SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Tanda-tanda kematian dalam husnul khatimah

KEMATIAN adalah satu perkara pasti yang mesti dilalui setiap manusia. Maka kita perlu menyediakan bekalan secukupnya bagi menghadapinya. Kematian bukanlah jalan pengakhiran kerana kita akan melalui alam barzakh sebagai tempat persinggahan sebelum menuju alam akhirat. Jika baik amalan kita di dunia, maka baik juga ketika berada di alam kubur. Sebaliknya, jika buruk amalan kita maka seksaan berat pasti menanti.

Sedar atau tidak, sesungguhnya manusia sedang menuju kepadanya. Tidak kira tua, muda, sihat atau sakit ia proses alamiah kepada sebuah kehidupan.


Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu semua melarikan diri darinya itu, pasti akan menemui kamu, kemudian kamu semua akan dikembalikan ke zat yang Maha Mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata.” (Surah Jum’ah ayat 8)


Sentiasa mengingati mati dan bersiap sedia menghadapinya supaya kita dapat menuju ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat. Kita mengharapkan supaya dapat mengakhiri kehidupan dalam keadaan ‘husnul khatimah.’ Berikut antara tanda-tanda kita mati dalam keadaan husnul khatimah antaranya:

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim).

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: ‘Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.’ (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud).

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)


4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid antara kalian? Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.” Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.” Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang yang mati tenggelam, dialah syahid.” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut: Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad).

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah. Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad).

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

10. Mengenai dua perkara ini banyak riwayat dan yang paling masyhur dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad).

11. Mati kerana penyakit tubercolosis (TBC). Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani).

12. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad).

13. Mati dalam membela agama dan jiwa. “Sesiapa terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”

14. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”

15. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatimah.

Sumber : www.hmetro.com_mohdzawawiyusoh

Posted in Labels: | 0 comments

Makmurkan masjid tanggungjawab orang beriman

Allah SWT berfirman dalam surah at-Taubah ayat 19 yang bermaksud: “Dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim”. Ayat itu jelas menunjukkan bahawa usaha memakmurkan masjid mempunyai kedudukan di sisi Allah. Allah SWT dengan tegas menyatakan bahawa tugas memakmurkan masjid Allah hanya dilaksanakan oleh orang yang beriman. Maka orang yang tidak memakmurkan masjid bererti bukanlah orang yang benar-benar beriman.

Satu hadis yang menjelaskan mengenai keutamaan membangun masjid iaitu diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Usman, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang membangun sebuah masjid untuk mencari keredaan Allah SWT, nescaya Allah SWT membangun untuknya sebuah rumah dalam syurga.

Bagaimanapun bagi setiap Muslim perlulah memelihara adab yang disyariatkan mengenai masjid, antaranya:

Pertama: Masuk ke dalam masjid hendaklah mendahulukan kaki kanan dan keluar dengan mendahulukan kaki kiri. Sebelum ke masjid hendaklah membaca doa ke masjid seperti diajar Nabi SAW, antaranya: Allahummaj’al fi qalbi nuran, wafi bashari nuran, wafi sam’i nuran, wa’an yamini nuran, wa’an syimali nuran, wa’an amami nuran, wa’an khalfi nuran, wafi ‘ashabi nuran wafi lahmi nuran, wafi sya’ri nuran wafi basyari nuran (yang bermaksud: Wahai Tuhanku, jadikanlah cahaya pada hatiku, cahaya pada penglihatanku, cahaya pada pendengaranku, cahaya di sebelah kananku, cahaya di sebelah kiriku, cahaya di sebelah mukaku, cahaya di sebelah belakangku, cahaya pada uratku, cahaya pada dagingku, cahaya pada darahku, cahaya pada rambutku, dan cahaya pada kulitku.)

Kedua: Mengerjakan solat dua rakaat solat tahiyyatul masjid apabila masuk masjid.

Ketiga: Duduk dalam masjid dengan menghadap kiblat.

Keempat: Berniat iktikaf selama duduk di dalamnya.

Kelima: Memelihara kebersihan masjid dan tidak mengotorinya.

Keenam: Tidak melakukan perkara tidak disukai syarak seperti bernyanyi, bertanyakan barang-barang yang hilang dan seumpamanya.

Bagi persoalan bagaimana cara untuk kita memakmurkan masjid, ada banyak sebenarnya. Ini termasuk:

Pertama: mendirikan masjid di tempat dirasakan perlu untuk memudahkan umat Islam mendirikan jamaah. Hukum melaksanakan perkara ini adalah fardu kifayah.

Kedua: membantu dan menyokong masjid yang sudah didirikan.

Ketiga: memuliakan masjid dengan tetap melakukan ibadat di dalamnya, menyebut Allah di dalamnya, sentiasa tetap didirikan solat berjemaah, mengadakan program ilmu seperti tazkirah, kuliah ilmu dan seumpamanya.

Keempat: menjaga adab dalam masjid seperti yang sudah diterangkan di atas.

Bagi mereka yang dilantik menguruskan masjid, hendaklah melakukan perkara yang memberi kebaikan kepada masjid seperti memperbaiki masjid, memastikan azan sentiasa dikumandangkan setiap kali masuk waktu solat, memastikan solat berjemaah sentiasa didirikan, ‘mewangikan’ masjid dan memasang lampu sekadar perlu lebih-lebih lagi setiap kali hari raya, menambah pendapatan wakaf masjid dengan berlaku jujur dan ikhlas dalam menjaga harta itu.

Pada masa sama, hendaklah menjaga kebersihan dan keselamatan perkakas masjid, manakala pegawai masjid, imam, muazzin, tukang bersih dan seumpamanya hendaklah menjalankan tugas yang telah ditetapkan untuk mereka. Demikianlah, wallahua’lam.

Sumber: www.bharian_zahazanmohammed

Posted in Labels: | 0 comments

Luangkan masa renung hubungan dengan Pencipta

MANUSIA sebenarnya sentiasa berfikir. Setiap hari sewaktu bekerja kita berfikir mengenai pekerjaan dan bagaimana cara untuk meningkatkan prestasi kerja. Kita juga berfikir mengenai cara mengatasi masalah yang dihadapi. Akhirnya kita akan berfikir mengenai cara menghasilkan prestasi terbaik. Begitulah keadaan akal kita yang tidak pernah berhenti daripada berfikir. Bagaimanapun, kita akan berfikir dengan lebih serius apabila berhadapan dengan masalah, misalnya ketika ditimpa musibah, kesempitan wang, sakit atau menghadapi kegagalan.

Kita berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Lebih berat masalah yang kita hadapi, lebih besar usaha berfikir yang dilakukan. Dalam banyak waktu kita habiskan untuk berfikir pernahkah ada dalam fikiran kita mengenai hubungan kita dengan Pencipta?

Bagaimana prestasi iman kita? Bagaimana jalan hidup yang sudah dan sedang serta yang akan kita lalui, adakah mengikut kehendak kita atau kehendak Pencipta?

Pernahkah kita berfikir untuk `menyemak’ semula batin kita? Adakah di dalamnya jernih laksana titisan embun atau lakaran hitam yang kelabu dan berdebu dengan dosa?

Bagaimana solat kita, puasa, anak-anak, suami atau isteri kita sudahkah jelas kefahaman mereka sebagai hamba Allah? Sudahkah matlamat kita selari dengan kehendak Pencipta?

Sudah layakkah kita memegang gelaran ‘khalifah Allah’ yang mempunyai tugas besar sebagai ejen perubahan dalam masyarakat? Kata orang kalau banyak sangat tanya dikatakan banyak ‘songeh’.

Semua soalan yang dilontarkan sebenarnya saya hendak kongsi mengenai kepentingan berfikir. Dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Betapa mahalnya nilai berfikir dan kesan yang diperoleh jika betul cara berfikir kita, berbanding ibadat begitu saja. Berfikir sebenarnya adalah proses menyimpan, mengingat, menganalisis dan menyimpulkan berbagai-bagai maklumat yang ada di dalam dan luar diri kita sehingga menjadi idea dan akhirnya mendorong kita untuk bertindak.

Fikiranlah yang mengarahkan ke mana kita akan pergi dan bagaimana kita akan buat kerana dalam fikiran itu, seluruh keputusan, perencanaan serta konsep hidup ditentukan.

Malah, dengan pemikiran jugalah menjadi penentu dekatnya kita dengan Allah. Satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah wahai Anas sesungguhnya orang yang bodoh itu lebih banyak tertimpa musibah kerana kebodohannya daripada orang jahat yang berakal.”

Sesungguhnya amat mudah seorang hamba mendekati Tuhannya dengan akalnya. Kata Napolean Hill: “If a man is right, his world will be right.”

Jadi, dalam kesibukan kita mencari kebahagiaan dunia, jangan lupa memberikan waktu untuk berfikir. Bahagikan masa kita kepada empat waktu iaitu:

  • Waktu untuk bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah.
  • Waktu untuk bermuhasabah mengenai dirinya.
  • Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah.
  • Waktu untuk menumpukan kepada keperluan seperti mencari makanan dan minum.

Sumber: www.hmetro_mohd.zawawiyusoh

Posted in Labels: | 0 comments

Perilaku ayah jadi model anak

AYAH adalah pelukis kehidupan anak-anaknya. Bahkan kejayaan hidup anak adalah berpunca daripada hasil dorongan dan peranan ayah sebagai guru dan murabbi. Kehidupan seorang ayah menampilkan bentuk kehidupan sebenar yang akan dimiliki anaknya pada satu masa nanti. Masa muda seorang anak adalah waktu mereka sentiasa ingin melihat perkara baru dan ingin mencubanya.

Mereka mula menapak mencari jalan hidupnya sendiri dan melakukan sesuatu yang mirip dengan apa yang dapat dilakukan ayahnya.

George Bernard Shaw mengatakan "Masa muda adalah masa terindah; sayang sekali orang muda suka mensia-siakannya." Ayah adalah pengantar anaknya untuk masa muda dengan hal yang dapat mendatangkan manfaat.

Prinsip berkongsi manfaat yang diajarkan al-Quran kepada kita adalah kebaikan yang dilakukan kepada orang lain. Pada akhirnya akan kembali kepada pelakunya sendiri.

Kitalah yang akan lebih banyak menerima manfaat daripada orang yang menerima pertolongan kita. Allah SWT berfirman di surah Al-Isra' ayat ke-7 yang bermaksud: "Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri."

Sumbangan terbesar seorang ayah dalam hidup anaknya ialah ketika dia mampu membentuk anaknya menjadi insan yang soleh dan solehah untuk umat ini.

Mereka menjadi Muslim yang kuat, menjadi duta masyarakatnya dengan ilmu yang dimilikinya. Dari sahabat Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mukmin yang kuat lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan masing-masing memiliki kebaikan. Bersemangatlah terhadap hal-hal yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan berasa malas, dan apabila engkau ditimpa sesuatu maka katakanlah "Qodarulloh wa maa syaa'a fa'al, ditakdirkan Allah dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi" (Hadis riwayat Muslim).

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa yang ditujukan kepada orang tua, "Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar." (Surah An-Nisa ayat 9).

Dalam tafsir, Ibnu Katsir mengatakan Ali bin Abi Thalhah berkata dari Ibnu 'Abbas: "Ayat ini berkenaan dengan seorang lelaki yang meninggal, kemudian seseorang mendengar dia memberikan wasiat yang membahayakan ahli warisnya, maka Allah SWT memerintahkan orang yang mendengarkannya untuk bertakwa kepada Allah serta membimbing dan mengarahkannya kepada kebenaran."

Kejayaan masa depan anak bukan kerana umur atau kemampuan yang dimilikinya. Seorang ayah semestinya melukis sebaik mungkin.

Kecantikan lukisan itu dilakar daripada kesesuaian warnanya.

Paduan warna yang indah disertai adunan warna yang anggun membentuk pelangi di langit. Warna biru dan putih membentuk warna air di laut lepas.

Warna hijau membentuk suasana pepohon yang berjajar terlihat anggun. Semua lukisan kreatif si ayah membentuk semua warna kehidupan si anak.

Mencipta kecemerlangan anak adalah tugas mulia seorang ayah. Mendidik anak sehingga berjaya adalah satu proses yang panjang. Tidak mustahil akan dipertemukan pada saat anak sudah berumur dan ayah menjelang umur kematian.

Proses penemuan ini memerlukan ketekunan, kekuatan kesabaran daripada orang tuanya, khususnya ayah. Sebab itu, dalam melukis masa depan anak, seseorang ayah ada tiga bekalan yang tidak boleh ditinggalkannya, iaitu sabar, sabar dan sabar.

Kesabaran seperti yang dimiliki Nabi Yaakub ketika menghadapi kejahatan abang-abang Nabi Yusuf sehingga membawa kehilangan anaknya yang tercinta itu.

Kesabaran Nabi Yaakub itu diabadikan Allah SWT di dalam al-Quran dalam Surat Yusuf ayat 18 yang bermaksud: "Dan mereka datang membawa baju Yusuf (yang berlumuran) dengan darah palsu. Berkata bapanya: Bahkan dirimu menghiaskan (memandang baik) urusan itu. Sabarlah yang lebih baik. Dan kepada Allah meminta pertolongan tentang apa yang kamu terangkan itu." (Surah Yusuf ayat 18).

Pengetahuan seorang nabi tidak menjadikan Nabi Yaakub mengherdik anak-anaknya. Pengetahuan kenabian yang tidak diketahui anak-anaknya, tidak menyebabkan Yaakub membela pendapatnya, "Memang kamu salah, dan aku tahu aku yang paling benar."

Akan tetapi Nabi Yaakub menguatkan kesabaran dengan mengucapkan, "Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku)." Subhanallah.

Sumber: www.hmetro_mohdzawawiyusoh

Posted in Labels: | 0 comments

Cara Nabi Muhammad s.a.w Menjaga Kesihatan

BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita. Ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja. Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.

Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:

Selalu bangun sebelum subuh

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.


Aktif menjaga kebersihan

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)

Tidak pernah makan berlebihan

Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih). Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

Gemar berjalan kaki

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

Tidak pemarah

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring. Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.

Optimis dan tidak putus asa

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.

Tidak pernah iri hati

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”


Pemaaf
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat. Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.

Sumber : www.bharian.com_mohdzawawiyusoh

Posted in Labels: | 0 comments