Sebab Memperolehi Kebahagiaan Hakiki
Posted On Wednesday, September 29, 2010 at at 9:30 PM by maoriImam Ibnu Qayyim membahagiakan kebahagian kepada tiga jenis kebahagian;
Pertama; Kebahagian disebabkan faktor luaran iaitu bahagia disebabkan harta dan kekayaan yang berada di luar diri manusia. Dikenali sebagai lazzah khayaliayah. Jika merasa bahagia dengan memenuhi tuntutan hawa nafsu dikenali lazah bahimiyyah.
Kedua, kebahagiaan yang berkaitan dengan nikmat badaniah. Bahagia dengan kesihatan, kecantikan, kesempurnaan diri dan lain-lain. Penyair Arab ada menyebutkan:
” يا خادمَ الْجِسْمِ كَمْ تَشْقَى بِخِدْمَتِهِ فأنتَ بِالرُّوْحِ لا بالجسمِ إنسانٌ “
Wahai diri yang menghambakan diri kapada tubuh, Iangatlah engkau adalah manusia dengan roh bukan dengan jasad.
Ketiga, kebahagiaan yang bersumber dari nilai-nilai ketaatan kepada Allah swt. Kebahagian berasaskan keimanan dan ketaqwaan. Itulah kebahagiaan yang sebenarnya. Kebahagian dunia akhirat. Kebahagiaan yang kekal abadi.
Untuk menggapai kebahagiaan yang hakiki, kita harus memiliki sebab-sebab yang melahirkan kebahagiaan ini. antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada kebahagian hakiki ialah;
1. Keimanan dan Tauhid
فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya; “Barang siapa yang Allah ingin memberikan petunjuk kepadanya, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk Islam. Dan barang siapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. Al-An’am:125
Keimanan dan ketauhidan menjadi asas utama kebahagian hakiki kerana segala penerimaan amalan disisi Allah samada amalan zahir mahupun batin bergantung kepada keimanan seseorang kepada Allah swt. Kebahagian hakiki diakhirat hanyalah untuk orang-orang yang beriman.
2. Tazkiatun Nafs (mensucikan diri)
Jiwa yang suci akan mendatangkan banyak manfaat dan kebaikan dalam kehidupan seseorang di dunia maupun di akhirat. Karana asas kebaikan diri seseorang, keluarga, masyarakat dan bahkan bangsa bertunjangkan jiwa yang baik. Manusia yang memiliki jiwa yang suci , sihat akan berkelakuan dengan nilai-nilai kebaikan. Firman Allah swt;
فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, Dan Sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” Asy-Syamsy: 8-10.
Ibnu Rajab berkata: “Hati yang baik adalah yang terbebas dari segala penyakit hati dan berbagai perkara yang dibenci, hati yang penuh kecintaan dan rasa takut kepada Allah, dan rasa takut berjauhan dari Allah swt.”
3. Sembahyang (Solat)
Sembahyang (Solat) adalah cahaya, ketenangan dan ketenteraman dalam jiwa. Sembahyang juga penghubung antara Allah dan hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Dengan Sembahyang mereka menemui ketenangan dan kebahagiaan. Bahkan ketika menghadapi musibah pun diperintahkan kita untuk sembahyang. Allah berfirman:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan memohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan kesabaran dan sholat…” Al-Baqarah : 45
Rasulullah bersabda:
قُمْ يَا بِلَالُ فَأَرِحْنَا بِالصَّلَاةِ
Maksudnya; Wahai Bilal, qamatlah! Agar dengan sholat tersebut kami tenang.” (Imam Abu Dawud)
4. Redha dan Qana’ah
Redha dan qana’ah merupakan akhlak mulia yang harus dimiliki oleh setiap muslim. Kerana dengan sifat redha dan qana’ah akan lahir ketulusan, keikhlasan dan ketundukan seorang hamba dalam menerima hasil akhir dari amal usaha. Dengan redha, manusia akan menerima segala keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah. Baik yang berkaitan dengan dirinya, keluarga maupun harapan-harapan lain yang sangat dicita-citakan dalam kehidupannya. Sifat redha dan qana’ah akan menghalang rasa putus aan dan kesedihan.
Firman Allah swt
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Maksudnya: “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam Kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” Al-Hadiid: 22-23.
5. Zikir dan Mengingati Allah.
Dengan sentiasa zikir dan ingat Allah dalam apa jua keadaan, manusia akan merasa tenteram, tidak ada rasa takut, tidak ada rasa bimbang dan tiada kesedihan dalam jiwanya.
Allah berfirman:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya;Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” Ar-Ra’du: 28.
Mudah-mudahan Allah swt menganugerahkan kebahagiaan dan ketenangan hakiki di dunia dan akhirat.
Sumber: www.usarahrasahati.com
Erti Kebahagiaan Hakiki
Posted On Monday, September 27, 2010 at at 9:39 PM by maoriBahagia adalah suatu perkataan yang abstrak dan subjektif. Pengertiannya begitu luas dan relatif. Lantaran itu ramai manusia gagal mencari dan mengejar kebahagiaan. Mereka tidak mengerti apa itu bahagia dan di mana adanya bahagia. Keadaan ini menjadikan pentafsiran bahagia berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.
· Seorang fakir akan mengatakan bahawa bahagia itu terletak pada kekayaan.
· Orang sakit pula akan mengatakan bahagia akan dirasai apabila dia sihat.
· Orang yang terjerumus ke lembah dosa akan mengatakan berhenti daripada melakukan dosa itulah kebahagiaan.
· Seorang karyawan akan merasa bahagia jika hasil karyanya diterima orang.
· Zaid bin Tsabit, penyair Rasulullah saw mengatakan jika pagi dan petang seseorang itu berjaya membebaskan diri dan dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa daripada gangguan manusia maka ia boleh dianggap seorang yang bahagia.
· Orang yang berpegang teguh kepada agama, kebahagiaan ialah meninggalkan perkara yang dilarang, mengikut yang disuruh, menjauhi yang jahat dan mendekati yang baik. Kebahagiaannya adalah mengerjakan suruhan agama semata-mata.
· Ibnu Khaldun pula berpendapat bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis ketentuan Allah dan berperikemanusiaan.
· Imam Al Ghazali berpendapat bahagia dan kelazatan sejati ialah apabila kita dapat mengingati Allah.
Kadangkala sesuatu yang dipandang bahagia oleh seseorang itu tidak begitu dipentingkan pihak lain. Oleh itu boleh dirumuskan kemahuan manusia yang tidak sama itulah yang menyebabkan kebahagiaan juga tidak dapat disamakan. Namun sesuatu yang boleh disepakati ialah bahagia merupakan suatu keadaan dimana seseorang itu merasa tenang, merasa tenteram, merasa tiada tekanan, merasa mulia, merasa harga diri, merasa dihargai dan bermacam-macam perasaan lain walaubagaimanapun keadaan sekalipun, susah, sempit, senang , kaya, sibuk, banyak kerja dan lain-lain. Justeru kebahagian adalah ukuran hati, kebahagian terletak dihati, kebahagian adalah perspektif hati. Oleh itu penting bagi hati untuk menanggapi sesuatu keadaan secara positif supaya hati menjadi tenang dan bahagia. Seterusnya tanggapan hati tetapi mestilah sesuai dan menepati tuntutan Syarak, melakukan segala kewajipan dan tuntutan agama serta meninggalkan segala larangan Allah. Oleh itu orang yang mencari ketenangan dan kebahagian dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang bukanlah mendapat kebahagian yang sebenar.
Firman Allah swt;
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ.
Maksudnya; Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya, Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,Dan orang-orang yang menunaikan zakat, Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, Maka Sesungguhnya mereka dalam hal Ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu, Maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi, Orang-orang yang mewarisi syurga Firdaus dan mereka kekal didalamnya. (Surah Al Mukminun 1 – 11)
Sabda Rasulullah saw;
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أربع من السعادة المرأة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء وأربع من الشقاوة الجار السوء والمرأة السوء والمسكن الضيق والمركب السوء
Maksudnya; Empat perkara sebab kebahagian, isteri yang solehah, rumah yang selesa, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa, dan empat perkara sebab merana, isteri yang jahat, jiran yang jahat, rumah tidak selesa dan kenderaan yang teruk.
من خير الناس ؟ قال : أتقاهم للرب ، وأوصلهم للرحم ، وآمرهم بالمعروف ، وأنهاهم عن المنكر.
Maksudnya; Siapakah manusia yang paling baik? Iaitu orang yang paling bertaqwa kepada Allah, Menghubungkan silaturahim, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
مَنْ خَيْرُ النَّاسِ ؟ قَالَ : أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ.
Maksudnya; Siapakah manusia yang paling baik? Iaitu orang yang paling berguna kepada orang lain.
Daripada nas-nas di atas dapat difahami bahawa;
- Kebahagian yang hakiki itu ialah kebahagian di akhirat dengan mendapat keredhaan dan magfirah Allah swt seterusnya berada dalam nikmat syurga Allah swt.
- Kebahagian yang hakiki itu ialah apabila kita merasa tenang dan bahagia dapat menundukkan hawa nafsu kita dan digantikan dengan keimanan dan ketaqwaan.
- Kebahagian yang hakiki itu ialah kita merasa tenang dan bahagia apabila kita dapat menunaikan segala hak dan tanggungjawab kita samada kepada Allah mahupun sesama manusia.
- Kebahagian yang hakiki itu ialah apabila perasaan cinta kepada Allah dan Rasulnya melebihi dari yang lain.
- Kebahagian yang yang sebenar itu ialah apabila redha dengan ketetapan yang Allah berikan kepada kita.
ولست أرى السعادة جمع مال ولكن التقي هو السعيد
Maksudnya; Aku tidak melihat bahagia itu dengan mengumpulkan harta tetapi orang yang bertaqwa itu adalah orang yang bahagia.
Sumber: www.usrahrasahati.com
Jangan Putus Asa
Posted On Thursday, September 23, 2010 at at 9:39 PM by maoriDalam menjalani kehidupan dunia sebagai manusia pastinya telah, pernah, dan akan berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian, cabaran, masalah, kesulitan, atau kegagalan. Itulah hakikat manusia yang hidupnya pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Bahkan Allah s.w.t sendiri menjelaskan hal ini melalui firmanNya dalam AlQuran:
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya; Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”al-Mukminun:115.
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ.
Maksudnya; Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.
Sabda Rasulullah sa.w;
إن من أشد الناس بلاء الأنبياء
Maksudnya; Sesungguhnya manusia yang paling berat menerima ujian ialah para Nabi.
Allah s.w.t melarang kita dari berputus asa. Allah menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa sifat putus asa bukanlah sifat seorang Muslim. Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara. Allah swt telah menjelaskan hal ini dalam menceritakan kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya:
يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ
Maksudnya; Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya, Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.Yusuf:87.
Bahkan sehingga orang yang berdosa sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana keampunan Allah s.w.t itu sangat luas. Allah menjelaskan hal ini dalam sebuah ayat yang sugguh indah maknanya:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”. Al-Zumar:39
Jika kita pernah gagal, ini tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Persoalan yang penting bukanlah bagaimana kita akan gagal tetapi persoalannya adalah bagaimana kita akan mengendalikan dan berhadapan dengan kegagalan tersebut.
Bagi mengelakkan perasaan kecewa dan putus asa atas kegagalan yang di alami:
· Sentiasa ingat bahawa setiap ujian yang menimpa adalah untuk menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik.
· Sesuatu yang penting dalam urusan kita ialah usaha yang kita lakukan, bukan hasil usaha kerana hanya Allah s.w.t yang menentukan hasil usaha yang kita lakukan. Walaupun kita tidak berjaya kita tetap mendapat ganjaran pahala dari Allah s.w.t
· Sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah dalam segenap hal dan bertawakal kepada Allah.
· Bersabar dan sentiasa memikirkan peluang dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan tersebut dan bukannya dengan bereaksi dengan emosi dan hawa nafsu.
· Berfikiran positif, merasai setiap kegagalan ada hikmahnya disebaliknya.
· Sekiranya doa yang kita mohon masih belum dimaqbulkan, sentiasa bersangka baik kepada Allah s.w.t dan sentiasa terus berdoa dan menghampirkan diri kepada Allah kerana Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk hambanya.
Justeru, Jangan putus asa;
إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ
Maksudnya; Tatkala Rasulullah berkata kepada sahabatnya ( Abu Bakar ) Janganlah kamu bersedih kerana Allah besama kita, lalu Allah s.w.t memberikan ketenangan kepadanya.
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya; Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya; Sesungguhnya Allah sayang kepada orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya.
Sumber: www.usrahrasahati.com
Amalan sunat semasa bulan Syawal
Posted On Friday, September 17, 2010 at at 7:47 PM by maoriPuasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya’ dengan amalannya.
” kau , dah hari ker berapa dah?”
“aku dah 5 hari dah ni”
“esok aku raya (sunat syawal)”
Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini. Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat ‘sapa lebih hebat?’. Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.
Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut. Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.
Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan. Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha.
Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : “..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT. Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali.
Berdasarkan sabda Nabi SAW
إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة
Ertinya ” … barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda..” ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik. Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.
3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)
4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya. Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat.
Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal); Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
Sumber: www. Zaharuddin.net