SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Mesti sensitif dan peka


DUNIA semakin hari semakin tua menanti saat sampai ke penghujungnya. Entah sampai bila bumi ini sanggup menahan kerakusan manusia yang semakin ghairah melakukan kerosakan demi kerosakan di atas ciptaan Allah ini.

Cuma kita yang hidup di dunia ini kadangkala seakan-seakan lupa mengenai kehidupan di alam sana iaitu akhirat. Disebabkan itu, kita mengambil mudah atau memandang remeh segala perkara dalam keadaan sedar atau tidak.

Namun, perlu kita peringatkan diri bahawa setiap amalan serta perbuatan kita di dunia akan disoal di depan Allah SWT di akhirat. Kita akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Jika kita lihat situasi masa kini, antara paling kita abai serta ketepikan ialah soal halal dan haram. Soal halal dan haram bukan saja bercampur baur antara satu sama lain, malah lebih malang, ia dikaburkan segelintir pihak secara sengaja atau tidak.

Sedarilah bahawa setiap yang halal dan haram itu sebenarnya adalah jelas di sisi agama Allah.

Antara penjelasan mengenai halal dan haram adalah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Abdullah An-Numan bin Basyir RA, bermaksud: “Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang samar-samar, kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, barang siapa menjaga dirinya daripada yang samar-samar itu, bererti ia menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan barang siapa terjerumus dalam perkara syubhah (samar-samar statusnya), ia terjerumus ke dalam perkara yang haram...” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Namun, pada hari ini, tidak ramai umat Islam yang sensitif terhadap perkara membabitkan halal dan haram. Sebaliknya, kebanyakan kita menjadi sensitif apabila ada pihak menjadikan sesuatu perkara itu sebagai isu panas.

Seperti contoh, isu murtad yang hangat diperkatakan dan diperdebatkan sebelum ini. Namun, ia hanya bermusim dan selepas berlalu ‘musimnya’, kita mula melupakan isu ini.

Pada masa sama, kita selalu mengambil mudah perkara membabitkan halal, haram serta syubhah. Contoh paling mudah adalah dalam hal makan dan minum kita. Kita boleh melihat di Internet, ada gambar personaliti tertentu bersama botol atau gelas berisi arak. Lebih malang lagi apabila personaliti itu beragama Islam.

Bukankah lebih elok jika beliau, atau mana-mana orang Islam, tidak menghadiri atau membabitkan diri di tempat yang boleh menimbulkan fitnah seperti itu.

Saya memahami jiwa orang muda yang sukakan hiburan tetapi perlu berhati-hati dengan saluran hiburan yang kita pilih. Jangan apabila mengetahui ia jelas haram, kita masih memilih jurang kerosakan berkenaan yang akhirnya mengundang padah tanpa kita sedari.

Dalam hal pemakanan pula, masih ada segelintir saudara sesama Islam yang mengambil pendekatan mudah dengan melihat logo halal.

Asalkan ada logo ‘halal’, halallah makanan berkenaan pada pandangannya tanpa mengambil berat sama ada logo halal itu diiktiraf atau tidak.

Samalah keadaannya ketika membeli makanan pek di pasar raya mahupun makanan di restoran. Ada yang berpendapat jika tiada bahan haram seperti ‘khinzir’ atau ‘arak’ dalam makanan atau minuman berkenaan, tidak salah untuk dimakan walaupun diberitahu pihak tertentu yang ia haram.

Sama juga senario yang sering dilihat di kedai makan, asalkan pekerjanya ada rupa Melayu atau ada papan tanda ‘tiada khinzir’ atau seumpamanya, kebanyakan masyarakat menganggap makanan di restoran atau kedai makan itu halal.

Harus diingat, setiap yang dimakan mungkin membentuk darah daging kita. Mungkin juga ia mengalir menjadi sebahagian daripada darah daging yang membentuk zuriat kita.

Tidak mustahil antara punca keruntuhan akhlak yang menggusarkan pada hari ini bertitik tolak daripada punca pemakanan kita.

Malah, antara penyebab mengapa kita terlalu ‘liat’ untuk melakukan ibadah disebabkan faktor sumber haram yang kita makan. Oleh itu sentiasa berwaspada ketika memilih makanan dan minuman.

Dalam soal pertuturan seharian kita pula, kita harus berhati-hati dengan apa yang kita lafaz kerana dibimbangi akan menyebabkan akidah kita terpesong. Kadangkala, kata-kata kita seolah-olah menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl, ayat 116 bermaksud: “Jangan kamu berkata dusta menurut yang diterangkan oleh lidahmu sendiri; Ini halal dan ini haram, supaya kamu mengadakan dusta terhadap Allah. Sesungguhnya, orang-orang yang mengadakan dusta terhadap Allah tidak beroleh kemenangan.”

Saya sedih melihat kebanyakan kedai nombor ramalan judi dipenuhi orang Islam daripada segenap lapisan usia. Lebih pilu lagi apabila melihat ada mereka yang berumur lebih 60 tahun, tanpa segan silu dan rasa bersalah, beratur bersama-sama yang bukan Islam.

Pernah terdengar kata-kata dilafazkan seseorang beragama Islam yang kecewa apabila nombor ramalan judinya tidak ‘mengena’ dengan menyebut: “Allah, sikit je lagi nak kena.” Begitu juga sebaliknya, barangkali ada yang menyebut, “Alhamdulillah, kena juga nombor ramalan aku kali ni.” Kata-kata seperti ini boleh membatalkan iman kita. Nauzubillah Min Zalik (kami berlindung dengan Allah daripada hal itu).

Baru-baru ini, saya melihat sebuah video yang banyak dikongsi kenalan di Facebook. Saya sangat terkejut apabila menonton video itu yang menemubual seorang ibu yang sanggup berzina dengan anak lelaki sulungnya selepas ketiadaan suaminya di sisi.

Lebih mengejutkan apabila si ibu, tanpa rasa bersalah, menyatakan: “... daripada berzina dengan orang lain, lebih baik saya berzina dengan anak sendiri.” Beristighfar panjang saya selepas menyaksikan video berkenaan. Manusia semakin jahil akibat jauh daripada hidayah Allah.

Tidak hairan bala dan bencana Allah datang bertimpa- timpa pada akhir zaman ini. Namun demikian, bagi mereka yang tidak mahu menginsafi, bala yang datang dilihat tidak lebih daripada sekadar lumrah alam.

Sebagai Muslim, kita mesti mengambil iktibar bahawa setiap bala yang Allah timpa ke atas manusia adalah kerana kelalaian manusia.

Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum, ayat 41 bermaksud: “Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan benar).” Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud: “...Ketahuilah bahawa dalam diri ini ada segumpal daging, jika ia baik, baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.” Jadi, cerminlah diri dan tanya iman sama ada kita kita tergolong dalam kumpulan ini secara sedar atau tidak.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Jadilah kita insan pemaaf



SATU hari raut wajah Rasulullah s.a.w tampak berseri-seri dengan menampakkan senyumannya sehingga kelihatan kilauan gigi putihnya. Maka Umar bertanya ada apa gerangan.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Aku lihat ada dua orang daripada umatku yang mendatangi Allah ‘Azza wa Jalla. Yang satu berkata, ‘Ya Rabbi, hukumlah orang ini yang mengambil hak dan menganiayaku di dunia.” Lalu Allah memerintahkan kepada si zalim itu supaya mengembalikan haknya. 

‘Ya Rabbi’, kata si zalim, “Aku tidak lagi memiliki simpanan perbuatan baik yang bisa menggantikan haknya.” Dia sudah tidak memiliki sisa-sisa perbuatan baik untuk menggantimu, lalu apa yang kau harapkan darinya?” kata Allah kepada satunya. 

‘Ya Rabbi’, pindahkan kepadanya dosa-dosaku. Biar dia yang memikulnya,” katanya. “Tiba-tiba air mata Rasulullah mengalir membasahi pipinya kerana mengenang hari-hari yang maha dahsyat itu.

Baginda berkata, “Hari itu adalah hari-hari yang maha dahsyat, hari di mana setiap orang berusaha untuk melepaskan setiap beban dosa yang dipikulnya.”

Kemudian, Allah berkata kepada si teraniaya, “Wahai Fulan, angkat pandanganmu dan lihatlah syurga-syurga yang tersedia.’ ‘Ya Rabbi, saya lihat negeri yang terbuat dari perak dan istana dari emas yang terhias indah dengan mutiara yang berkilauan. 

Apakah semua itu Engkau persiapkan untuk Nabi dan Rasul-Mu, para siddiqin dan orang-orang yang syahid? Tidak, kata Allah. Semua itu Aku siapkan bagi siapa saja yang sanggup membelinya. 

Siapakah mereka Ya Rabbi? ‘Engkau juga mampu memilikinya.’ Bagaimana caranya? “Dengan memaafkan saudaramu itu.” Kalau begitu, aku maafkan dia ya Rabbi.’’ Ambillah tangan saudaramu itu dan masuklah kalian ke dalam syurga yang Aku janjikan.’” 

Kemudian Nabi mengakhiri kisah itu dengan sabdanya, “Bertakwalah kamu kepada Allah dan berbuat baiklah dalam hubungan antara sesama. Sungguh Allah akan mendamaikan antara orang-orang yang beriman kelak pada hari kiamat.” 

Apa yang kita fikirkan selepas membaca kisah yang dibawakan Rasulullah di atas? Adakah kita langsung teringat kepada orang-orang yang pernah berbuat salah kepada kita? 

Adakah keinginan kita untuk segera memaafkannya? Jika begitu, berbahagialah, kerana sesungguhnya tulisan ini dimaksudkan supaya kita menjadi orang yang sentiasa berlapang dada, mudah meminta maaf dan memberi maaf kepada orang yang melakukan kesalahan. 

Jangan anggap meminta maaf itu perkara yang mudah dilakukan. Beratnya meminta maaf itu sama dengan susahnya memberi maaf. Seseorang yang diliputi perasaan sombong, baik kerana pangkat dan kekuasaannya, atau kerana status sosialnya, tidak mudah meminta maaf jika melakukan kesalahan. 

Pemimpin yang nyata melakukan kesalahan kepada rakyatnya tidak serta-merta meminta maaf. Mereka meminta maaf selepas mendapat protes keras termasuk tekanan daripada golongan atasannya. 

Sesungguhnya meminta maaf itu bukan pekerjaan ringan. Orang-orang yang hatinya masih diliputi perasaan-perasaan sombong, merasa lebih baik, kadang-kadang akan berasa bersalah jika meminta maaf. 

Apalagi meminta maaf kepada orang yang selama ini dianggap lebih rendah darinya. Jika meminta maaf, terutama kepada orang yang lebih rendah darjat sosialnya itu bukan perbuatan mudah, apalagi memberi maaf kepada orang yang melukai hatinya. 

Pekerjaan itu jauh lebih berat lagi, apalagi untuk sebuah kesalahan yang menggores hati. Kadang-kadang dendam itu dibawa hingga ke mati. Hanya orang-orang tertentu saja yang sanggup melakukannya. 

Rasulullah adalah orang yang paling lapang dadanya. Baginda memaafkan tidak saja orang yang pernah melukai hatinya tetapi juga orang yang hampir-hampir menghilangkan nyawanya. 

Jabir ra berkata, “Kami bersama Rasulullah dalam perang Ghazwadz-Dzatirriqaa’ dan ketika istirahat kami masing-masing mencari tempat perlindungan. 

Jika ada pohon yang besar maka kami berikan kepada Nabi untuk berteduh di bawahnya. Ketika Rasulullah sedang terlelap tidur, datanglah seorang musyrik mengambil pedang Rasulullah yang tergantung di pohon. 

Lalu dihunusnya dan dia bertanya kepada Nabi, “Apakah anda takut kepadaku? Jawab Nabi, “Tidak.” Lalu dia bertanya, “Siapakah yang dapat mempertahankan engkau dari seranganku? jawab nabi, “Allah.’” 

Dalam riwayat Abu Bakar al-Isma’ily, ketika jatuhlah pedang itu, dan Nabi bertanya, “Siapakah yang dapat mempertahankanmu dari padaku?” Jawab orang musyrik itu, “Jadilah yang sebaik-baik menuntut balas.” 

Maka, Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya, “Mahukah engkau mengucap syahadah?” jawab orang itu, “Tidak, tetapi saya berjanji kepadamu tidak akan memerangi engkau, dan tidak akan membantu orang yang memerangi kamu.” 
Maka, dilepaskan si musyrik itu dan sekembalinya kepada kaumnya dia berkata, “Aku datang daripada orang yang sebaik-baik manusia.” Dalam Islam, ketika seseorang dizalimi, ada dua hak baginya. 

Pertama, membalas dengan setimpal perbuatannya. Manakala yang kedua memaafkannya. Jika dipilih alternatif pertama, maka balasan itu tidak boleh lebih berat, walaupun kepada musuh Islam. 

Umat Islam dilarang membalas secara melampaui batas. Jika pilihan kedua dipilih, maka orang itu sudah membeli syurga. Harga maaf itu mahal, setimpal dengan harga syurga. 

Manusia tidak akan pernah terlepas daripada melakukan dosa. Orang baik menurut ajaran Islam bukanlah mereka yang tidak pernah bersalah, melainkan orang yang apabila berbuat kesalahan dia segera menyedari kesalahannya itu kemudian meminta ampun kepada Allah. 

Allah Yang Maha Bijaksana membuka pintu maaf selebar-lebarnya. Kesalahan, tidak saja dilakukan kepada Allah tetapi lebih banyak lagi kepada sesama manusia. 

Pergaulan dalam masyarakat perlu berjalan secara sihat, harmonis dan penuh kasih sayang. Jadilah orang yang suka meminta maaf dan memaafkan orang lain.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Hidup diberkati


CINTA adalah naluri manakala manusia adalah pencari cinta. Kadang-kadang, demi cinta manusia sanggup melakukan apa saja. Ungkapan ‘cinta itu buta’ menambah kebutaan sehingga lupa kepada yang Maha Pencipta iaitu Allah.

Bersungguh-sungguh mencari cinta sementara yang penuh risiko dan derita, lupa mencari cinta yang kekal abadi dan hakiki. Menurut cerdik pandai, kalau nak kenal sejauh mana Allah cinta kita, boleh tanya diri kita sendiri, sejauh mana kita dahulu mencintai Allah. 

Kita yang menjalani kehidupan ini yang semuanya ‘meminjam’ daripada Allah. Kita lupa kepada yang memberi pinjam. Sudahlah meminjam, menumpang pula, tak tahulah pula kita ini disayangi atau dimurkai. 

Betapa bahagianya kalau dicintai Sang Pencipta yang menguasai segala-galanya. Alangkah derita jika kita antara makhluk yang tidak disukai Allah, apatah lagi jika dimurkai.

Pada pertemuan kali ini, mari kita melihat tanda-tanda jika kita disayangi Allah iaitu:

Allah akan menjaganya di dunia 
Apabila Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan menjaganya. Allah jaga mereka daripada dunia yang melalaikan dan dosa yang akan menghancurkan kehidupannya. 

Maka dalam setiap perjalanan waktu, Allah perlu menjadi tujuan kita. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan menjaga hamba-Nya yang beriman dan Dia mencintai-Nya seperti kalian menjaga makanan dan minuman orang sakit (di antara) kalian, kerana kalian takut pada (kematiannya).” (Hadis riwayat Al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Al Baihaqi). 

Kesolehan 
Ketika Allah mencintai seorang, Allah akan memberikan kekuatan kepadanya untuk menjadi hamba yang soleh. Allah mudahkan mereka untuk melakukan kebaikan. 

Maka, perjuangan menjadi lebih soleh adalah langkah mendapatkan sepenuh cinta daripada Allah. Dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Allah memberikan dunia pada yang Dia cintai dan yang Dia benci. Tetapi Dia tidak memberikan (kesedaran) beragama, kecuali kepada yang Dia Cintai. Maka barang siapa diberikan (kesedaran) beragama oleh Allah, bererti ia dicintai oleh-Nya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baihaqi). 

Memahami agama 
Ketika seorang hamba dicintai Allah, maka Allah akan memudahkannya memahami agama sehingga setiap ilmu yang dipelajari akan mudah difahami dan diamalkan. 

Sulit melakukan maksiat 
Di antara tanda Allah mencintai hamba-Nya ialah kesulitan melakukan maksiat. 
Mereka tidak akan boleh melakukan maksiat dan jika terbiasa melakukan maksiat, mereka akan merasakan itu sangatlah sulit sehingga tidak boleh melakukannya. 

Seperti kisah Rasulullah s.a.w, Allah yang memalingkan baginda supaya tidak datang ke pesta malam dengan cara menjadikannya mengantuk luar biasa dan tertidur ketika dalam perjalanan. 

Husnul Khatimah 
Di antara tanda Allah mencintai hamba-Nya ialah Dia menutup umurnya dengan amal soleh. Tidak semua manusia yang mendapatkan kenikmatan itu. 

Sebahagian manusia menghabiskan umurnya dalam ketaatan, tetapi mati dalam keadaan maksiat kepada Allah. Abu Bakar berkata: “Jika satu kakiku di dalam syurga, dan kaki yang lain di luar syurga, maka aku belum aman.” 

Jika kita melakukan maksiat, takutlah pada kematian dan hati-hatilah kalau kita mati dalam keadaan melakukan maksiat. Rasulullah Bersabda: “Jika Allah mencintai seorang hamba, Dia akan memaniskannya.” Sahabat bertanya: “Apa itu memaniskannya ya Rasulullah?” 

Baginda berkata: “Dia akan memberi petunjuk untuk melakukan kebaikan saat menjelang ajalnya, sehingga tetangga akan meredainya atau ia berkata orang sekelilingnya.” (Hadis riwayat Al-Hakim). 

Demikianlah ketika Allah mencintai kita, maka kita perlu menyedari kita hanyalah manusia biasa bukan malaikat yang tidak memiliki hawa nafsu. 

Sebagai manusia, kita sentiasa tidak pernah puas. Maka perjuangan terbesar dan terberat kita ialah melawan hawa nafsu. Jika terlalu menurut nafsu, ia akan menghancurkan kita. 

Selamat berjuang semoga Allah selalu bersama kita.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Cuti sekolah untuk caj semula semangat


MUSIM cuti sekolah sudah tiba. Anak dan pelajarlah yang gembira, maklumlah selepas penat belajar dan bertungkus-lumus di dalam kelas, sekarang tiba musim merehatkan minda, cuti daripada rutin kelas.

Berehat pun bukan sebarang rehat dan cuti tapi hendak ‘recharge’ semula semangat dan motivasi. Tinggalkan sekolah sekejap bukannya benci dan ‘give up’ pada ilmu tetapi setelah bercuti nanti kembali ke sekolah dengan lebih bersemangat dan menyintai ilmu. 

Ibu bapa mungkin sedang merancang bagaimana memanfaatkan cuti penggal ini, semoga perancangan yang digarap terbaik untuk anak.

Sebab anak adalah harta dan aset paling berharga bukan sahaja untuk keluarga malah negara dan Islam tercinta. Sebagai manusia kita sememangnya perlu didisiplinkan dengan sistem.

Solat, puasa, zakat dan haji juga mempunyai sistemnya tersendiri. Ibadah dalam Islam sebenarnya mengajar pengamalnya supaya menjadi orang bersistematik dalam kehidupan. 

Kalau berterusan mengamalkan Islam kita akan berdisiplin sama ada ketika bersekolah atau ketika cuti. Semasa bersekolah kita kena bangun awal, dengan adanya sistem solat, walaupun cuti sekolah tetap kena bangun awal juga sebab kita wajib menunaikan solat Subuh. 

Janganlah mentang-mentang tidak sekolah, solat Subuh jadi ‘subuh gajah’. 
Pastikan ibu ayah mengejutkan anak awal untuk solat. 

Begitu juga anak perempuan kita, kena pakai tudung dan tutup aurat bukan sahaja kerana disiplin sekolah atau kerana cantik dan bersopan atau kerana anak orang lain bertudung tetapi kerana ia kewajipan yang diperintahkan Allah. 

Walaupun kita ada masa untuk bercuti dan berehat, perlu diingat syaitan dan iblis tidak pernah berehat dan bercuti. Syaitan dari awal lagi sudah bersumpah akan menggoda dan menyesatkan anak Adam. 

Sebenarnya Allah menyuruh kita supaya mentaati-Nya kerana Allah hendak bagi kita syurga. Kalau kita benar-benar hendakkan syurga, kenalah taat kepada-Nya. 

Apabila tidak ikut Islam, kita tidak akan berdisiplin. Bila tidak berdisiplin, jadilah seperti ‘Mat Rempit’ yang tak berdisiplin di jalan raya malah mencabar undang-undang. 

Semuanya bermula apabila tidak takutkan Allah. Kepada ibu bapa, jangan lupa program pembangunan iman untuk anak seperti bawa mereka solat berjemaah di masjid, dengar kuliah di masjid, membaca al-Quran bersama serta hantar mereka ke kem motivasi. 
Tidak mengapa melabur sedikit demi masa depan anak. Saidina Umar berkata, “Ajar serta didiklah anak-anak kamu kerana zaman kamu berbeza dengan zaman anak kamu.” 

Cuma ibu bapa perlu lebih berhati-hati dalam memilih modul dan cara perjalanan kem motivasi yang dijalankan. Bukan apa, sebab ada setengah kem motivasi yang dijalankan tidak mementingkan roh Islam. 

Pergaulan lelaki dan perempuan tidak dijaga. Setengah permainan menghalalkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Kadang-kadang tidak menghormati waktu solat seperti waktu Maghrib sudah masuk tetapi peserta masih dalam latihan. 

Pihak masjid kalau boleh, biarlah turut sama terbabit mengatur program cuti yang efektif untuk anak. Rancang dan hebahkanlah kepada ahli jemaah untuk 
memberi ‘mood’ kepada remaja. 

Duit derma yang dihulurkan jemaah jangan hanya disimpan dan diguna untuk mengecat atau mengindahkan masjid sahaja tapi perlu ‘dipulangkan’ kepada ummah dalam bentuk program dan pendidikan. 

Masjid bukan hanya tempat ibadah tetapi juga menjadi institusi dan madrasah kepada masyarakat. 
Wang pun kalau dibelanja akan bertambah derma dan simpati penderma. Janganlah dikira sangat duit yang hilang berbanding dapat memulihkan semangat dan motivasi remaja dalam menghadapi godaan syaitan yang penuh racun itu. Selamat bercuti!

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments