kurus 
2. Orang yang berpakaian tetapi telanjang 
3. Orang yang alim tapi jahil 
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa tiga golongan manusia yang akan menerima seksaan di neraka jahanam selama tujuh kali umur dunia. 

Hanya Allah yang Maha Mengetahui berapa juta tahun umur dunia ini daripada mula penciptaannya sehingga berlaku hari kiamat. Huraian untuk tiga golongan itu adalah seperti berikut: 

Pertama, orang yang gemuk tapi kurus. Mereka ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat. Kenapakah wanita dikatakan kurang beribadat? Ramai wanita yang meninggalkan solat terutama di akhir haidnya. 

Wanita kurang mengambil perhatian sebahagiannya tidak begitu prihatin. Contohnya, wanita yang bekerja di pejabat, apabila habis darah haidnya jam 3 petang biasanya mereka tidak akan mandi hadas di pejabat dan hanya mandi apabila pulang ke rumah. 

Hakikat sebenarnya, dia sudah meninggalkan solat fardu wajib. Wanita juga tidak mengambil berat bab solat ketika kesibukan majlis kenduri-kendara. 

Begitu juga dengan puasa Ramadan yang ditinggalkan semasa haid atau nifas, apabila melebihi tahun berikutnya, di samping puasa wajib dibayar dan dikenakan fidyah tetapi ramai wanita tidak mengambil berat fidyah yang wajib ditunaikan. 

Sebahagian wanita yang berkemampuan masih menangguh kewajipan menunaikan fardu haji, dia lebih suka menghabiskan waktu cuti untuk melancong. 

Kedua, orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat kepada agama. Di tafsirkan juga wanita yang sudah lengkap menutup aurat tetapi masih tidak taat pada agama seperti wanita yang sempurna menutup aurat tetapi kain pakaiannya masih nipis, jarang atau ketat sehingga menampakkan bentuk badan mereka dan menampakkan perhiasan di dada. 

Mereka seolah-olah tiada berpakaian (bertelanjang). Sesuailah dengan hadis Nabi yang mengatakan wanita berpakaian seksi tidak mencium bau syurga. Rasulullah bersabda maksudnya: “Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya: Lelaki yang tangan mereka mengenggam cambuk yang mirip ekor sapi untuk memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang dan lenggang-lenggok. Kepalanya bergoyang-goyang seperti bonggol unta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak pula mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim). 

Pada dasarnya, apa saja bentuk pakaian boleh dipakai, asalkan memenuhi syarat berikut: 

1. Menutup seluruh tubuh kecuali wajah dan telapak tangan.
2. Tidak nipis dan jarang. 
3. Longgar dan tidak memperlihatkan lekuk-lekuk dan bentuk tubuh (tidak ketat) 
4. Bukan pakaian lelaki atau menyerupai pakaian lelaki. 
5. Tidak berwarna-warni dan bermotif terlalu menjolok mata. Sebab pakaian yang  
    menjolok mata akan mengundang perhatian kaum lelaki. 

Ketiga, orang alim tapi jahil ialah golongan ulama yang menghalalkan perkara haram bagi kepentingan peribadi. 

Syarat layak digelar ulama adalah takutkan Allah. 

Seorang alim yang faqih sekalipun, namun apabila tidak ada takwa, di sisi Allah mereka tidak layak digelar ulama walaupun manusia seluruhnya memanggilnya ulama. 

Takut kepada Allah bagi seorang ulama ada dalam beberapa hal antaranya, mengeluarkan pandangan atau fatwa benar-benar kerana Allah dan untuk kepentingan Islam, bukan pandangan atau fatwa kerana takutkan individu tertentu atau kelompok tertentu atau untuk menagih sesuatu habuan dari sesiapa. 

Selain itu, takut kepada Allah bagi seorang ulama adalah sentiasa hidup dalam keadaan amanah kepada ilmu dengan cara beramal dengan ilmunya dan memperjuangkan kebenaran ilmu itu supaya manusia benar-benar menerimanya sebagai panduan kehidupan. 

Sekiranya seseorang ulama itu sanggup menghalalkan diharamkan Allah atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah atau membisu sahaja walaupun kemungkaran dilakukan oleh umarak di hadapan matanya, maka ulama seperti itu amat dibenci Allah. 

Itulah yang dikatakan orang alim tetapi jahil. Marilah kita menginsafkan diri dan janganlah melakukan sesuatu yang mendatangkan dosa kepada Allah. 

Buatlah amal soleh sebanyak-banyaknya semoga kita menjadi mukmin yang sentiasa diredai dan dirahmati Allah. Kita diberi pilihan untuk memilih jalan yang lurus atau bengkok. 

Jalan yang lurus adalah jalan ke syurga sedangkan jalan yang bengkok adalah jalan menuju ke neraka.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Kaya tapi hidup derita


MANUSIA sebenarnya cenderung menjaga sesuatu yang dianggapnya berharga dalam hidupnya. Sebaliknya, tidak akan mempedulikan atau membuang saja sesuatu yang dianggap tidak berharga.

Semakin bernilai sesuatu itu, semakin bersungguh-sungguh kita menjaganya.
Sesetengah manusia sangat menjaga hartanya kerana dianggap hartanya sangat berharga.

Ada pula yang sentiasa menjaga dan merawat mukanya supaya kelihatan awet muda kerana kecantikan adalah segala-galanya. Ada pula yang bermati-matian mempertahankan kedudukan kerana itu yang dianggap bernilai.

Kalaulah begini perilaku manusia, rupa-rupanya kita masih menganggap harta kebendaan adalah segala-galanya. Namun, ada juga yang bermati-matian menjaga hidayah dan petunjuk Allah.

Bagi golongan itu, mereka yakin hidup ini tidak akan selamat dan tenang tanpa bekalan taufik dan hidayah daripada Allah. Taufik dan hidayah sangat penting dalam diri manusia.

Pernah satu ketika seorang yang dibutakan matanya dalam permainan diminta supaya berjalan, tiba-tiba menangis. Dia berasa langkahnya berisiko, bimbang terhantuk dan jatuh tangga. Begitulah akibatnya kalau tidak dapat panduan.

Mereka yang berjalan tanpa arah sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan bingung. Ramai golongan kaya yang menderita dengan kekayaan mereka.

Pendek kata, orang yang jauh daripada petunjuk Allah dan al-Quran, apa saja yang Allah kurniakan kepadanya pasti menjadikan dirinya hina.

Harta, pangkat, kedudukan atau penampilan kalau tidak diiringi ketaatan pasti menyeksakan.

Syaitan adalah penjajah yang tidak pernah berputus asa. Dalam satu perisytiharan, menurut hadis Rasulullah, syaitan pernah berkata: “Demi kebesaran-Mu, aku bersumpah wahai Allah, aku tidak akan berpisah dengan anak Adam selagi nyawanya masih di badan.”

Bayangkan kesungguhan syaitan, isytihar perang dengan manusia jika kita masih main-main pasti akan mudah tertipu. Syaitan ibarat tukang joget atau penari.

Maknanya, syaitan tahu siapa sasarannya dan bagaimana untuk melakukannya. Kita memberikan tumpuan kepada yang nampak di mata, yang besar biasanya menjadi tumpuan, yang kecil tidak berapa dipedulikan.

Kita kadangkala lupa sesuatu yang tidak nampak itu sangat berharga. Iman kecil saja, tidak nampak lagi tapi sangat berharga. Jadi dalam hidup ini lihat dan utamakan pandangan Allah.


Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Prasangka buruk makan diri


HATI manusia tidak dapat dikawal untuk mereka fikir, kata dan tuduh apa saja. Itu semua di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka itu kemudian akan menghasilkan tindakan dan pelbagai tindak-tanduk. Jika baik hati mereka, maka baiklah cakap mereka, baiklah layanan dan sangkaan mereka. Tetapi jika hati kotor, apa lagi tindakan akan diterjemahkan segala hitam yang bersarang di hati itu. Sebenarnya yang mengukur baik dan buruk seseorang bukannya manusia kerana mereka tidak mempunyai kuasa melakukannya. 

Yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita ialah Allah. Dialah yang menilai kebaikan kita, memberi rezeki serta memberi kehidupan kepada kita.
Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring.
Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir. Contohnya, jika hati yang berbaur dosa dan dengki akan mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan itu memakai susuk. 

Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong. 

Memang manusia punya hak untuk bersangka. Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmoni, disenangi dan mudah mendapat kawan. Jika sangkaan itu buruk, jiwa pastinya akan sengsara. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata semua tidak kena. 

Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan. Tabiat bersangka buruk terkena pada semua golongan tidak kira orang tua dengan cara dan kepakarannya manakala orang muda dengan kehangatannya.
Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita. 

Lihatlah kisah dan sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya yang menaiki seekor keldai. Dalam perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.” Selepas itu, Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah. Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.”

Kemudian mereka bertukar posisi lain pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah. Orang mengata juga, anak macam itu buat ayahnya macam hamba. Justeru, cara terbaik ialah merawat kembali penyakit buruk sangka.

Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri. Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).

Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita. Adakah kawan kita itu mendorong ke arah kebaikan atau keburukan? 
Jika kita dapat menewaskan nafsu jahat dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup pasti berpihak kepada diri kita. Proses berubah jadi baik mungkin tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal sudah bertekad dan ada kesungguhan, Allah pasti permudahkan jalannya. 

Ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada dan terbuka. Justeru, tepuk dada tanya diri. Mahu berubah atau tidak? 

Beberapa cadangan diutarakan, antaranya: 
-       Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat secara positif. 
-       Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan azab Allah apabila anda berprasangka buruk. 
-       Sucikan hati dengan banyakkan berzikir. 
-       Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. 
-       Luangkan masa untuk banyak melakukan muhasabah diri.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Sifat pemaaf mampu elak perpecahan

PEMAAF antara sifat luhur yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Banyak ayat al-Quran dan hadis. menekankan keutamaan sifat itu. Ia juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132). Diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf. Bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi?


Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal. Kadang kala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekali pun. Punca itu boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan. Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah sepatutnya.


Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar.


Jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan hingga melakukan pembunuhan.


Sebagaimana yang kita dengar pelbagai kes tidak masuk akal berakhir dengan tragedi pembunuhan menyayat hati.


Sebagai makhluk yang lemah dan sentiasa melakukan kesilapan, berdoalah kepada Allah supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekali pun kita berada di pihak yang benar.


Apa yang mendukacitakan, ramai kalangan isteri atau suami, ibu atau bapa terlalu berat untuk memaafkan kesilapan pasangannya dan kesalahan anak-anak mereka.

Mereka memiliki sifat keras hati dan tidak mahu mengalah apabila berada dalam situasi genting. Malah, ada yang sanggup bersumpah untuk tidak mengampunkan dosa dan kekhilafan sekali pun diminta berkali-kali.

Sikap negatif seumpama itu jika dibiarkan berleluasa dalam keluarga hanya membawa kepada pecah-belah dan anak-anak menjadi mangsa perceraian.


Rasulullah adalah contoh terbaik kerana sifat terpuji terserlah pada diri Baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati. Biar pun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan Baginda. Antara kisah paling masyhur berkenaan sifat mulia Baginda adalah diracun seorang perempuan Yahudi. Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu. Namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.


Saidatina Aisyah berkata: “Rasulullah tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri Baginda mahu pun pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan Baginda tidak pernah membalas sedikit pun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Anas menceritakan: “Ketika saya tengah berjalan bersama Rasulullah dan pada ketika itu baginda tengah mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: ‘Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih).

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas dan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.


Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah. Mereka tidak terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan. Pemaaf adalah mereka yang mulia di dunia dan akhirat.


Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Masa muda tidak lama

ADA satu surah khusus di dalam al-Quran iaitu surah al-Asr yang menegaskan manusia berada dalam kerugian jika tidak memanfaatkan masa untuk beriman dan beramal soleh serta tidak berpesan-pesan sesama manusia dengan kebenaran dan kesabaran.

Rasulullah s.a.w berpesan kepada umatnya supaya memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati.


Masa muda jangan disia-siakan, nikmat kesihatan perlu digunakan bagi menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin. Sesungguhnya apa yang terjadi pada hari tua bergantung apa yang kita lakukan ketika usia muda. Masa muda tidak akan bertahan lama kerana apabila tiba hari tua, zaman muda hanya tinggal kenangan.


Kehidupan pada hari tua kadang-kadang tidak indah lagi kerana tenaga sudah lemah, selera makan mulai menurun malah menghadapi pelbagai macam penyakit. Remaja yang cemerlang akan menjadi warga emas yang gemilang. Manakala yang kecundang menguruskan masanya akan menjadi warga emas yang malang.


Bukan rugi di dunia saja, malah di akhirat kelak akan dipersoalkan ke manakah usia remaja kita dilaburkan? Nikmat kesihatan cukup berharga bagi setiap manusia.

Seluruh tubuh badan manusia sebenarnya adalah hak milik Allah, maka wajib kita jaga amanah ini sebaik mungkin. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan kita disifatkan oleh al-Quran sebagai mencampakkan diri ke lembah kebinasaan.

Namun, ramai tidak menghargai nikmat sihat ini sehingga membinasakan diri dengan mengambil dadah, ketagihan alkohol mahupun rokok, atau menjadi individu yang sengaja mendedahkan diri kepada kecelakaan dan kemungkaran.


Dengan itu, gunakan masa sihat untuk menuntut ilmu dan pengalaman serta membantu yang lain di samping melaksanakan ibadat. Masa kaya juga adalah nikmat ujian bagi kita.

Ramai yang hanyut dan terpesona dengan kekayaan yang dimilikinya. Kita perlu sentiasa menyedari kekayaan itu tidak kekal, ia boleh bertambah atau hilang dalam sekelip masa.


Kekayaan adalah amanah, maka carilah kekayaan dan gunakan mengikut peraturan Allah. Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilanda laknat dan diazab.

Bukan juga seperti Tha’labah yang kaya harta tetapi bakhil. Kekayaan adalah alat mencapai kebaikan dan keburukan. Dengan harta kita boleh menjadi dermawan, dengan harta juga kita boleh menjadi tamak haloba.


Sama juga halnya; dengan harta membolehkan seseorang masuk ke syurga dan dengan harta juga kita boleh ke neraka. Masa dan peluang terakhir yang disebut Rasulullah ialah masa hidup sebelum mati.


Saidina Ali berkata: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedialah dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (nikmat) selepas mati.” Maka fikir-fikir dan renungkanlah.


Justeru, panjatkanlah rasa kesyukuran kerana sehingga ke saat ini kita masih lagi dapat bernafas di atas bumi Allah, diberi kesihatan, kecergasan dan kesenangan masa untuk menjadi manusia cemerlang di dunia dan akhirat.


Ternyata benar, masa itu ibarat senjata tajam yang amat berguna jika digunakan dengan cara betul dan baik. Namun jika tidak betul cara mengguna masa ketajaman masa itu pasti akan memakan diri sendiri.


Bagi golongan yang tidak memanfaatkan masa sebaik mungkin akan ketinggalan dan kemunduran termasuk dalam pekerjaan, rumah tangga, pelajaran, pergaulan dan teknologi.

Kita juga tidak boleh hanya menanti kejayaan dan kecemerlangan datang bergolek. Sedarilah, masa berlalu begitu pantas tanpa kita sedari.
Ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.


Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments