SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Awas Jerat Hutang


DALAM kehidupan dunia yang semakin canggih pada hari ini, segala urusan nampak seperti dipermudahkan. Segalanya berada di depan mata, apa saja yang dihajatkan boleh direalisasikan asalkan berkemampuan.

Namun yang menjadi masalah segelintir anggota masyarakat kita pada hari ini apabila dibebani hutang. Terlalu banyak 'fasiliti' disediakan oleh pihak tertentu untuk ‘memudahkan’ kita berhutang. Tidak kira kereta, rumah, perabot hatta bajet untuk melangsungkan perkahwinan, tentu ada pihak yang ‘sedia’ memberikan perkhidmatan meminjamkan wang. Kerana hutang juga, realiti yang berlaku hari ini apabila kadar kemuflisan semakin meningkat setiap tahun. 

Lebih menyedihkan apabila melihat ramai kalangan mereka diisytiharkan muflis adalah golongan muda-mudi. Jika tidak percaya, pergilah ke mahkamah tinggi dan lihat, setiap hari ada kes bankrap didaftarkan. Jika diukur pada tahap umur, mereka sepatutnya sedang membina asas tapak yang kukuh untuk kehidupan masa hadapan tetapi malangnya, hutang ini memusnahkan sebahagian perancangan masa depan mereka.
Namun, siapa harus dipersalahkan kalau bukan diri sendiri. Ini kerana, faktor yang membawa kepada gejala ‘berhutang’ atas kehendak serta pilihan sendiri. 

Paling utama, ia kerana desakan hawa nafsu serta keinginan untuk memiliki sesuatu di luar kemampuan diri. Pantang melihat orang lain ada, hati juga berkobar- kobar untuk turut memiliki benda yang sama. Orang ada kereta baru, dia juga tidak mahu kalah untuk memiliki kereta baru. Jiran rumah membeli gelang emas baru, dia juga membeli barang kemas hingga ke siku. 

Keduanya, pengaruh daripada sahabat atau jiran tetangga sering memberi galakan untuk berhutang. Lebih sukar lagi jika jiran atau sahabat handai itu sendiri adalah ejen kepada sesebuah produk dan setiap hari mempengaruhi kita untuk memiliki sesuatu yang sebenarnya kita tidak perlukan. 

Ketiganya, rasa tidak puas dan bersyukur dengan apa yang ada. Kononnya mahu memperbaiki kehidupan dari semasa ke semasa, tetapi terlupa kesan dan akibat daripada berhutang tersebut. 

Antara faktor lain yang dilihat turut menyumbang kepada masalah hutang ini ialah keinginan memiliki sesuatu benda dengan cepat walaupun pada hakikatnya, ia di luar kemampuan individu tersebut. 

Kerana itu, sebelum merancang untuk memiliki sesuatu yang berada di luar kemampuan, fikirkan dulu adakah barang itu satu keperluan atau kehendak. Jika ia satu keperluan (dharuriyat), maka Islam mengharuskan untuk berhutang. 

Sepertimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah; berkata seseorang: “Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda, Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya.” 

Maka berhati-hatilah dan sentiasa berfikir secara bijak sebelum mengambil keputusan untuk ‘berhutang’, terutamanya apabila berhutang dengan pihak yang kini mengamalkan sistem hutang ‘ala Islam’ sedangkan mengamalkan konsep riba. 

Menggunakan pelbagai istilah dan konsep Islam hanya untuk mengabui mata masyarakat, padahal hakikatnya, ia tidak lebih daripada sekadar ‘helah’ untuk menarik masyarakat supaya terjebak dalam hutang. 

Selain daripada kemungkinan berhadapan dengan tindakan muflis, antara kesan kegagalan untuk melunaskan hutang adalah merasa tidak tenteram. Sentiasa dikunjungi rasa tidak aman, takut dan terancam. 

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang meminjam dengan ‘along’ atau ‘ceti haram’ kerana bukan mereka saja yang diperhatikan, malah ahli keluarga lain serta harta benda turut menjadi mangsa ketidakperikemanusiaan mereka. 

Antara kesan negatif akibat hutang adalah punca ke arah gejala hidup tidak sihat seperti mencuri, menipu dan sebagainya. 

Tentunya orang yang tersepit akan melakukan apa saja untuk melepaskan diri tanpa memikirkan halal dan haram. Apa yang lebih ditakuti adalah fakta ada sesetengah orang sanggup menjual diri, isteri atau anak gadis kepada pemberi pinjaman sebagai langkah penyelesaian kepada hutang yang tidak tertanggung. 

Saya juga pernah terdengar tazkirah disampaikan seorang ustaz di dalam radio yang memetik sebuah hadis daripada Rasulullah bermaksud: “Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) hinggalah dia menjelaskan hutangnya.” 

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud: “Semua orang yang mati syahid diampuni dosanya kecuali hutangnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, An-Nasa’I dan Ibn Majjah). 

Dalam sebuah kisah, pernah dinyatakan bahawa Rasulullah sendiri tidak akan menyolatkan jenazah orang yang masih dibelenggu hutang. Hadis diriwayatkan Saidina Ali RA bahawasanya apabila didatangkan kepada baginda satu jenazah, baginda tidak bertanya mengenai amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, Rasulullah meminta sahabatnya agar menyembahyangkan jenazah itu atau baginda sendiri yang akan menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang jenazah akan diserahkan atau ditanggung oleh Baitulmal. 

Begitu berat tanggungjawab apabila berhutang dengan manusia. Apabila tidak dilunaskan, ia akan menjadi dosa yang tidak terampun sehinggalah si pemberi hutang itu meredakannya. Tidak seperti dosa yang dilakukan kepada Allah terhapus sekiranya seorang hamba itu bertaubat atas dosa dilakukan kepada-Nya. 

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seorang hamba itu menghadap Allah nanti selepas dosa-dosa besar yang lain ialah, seorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang masih belum diselesaikan.” 

Maka beringat-ingatlah sebelum menurut desakan hawa nafsu yang sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang telah kita ada.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Sambunglah silaturahim di bulan Ramadan


SEMOGA kita juga merindukan kehadiran Ramadan sebagaimana rindunya Rasulullah s.a.w dengan bulan ini.

Diharap doa yang kita baca selama ini “Ya Allah berkahilah hidup kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah usia kami hingga bulan Ramadan” dimakbulkan. 
Alangkah beruntung jika dapat bertemu bulan yang mulia itu. Apabila tibanya Ramadan nanti, sama-samalah kita berdoa sebagaimana Rasulullah lakukan. 

“Ya Allah, terbitkanlah (dan tampakkanlah) hilal kepada kami (diiringi) dengan keberkahan dan keimanan serta keselamatan dan keislaman, (jadikanlah dia) sebagai hilal kebaikan dan petunjuk, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.” (At-Tarmidzi (9/142), imam Ahmad (1/162), Ad-Darimi (2/7) dan lain-lain, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani rahimahullah dalam Shahih Al-Wabilush Shayyib, hal. 220). 

Untuk menjadikan Ramadan kali ini lebih bererti, marilah sama-sama kita menghayati beberapa tip penting ketika menyambut Ramadan daripada hadis nabi antaranya, bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu melakukan puasa dan membaca kitab-Nya. 

Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. 
Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari kiamat. 
Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan orang miskin. 

Muliakanlah orang-orang tuamu, sayangilah yang muda, sambunglah tali persudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya, dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarkannya. 

Kasihanilah anak-anak yatim, nescaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu. 
Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hambanya dengan penuh kasih; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya, dan mengabulkan mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya. 

Wahai manusia! Sesungguhnya diri-dirimu tergadai kerana amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punggungmu berat kerana beban (dosamu), maka ringankanlah dengan memanjangkan sujudmu. 

Ketahuilah! Allah bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri dihadapan Rabb Al-’Alamin. 

Wahai manusia! Barang siapa di antaramu memberi makan berbuka puasa kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba dan ia diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu. (Sahabat-sahabat bertanya: ” Ya Rasulullah! Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.” Rasulullah meneruskan: “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air. “ Wahai manusia! Siapa yang memperbaiki akhlaknya di bulan ini dia akan berhasil melewati sirath pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. 

Barang siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari Kiamat. Barang siapa menahan kejelekannya di bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. 

Barang siapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengannya. Barang siapa menyambung tali persudaraan (silaturahim) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. 

Barang siapa melakukan solat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barang siapa melakukan solat fardu baginya adalah ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu di bulan lain. 

Barang siapa memperbanyakkan selawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barang siapa pada bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan lain. 

Wahai manusia! sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak akan pernah menutupnya bagimu. 

Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar ia tidak lagi pernah menguasaimu. 

Amirul Mukminin berkata, Aku berdiri dan berkata, “Ya Rasulullah! Apa amal yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi: Ya abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah”.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Ramadhan yang ku nantikan


R ~ Ramadhan yang dirindu rindukan
A ~ Akan hadir membawa seribu rahmat sejuta berkat
M ~ Membersih hati dalam meraih Cinta Yang Maha Pencipta
A ~ Allahu Robbi ya Rahman ya Rohim
D ~ Datangkan kepada kami hari yang dirindu rindukan
H ~ Hilangkan kegundahan hati kami saat tibanya hari penuh kemuliaan
A ~ Alihkan kesibukan hati kami dari dunia penuh tipuan
N ~ Naungilah zahir bathin kami dengan cahaya rahmat dan kasih sayang-Mu.

Semoga diberi peluang untuk bertemu Ramadhan kali ini... insyaAllah

Posted in Labels: | 0 comments

Setiap manusia akan diuji


Setiap manusia akan diuji, ujian ini bermacam-macam bentuk dan pastinya ada yang ringan dan ada pula terasa berat untuk dipikul.

Sebagai manusia, kita pasti diuji Allah SWT dan ia juga berlaku ke atas junjungan besar kita, Rasulullah SAW walaupun diketahui bahawa baginda seorang yang maksum iaitu bersih daripada dosa. Malah, dinyatakan juga bahawa Firaun yang mengaku dirinya tuhan akhirnya tewas dengan ujian Allah dan mati dalam kekufuran.

Perlu kita ingatkan diri, ujian yang kita hadapi dengan penuh kesabaran itu sebenarnya untuk memantapkan iman dan keyakinan seseorang terhadap Allah SWT.

Namun hendaklah kita sedari, walaupun ujian itu bagi memantapkan iman dan keyakinan kepada-Nya, adalah salah jika kita memohon kepada-Nya supaya diberikan ujian. Ia tidak dianjurkan dalam Islam dan sebagai contoh, Rasulullah SAW sentiasa memohon kepada Allah supaya dilindungi daripada bencana dan musibah.

Yang penting, kita hendaklah memohon perkara baik dan bersabar dengan ujian diberikan-Nya. Sabar itu sifat yang sangat penting dan perlu ada dalam diri umat Islam.
Di dalam al-Quran, banyak disebut mengenai sifat sabar seperti diperjelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” Sifat sabar turut disebut acap kali dalam hadis Rasulullah SAW, antaranya seperti diriwayatkan Abu Naim dan Kahtib yang bermaksud: “Sabar sebahagian daripada iman.” Jika kita diuji dengan ujian yang sangat berat untuk dipikul, jangan bersungut, sebaliknya hadapilah ia dengan penuh tawakal dan kesabaran. Ini kerana jika kita berjaya menempuhi ujian itu, akhirnya kita akan mengecapi kenikmatan di sebalik ujian itu yang juga diberikan dalam pelbagai bentuk.

Imam al-Ghazali menyatakan, jika ditimpa musibah, ada lima cara bagaimana seseorang itu perlu berdepan ujian supaya tidak kecundang.

Imam Al-Ghazali menyebut, bahawasanya: Setiap kemiskinan, kesakitan, ketakutan dan semua bencana di dunia ini, di dalamnya ada lima perkara yang patut dijadikan bahan untuk bergembira bagi setiap orang yang berakal, bahkan perlu sama sekali untuk disyukuri kerana ia dapat dianggap sebagai kenikmatan.

Pertama: Jika menerima musibah atau ujian yang terlalu besar dan berat bagi dirinya, seseorang itu perlu bayangkan bahawa ada ujian lebih besar dan lebih teruk menimpa orang lain berbanding apa dialaminya.

Sedarilah bahawa setiap sesuatu itu dalam kekuasaan Allah. Jadi, bayangkan bagaimana jika bencana atau sakitnya dilipatgandakan Allah SWT, dan adakah kita akan dapat menolak atau menghalangnya.

Oleh yang demikian, seseorang itu perlu bersyukur kepada Allah kerana Dia tidak menguji kita dengan ujian lebih berat, lebih parah dan lebih menyedihkan di dunia ini.

Jika semuanya ditangani dengan kesabaran, pahalanya akan berlipat ganda, sedangkan keburukannya dapat dikurangkan berkat kesabaran ketika menerima ujian.

Kedua: Datangnya bencana itu mungkin sekali sebagai musibah kerana kekurangan taatnya dalam agama.

Dalam beberapa hadis, dinyatakan doa diajar Nabi Isa AS bermaksud: “Ya Allah, jangan menjadikan musibah kami ini disebabkan oleh kelalaian kami dalam mengerjakan agama.” Jadi, doa ini boleh ambil dan kita amalkan dalam kehidupan kita.

Ketiga: Takutilah jika musibah itu menimpa secara berterusan di dunia hingga akhirat. Oleh itu, terimalah ujian itu dengan sabar kerana lebih baik diseksa di dunia saja dengan harapan semoga Allah tidak melanjutkan ujian itu hingga semua makhluk dihidupkan semula di akhirat.

Ujian diberi Allah SWT masih dapat diringankan dengan melakukan hal lain berbanding perihal sewaktu akhirat.

Jika Allah memberikan azabnya di akhirat, pasti kita tidak dapat lari daripada melakukan pekerjaan lain kerana azab yang diberikan oleh-Nya pasti secara berterusan.

Oleh itu, bersabar dengan ujian Allah sewaktu di dunia dengan berharap ia sebagai seksaan yang disegerakan oleh-Nya sebagai pengganti seksaan di akhirat.

Bersyukurlah kerana musibah dan azab yang kita terima menyelamatkan kita daripada seksaan di akhirat.

Keempat: Setiap bencana atau musibah ditentukan secara pasti dan tercatat tanpa ada kuasa mampu mengubahnya selain Allah SWT.

Ketentuan dan catatan itu ada sejak azali di Ummul-kitab (buku amalan) yang ada di sisi Allah SWT dan tetap perlu ditempuh oleh seseorang itu.

Jika seseorang itu menghadapi ujian yang ditetapkan Allah, bersyukurlah dengan berdoa tanpa jemu kepada Allah SWT.

Ingatkan diri bahawa apabila ujian itu berakhir, dia terlepas juga daripada bencana.

Kelima: Ketahuilah bahawa pahala diterima seseorang lebih besar sewaktu mereka ditimpa musibah.

Ingatlah, ujian yang diterima bukan beban, sebaliknya nikmat bagi manusia sebagai bekalan di akhirat. Musibah itu hanya sebagai ubat pahit yang harus ditelan bagi memberi kebaikan pada masa depan.

Inilah lima cara bagaimana seseorang itu harus mengatasi musibah yang mendatang, sekali gus bersyukur dengan ujian diberi Allah SWT.

Jika disingkap nas atau dalil al-Quran, secara nyata banyak diterangkan bahawa mereka yang sabar menerima ujian di dunia akan mendapat pahala.

Sekalipun kita tahu betapa besarnya pahala orang yang sabar memperoleh ujian dan musibah, jangan sekali-kali meminta Allah memberikan kita musibah kerana ia bertentangan dengan agama Islam.

Rasulullah SAW yang mengetahui nikmat tersembunyi di sebalik musibah juga tetap memohon kepada Allah dalam doanya supaya dilindungi daripada bencana dunia dan akhirat.

Hadis riwayat Ibnu Majah dan Nasaie menyatakan bahawasanya: “Mintalah kamu semua kepada Allah akan kesihatan (keselamatan daripada musibah), kerana tidak seorang yang diberi kurnia oleh Allah yang lebih daripada itu, melainkan keyakinan.” Yang dimaksudkan dengan keyakinan (keimanan) ialah keselamatan hati daripada segala macam penyakitnya seperti bodoh atau gelisah. Ini kerana keselamatan hati lebih utama daripada keselamatan tubuh badan.

www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Terbiar leka kejar harta


UBAY bin Ka’ab iaitu sahabat Rasulullah SAW meriwayatkan dalam sebuah hadis, baginda bersabda yang bermaksud: “Serigala buas yang dilepaskan di kandang kambing tidak lebih berbahaya daripada cinta harta dan pangkat dalam kehidupan agama seseorang.”

Ketika manusia rakus mengejar kemewahan dunia, ada antara kita kadangkala melampaui batas serta norma kehidupan dengan sanggup melakukan apa saja untuk mencapai matlamat. Pada waktu dunia akhir zaman ini, kita lihat ramai sanggup memijak serta menindas orang lain demi kekayaan, harta dan pangkat. 

Tidak kurang juga manusia seperti berlumba-lumba untuk menjatuh dan mengaibkan seteru atau pesaingnya dalam apa juga bidang.

Halal dan haram tidak lagi menjadi persoalan, buatlah dengan apa cara sekalipun, asalkan memperoleh apa diinginkan.

Namun ketahuilah, setiap yang diusahakan di muka bumi pasti dihitung Allah pada hari pengadilan di Padang Mahsyar. 

Sebenarnya, saya tertarik dengan istilah yang disebut oleh seorang ustaz baru-baru ini yang menyebut Allah itu Maha ‘sensitif’. 

Perkataan sensitif itu merujuk kepada sifat Allah yang sangat peka seperti dinyatakan Allah di dalam surah Az-Zalzalah ayat 7 dan 8 yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” 

Begitulah betapa sensitifnya Allah terhadap setiap apa yang diusahakan hamba-Nya yang mengakui sebagai Muslim di atas muka bumi. Selagi mana seseorang itu tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu secara zahir, Allah akan melihat dan menilai setiap perbuatannya selagi mana dia bernafas. 

Dalam surah Ali-Imran ayat 85, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, tidak akan diterima daripadanya (amalan), dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang- orang yang rugi.” 

Jika dilihat, Allah tidak menyatakan mereka akan rugi di dunia tetapi akan rugi pada hari akhirat. Apabila Allah menyatakan sedemikian, nescaya mereka akan benar-benar rugi dan merasa teramat sesal pada hari akhirat. 

Kerana itu Allah dengan sifat pemurah-Nya mengurniakan segala-galanya bagi mereka (termasuk juga orang Islam) yang mengejar kehidupan dunia dan melupakan hari akhirat. Perkara ini disebutkan oleh Allah di dalam surah Hud, ayat 15 dan 16 yang bermaksud: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran mengenai sah atau batalnya), Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. 

“Merekalah orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka kerjakan.” 

Berdasarkan ayat di atas, tidak hairan mengapa Allah ‘membiarkan’ mereka melakukan apa saja di muka bumi. Mereka bebas untuk tidak menunaikan solat, mengambil rasuah dan memakan hasil riba, memfitnah, mengaib serta menganiaya orang lain dan menipu dalam urusan jual-beli. 

Mereka akan terlepas daripada hukuman di dunia tetapi akan berdepan Allah untuk menjawab dosa yang mereka lakukan ketika seluruh anggota berbicara sendiri. 

Sebelum itu, seluruh umat manusia akan menerima buku catatan amalan yang terkandung di dalamnya setiap perincian amalan ketika hidup di dunia seperti difirmankan Allah dalam surah Al-Jaathiyah ayat 28 dan 29 yang bermaksud: “Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu kerjakan! 

“Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu lakukan (di dunia dulu)!” 

Pada hari akhirat, digambarkan kepada kita bahawa manusia akan berjalan ke Padang Mahsyar dalam pelbagai keadaan. 

Di dalam surah Al-Isra’, ayat 97, Allah menyatakan, bahawasanya: “... Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing- masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak...” 

Dalam Hadis Riwayat Ahmad yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, dinyatakan bahawa Rasulullah berkata, wujud tiga kelompok pada hari akhirat. 

Kelompok pertama adalah mereka yang berjalan kaki, kedua adalah mereka yang menunggang kenderaan dan yang terakhir adalah mereka yang berjalan dengan wajahnya (mukanya). Maka bertanyalah sahabat kepada baginda, bagaimana manusia berjalan di atas wajahnya? 

Rasulullah menjawab, sebagaimana kamu mempercayai bagaimana Allah membuat makhluk-Nya berjalan dengan kakinya, tentunya Allah boleh menjadikan manusia berjalan di atas wajahnya. 

Sesuatu yang paling mulia pada fizikal manusia ialah wajahnya. Selain tempatnya di bahagian atas, Rasulullah mengeji manusia yang memukul atau merosakkan wajah orang lain kerana mulianya wajah manusia itu. 

Namun, bagi yang melupakan Allah dan lalai dengan kehidupan dunia, Allah menghina mereka dengan menterbalikkan keadaan dan menjadikan wajahnya sebagai ‘kaki’ untuk berjalan pada hari akhirat. Nauzubillah! 

Ketahuilah, Allah tidak melarang manusia berusaha mengecapi kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia. Namun, berpada-pada dan jangan lalai dengan suruhan Allah dan menindas serta mengambil hak orang lain. 

Firman Allah dalam surah Al-Insyirah, ayat 7 dan 8: “Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal soleh), bersungguh- sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh lain). Dan kepada Tuhanmu saja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).”

www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Golongan jin yang beriman


Menurut al-Biqaie surah yang lalu menerangkan tentang Nabi Nuh a.s. yang merupakan Rasul Allah yang pertama diutus kepada para penentang dan penyembah berhala. Mereka menolak ajakan dan seruan sedangkan beliau salah seorang anggota masyarakat. Surah yang lalu diakhiri dengan doa Nabi Nuh a.s. ke atas mereka. Nabi Muhammad SAW rasul yang terakhir dan kaum baginda mempunyai banyak persamaan dengan kaum Nabi Nuh. Ini disebabkan keagungan al-Quran dan ayat ini mengingatkan hal tersebut sambil mengisyaratkan kecaman kepada masyarakat Arab yang tidak menyambut ajakan beliau dan nabi yang menyampaikannya dari suku bangsa bahkan yang terdekat dengan mereka.

Sheikh Muhammad al-Hindi dalam kitabnya pada majlis yang ketujuh berkata: "Aku telah mengumpulkan ajaran yang dibawa oleh agama Islam dengan ajaran yang dibawa oleh penemuan moden, seperti ucapan mereka.” Sesungguhnya setiap ilmu, kebaikan dan keburukan yang berlaku dalam hati itu ditimbulkan oleh roh yang mulia dan roh yang hina. Dalam hadis diungkapkan yang bermaksud di dalam hati itu ada dua kemahuan (kehendak). Kemahuan (kehendak) dari malaikat dan kemahuan (kehendak) dari syaitan.

Firman Allah SWT: Katakanlah (hai Muhammad): Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya: Telah mendengarkan sekumpulan jin (akan al-Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Quran yang menakjubkan.
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW memberitahu kepada umatnya, bahawa jin mendengar al-Quran, lalu mereka beriman, membenarkannya serta tunduk kepada Allah SWT."

Menurut Al-Maraghi, Allah SWT mengeluarkan perintah kepada rasul-Nya agar memberitahu kepada para sahabatnya tentang kisah-kisah jin yang diwahyukan kepadanya kerana ia mempunyai banyak faedah dan manfaat kepada manusia, antaranya:
  • Sebagai makluman bahawa Nabi SAW itu diutus kepada bangsa manusia juga kepada bangsa jin.
  • Sebagai makluman bahawa jin itu mendengar pembicaraan dan memahami bahasa kita.
  • Sebagai makluman bahawa jin itu dibebankan dengan tanggungjawab (mukalaf) sama seperti manusia.
  • Sebagai makluman bahawa jin yang beriman telah berdakwah kepada jin lain dari kabilahnya agar mengaku beriman.
  • Supaya kaum Quraisy mengetahui bahawa jin itu asalnya bersikap derhaka ketika mendengar al-Quran dan apabila mengetahui kemukjizatannya jin itu beriman kepadanya.
Secara zahirnya, ayat ini menunjukkan betapa nabi mengetahui para jin yang mendengar wahyu yang diturunkan kepadanya, tetapi bukan melalui kesaksian mata.
Dalam Ensiklopedia Abad XX karya Muhammad Farid Wajdi dinyatakanmakhluk yang bersifat hawa (udara) atau api, berakal dapat dibentuk dan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan yang berat.

Sayyid Sabiq seorang ulama Mesir mendefinisi jin sebagai roh berakal, berkehendak, mukalaf (dibebani tugas keagamaan oleh Allah seperti manusia) tetapi tidak berbentuk materi, kasar dan mereka mempunyai kemampuan untuk tampil dalam pelbagai bentuk.
Firman Allah SWT: (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seseorangpun dengan Tuhan kami.

Menurut Al-Mawardi, ayat itu ada dua pendapat:
  • Segala perkara yang mendapat petunjuk.
  • Ke arah makrifatullah.
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu jalan yang lurus."
Hamka berkata: "Inilah kesan pertama yang tinggal dalam diri mereka setelah mendengar al-Quran dibaca Nabi. Mula-mula mereka takjub, merasa hairan tercengang mendengar ayat itu dibaca". Ini kerana isi kandungannya tidak ada jalan membantah dan menolak jika hatinya benar-benar bersih.

Firman Allah SWT: Dan bahawasanya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak.

Sebenarnya perkataan jaddu dalam ayat ini ada sepuluh tafsiran:
  • Urusan tuhan kami seperti pendapat al-Suddi.
  • Perbuatan tuhan kami seeperti pendapat Ibn Abbas.
  • Peringatan tuhan kami seperti pendapat Mujahid.
  • Kekayaan tuhan kami seperti pendapat Ikrimah.
  • Ujian tuhan kami seperti pendapat al-Hasan.
  • Kerajaan tuhan kami seperti pendapat Abu Ubaidah.
  • Kemuliaan dan keagungan tuhan kami seperti pendapat Qatadah.
  • Kenikmatan tuhan kami atas makhluk-Nya seperti pendapat al-Dahhak.
  • Ketinggian tuhan kami seperti pendapat Sa'id bin Jubair.
  • Mereka yang prihatin dengan datuk, iaitu bapa kepada ayah. Ini pendapat daripada ucapan jin kerana kejahilan.
Syed Qutub berkata: "Kata-kata al-jad bererti bahagian, habuan, kedudukan dan martabat iaitu kebesaran dan kekuasaan semuanya merupakan makna-makna yang terpancar dari kata-kata itu dan sesuai dengan tempatnya."

Maksud umum dari makna tersebut adalah mengungkapkan perasaan hati bahawa Allah SWT Yang Maha Tinggi dan Maha Agung yang suci dari mempunyai isteri dan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan.

www.utusan.com.my_dr.zulkifli mohamad albakri 

Posted in Labels: | 0 comments

Puasa bulan Rejab


REJAB boleh dikatakan sebagai bulan yang ditunggu kebanyakan umat Islam kerana sesiapa yang berpuasa dipercayai mendapat fadilat yang sangat besar.

Saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai bulan Rejab dan berharap sedikit sebanyak ia dapat menjawab persoalan individu mengenai kelebihan bulan ini.

Dengan penjelasan ini juga, saya harap kita sama-sama dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan paling penting tahu mengenai apa yang kita laksanakan.


Pertamanya, elok jika saya bawakan dalil al-Quran mengenai keistimewaan bulan Rejab ini. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 36, “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (demikian) di dalam Kitab Allah, sejak hari Dia menjadikan semua langit dan bumi. Daripadanya adalah empat yang dihormati. Demikianlah agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada bulan-bulan itu…”

Prof Dr Hamka dalam Tafsir Al-Azhar menafsirkan ayat ini yang bermaksud: “Maka setelah bangsa Arab memeluk agama Tauhid, agama Hanif, yang dikenali sebagai Islam, yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail, diadakan empat bulan yang dihormati. Dihormati itu kerana pada keempat-empat bulan itu tidak boleh berperang dan tidak boleh balas dendam. Empat bulan itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. tiga berturut-turut, dan yang satu lagi ialah bulan Rejab (bulan ketujuh).

Dengan penerangan yang diberikan oleh Prof Dr Hamka, keistimewaan bulan Rejab sama saja dengan tiga bulan yang lain iaitu Zulkaedah iaitu bulan untuk mempersiapkan diri untuk pergi menunaikan haji dan pada bulan seterusnya iaitu Zulhijjah. Kemudian, bermulalah bulan Muharam sebagai pembuka tahun baru dalam kalendar Islam yang sinonim dengan peristiwa Hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah.


Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawasanya beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda SAW berdoa; Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami (dengan selamatnya) ke bulan Ramadan. (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Ath-Thabarani) Malah, Abu Daud meriwayatkan bahawa Al Allamah Ibnu Hajar dalam tulisannya menyatakan Baginda SAW ‘memandubkan’ (sunat) berpuasa di bulan Haram. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah digalakkan tetapi tidak ada satupun hadis sahih membuktikan bahawa berpuasa pada hari tertentu dalam bulan Rejab, akan mendapat ganjaran istimewa.


Ahli panel fatwa IslamOnline, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai adakah berpuasa di dalam bulan Rejab itu sunat atau bidaah, menyatakan bahawasanya berpuasa di dalam bulan Rejab adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat), ke atas semua perkara. Tetapi Rasulullah SAW tidak berpuasa satu bulan penuh melainkan hanya pada bulan Ramadan.

Malah, walaupun Baginda SAW banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya. Dalam hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud menyatakan bahawasanya: “Baginda SAW berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak berbuka, Baginda berbuka sehingga kami mengatakan baginda tidak berpuasa.” Al-Qaradawi tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram termasuklah bulan Rejab tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Syaaban kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW mahupun para sahabat.


Syeikh Muhammad Mutawali Al-Syarawi dalam fatwanya menjawab persoalan mengenai puasa sunat menyenaraikan lapan jenis puasa yang beliau sifat sebagai ‘puasa yang orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah’ iaitu: Pertama, puasa hari Arafah (9 Zulhijjah khusus bagi mereka yang tidak menunaikan Haji). Kedua, puasa hari Asyura (10 Muharam). Ketiga, puasa enam hari di dalam bulan Syawal. Keempat, puasa hari-hari Putih di dalam bulan-bulan Islam iaitu pada hari ke-13,14 dan 15. Kelima, berpuasa pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu.


Keenam, berpuasa di dalam bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Ketujuh, berpuasa sembilan hari daripada bulan Zulhijjah (dari 1 hingga 9 Zulhijjah). Kelapan, banyakkan berpuasa di dalam Syaaban.


Maka di sini, dapat saya simpulkan bahawa Rejab adalah bulan yang mulia sebagaimana bulan-bulan haram yang lain. Dalam bulan Rejab ini sama-samalah kita meninggalkan perbuatan yang dilarang dan diharamkan seperti menzalimi diri sendiri, serta memperbanyak ketaatan kepada Allah SWT dan memperbanyakkan membuat amal kebaikan. Marilah kita mempersiapkan diri untuk memasuki bulan Ramadan yang bakal menjelma dua bulan daripada sekarang agar termasuk sebagai Islam yang berjaya di bulan tersebut dan memperoleh Lailatul Qadar. Pada bulan ini jugalah berlakunya peristiwa besar seperti peristiwa Israk dan Mikraj pada tanggal 27 Rejab di mana yang memaktubkan solat fardu sebagai ibadat wajib yang perlu dilaksanakan umat Islam. Berpuasalah dalam bulan ini sekadar yang mampu tetapi janganlah sehingga melampaui batas.


www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments