SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Kebahagiaan terpancar daripada keberkatan Allah

UMAT Islam perlu mencari keberkatan kerana tanpanya jiwa pasti tidak akan berasa tenang dan puas. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah ayat 155-157).

Ada golongan berusaha siang malam mencari rezeki. Malah, sanggup menggadai nyawa tetapi mengapa ia tidak memberikan jaminan kebahagiaan?

Mengapa ada yang memiliki rumah besar dan megah, tetapi masih tidak gembira? Bahkan mereka bermati-matian mencari kebahagiaan dan ketenteraman, sedangkan apa yang mereka peroleh ialah masalah. Kenapa ia berlaku?

Antara sebabnya ialah tiada keberkatan. Rasulullah s.a.w mendoakan sahabatnya di majlis perkahwinan semoga rumah tangga berkat. Malah, supaya dapat kaya, kekayaan yang berkat, sahabat yang ada ilmu berdoa ilmu berkat.


Berkat ialah pelbagai guna, bermanfaat di dunia dan akhirat. Kita tidak hanya boleh berbangga dengan apa yang kita miliki, tetapi yang patut dibanggakan ialah keberkatan menerima nikmat. Jadi, bukannya kita patut takut tidak memiliki sesuatu, tetapi harus takut sesuatu yang dimiliki tidak berkat. Keberkatan maknanya subur, dengan kebaikan, permohonannya diterima dan kebahagiaan. Jadi, keberkatan membawa ke syurga sebaliknya tanpa keberkatan kita dibawa ke neraka. Doa yang kita pinta ketika makan berbunyi: “Wahai Tuhanku berkatilah apa yang Engkau berikan pada kami ini dan selamatkanlah daripada api neraka.” Maknanya makanan yang tidak berkat walaupun sesuap boleh bawa ke neraka. Apa lagi kalau harta berlambak-lambak, ilmu melaut dan pelbagai gelaran.

Menurut sejarah, Umar Abdul Aziz ketika menjalankan tugas pada malam hari di Baitulmal tiba-tiba anaknya mengetuk pintu. Apabila dilihat anaknya yang ingin bertanya mengenai urusan rumah tangga, beliau terus memadamkan lampu. Si anak bertanya: “Kenapa ayah padamkan lampu.” Jawab Umar: “Kerana minyak lampu ini milik negara. Ia tidak layak untuk urusan peribadi. Inilah contoh keberkatan dalam erti kata yang sebenar. Keberkatan meliputi soal wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Wajib, mesti buat dan jika buat dapat pahala besar tetapi jika tidak buat dosa besar. Perkara yang harus diberikan pilihan, yang makruh patut dijauhi manakala yang haram mesti dijauhi. Kunci kebahagiaan ialah bersederhana di samping pengurusan yang pintar dan segala aktiviti mesti sesuai dengan syariat Allah s.w.t.

Contoh kecil yang dianggap remeh manusia hari ini ialah waktu solat. Mencari harta jangan sampai melupakan solat, mencari harta jangan sampai lupa kepada halal haram. Mencari untung patut dikerjakan sebanyak mungkin, tetapi apalah ertinya keuntungan jika membabitkan soal haram yang dimurkai Allah.

Pelajar sebagai contoh, apalah ertinya berjaga malam, bersengkang mata, belajar dan mengulangkaji, tetapi esoknya tidak mengerjakan solat Subuh.

Ilmu yang tidak berkat ialah ilmu yang ada di akal, ilmu dalam bentuk maklumat dan pengetahuan, tidak menjadi cahaya dan petunjuk.

Apabila ilmu tidak berkat, ia hanya boleh berhujah, tetapi tidak boleh merubah mereka.

Sumber : www.hmetro_mohd.zawawiyusoh

Posted in Labels: | 0 comments

Ikrar jauhi maksiat bersungguh-sungguh

BUAT dosa memang seronok. Lihatlah sendiri bagaimana riuh dan heboh dalam golongan yang mengunjungi konsert liar di tepi pantai, dataran, pusat membeli-belah dan kelab malam. Tidak kurang juga yang melakukan maksiat di rumah sendiri iaitu dengan menonton televisyen, radio, Internet, SMS, MMS, sumbang mahram dan sebagainya. Majlis ilmu di masjid tidak diikuti, kitab suci al-Quran tidak dibuka dan dibaca tetapi peribadi dan akhlak semakin jauh dari landasan sebenar.

Beberapa bulan lalu, di Indonesia berlakunya letupan gunung berapi. Lihat saja bagaimana penduduknya bertempiaran lari kerana takut kepada lava panas yang keluar daripada Gunung Merapi.


Malah, ada yang tidak sempat melarikan diri, terkorban dengan kesan yang cukup menyayat hati apabila mendapat kecederaan parah di seluruh anggota badan akibat terkena debu panas.


Panasnya lava tidak sama dengan kepanasan api neraka. Sebagaimana disebut dalam hadis panas api neraka melebihi 70 kali ganda kepanasan dan tahap bakaran api di dunia.

Bayangkan kalau Allah percikkan satu asap api neraka apalah agaknya berlaku kepada kita? Ya Allah selamatkan kami semua.

Kita semua melakukan dosa. Apalagi penulis yang sangat banyak silap dalam hidup ini, sudah banyak kali kita berjanji hendak tinggalkan dosa, sudah tidak mahu buat lagi, sudah menangis dan hendak tinggalkan dosa tetapi yang berlaku kadang-kadang hanya bertahan beberapa hari, bulan atau tahun.

Bagi mereka yang diberi sedikit kekuatan kemudian mengulangi lagi, mengulang dan mengulang, malah makin berselera selepas berpantang.

Yang jahil biasa bergurau kasar dengan kata "Aku buat dosa sebab Allah sudah takdirkan aku macam ni nak buat macam mana lagi".

Ada pula yang berkata, "Kita buat dosa tidak apa, tetapi jangan lupa kita kena buat baik banyak-banyak nanti kebaikan akan dapat menghapus dosa kita.

Pernah berlaku pada zaman Saidina Umar, seorang lelaki mencuri dan apabila diadili dia di dapati bersalah dan dihukum potong tangan. Dia kemudian membela diri dengan berkata, "Aku buat ini (mencuri) kerana Allah yang sudah tentukan". Kemudian Saidina Umar menyatakan hukuman kepada lelaki ini disamping potong tangan dia juga kena sebat 40 rotan, sahabat hairan kenapa ditambah hukuman terhadapnya? Umar berkata hukuman sebat 40 rotan itu di tambah kerana menyalahkan dan membuat tuduhan palsu terhadap Allah.

Sebenarnya syurga disediakan untuk mereka yang berjaya, dan orang yang berjaya ialah orang yang mampu mengalahkan nafsu dan mengatasi ujian hidup.

Dosa laksana soalan hidup yang kita kena jawab. Jawapan pula kena ikut skrip al-Quran dan hadis, manakala pemeriksa amalan di akhirat nanti ialah Allah Yang Maha Adil.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dialah yang telah takdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." (Surah Al-Mulk ayat 2).

Kalau ada yang kata, aku sudah banyak pahala tak apalah buat dosa sekali sekala, memang bohong, bohong dan bohong. Hakikatnya, Allah menciptakan benda baik itu banyak dan melebihi 24 jam sehari jika hendak melaksanakan semua.

Hatta ada manusia terpaksa mengorbankan waktu tidurnya kerana hendak melakukan lebih banyak kebaikan. Mungkin benar kita sudah buat baik dan pahala, tetapi yang patut juga kita tanya adakah kebaikan yang kita buat itu diterima Allah?

Sebab kalau sudah memang kebaikan yang kita buat tentu hati kita sudah terisi dengan makruf dan kalau hati sudah terisi dengan kebaikan bagaimana pula mungkar boleh masuk?

Tulisan ini bukan mahu menuduh sesiapa, tetapi mahu mengajak kita sama-sama bermuhasabah berkenaan waktu terluang dan peluang yang sangat banyak untuk kita lakukan ketaatan.

Benarlah firman Allah yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah Al-'Asr ayat 1-3).

Ada banyak cara untuk kita hindari dosa dan maksiat di kesempatan terbatas ini marilah kita berprinsip, bermati-matian untuk menjauhi dosa.

Selama ini kita banyak bermain-main dalam menjauhi dosa dan maksiat, banyak main dalam beribadat dan taat kepada perintah Allah. Bermati-matianlah dalam bersolat, bermati-matian dalam berdakwah, bermati-matian dalam berzikir dan bermati matian dalam mencari cinta Allah serta mengamalkan sunnah Rasul.

Sumber : www.hmetro.com_mohd.zawawiyusoh

Posted in Labels: | 0 comments

Program Pend Luar & Program BIG KPLI 2011

Program Pendidikan Luar dan Program Bina Insan Guru KDC KPLI Pendidikan Khas ambilan November 2010 dan KPLI (R) Bahasa Inggeris 2 ambilan Januari 2011.

Unit Terlibat

KDC KPLI Pendidikan Khas 1 ambilan November 2010

KDC KPLI Pendidikan Khas 2 ambilan November 2010

KDC KPLI Pendidikan Khas 3 ambilan November 2010

KPLI (R) Bahasa Inggeris 2 ambilan Januari 2011.

Tarikh : 27 - 30 Mei 2011

Hari : Jumaat - Isnin

Tempat: Pusat Kecemerlangan Taman Laut, Pulau Tinggi, Mersing, Johor Darul Takzim

Adab Bersama Guru (2)

Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).

Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.

Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).

Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.

Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.

Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.

Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud: “ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)

Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.

Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.

Sumber : smkabandar.sbpi.edu.my

Posted in Labels: | 0 comments

Adab Bersama Guru (1)

Di dalam Islam kedudukan guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat. Jika tiada guru maka manusia akan menjadi haiwan lantaran tidak ada pengajaran dan bimbingan. Oleh kerana itu Islam sangat mengambil berat tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa memuliakan Allah syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia memurkai Allah. Sesiapa yang memurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh kerana itu seorang pelajar mestilah memelihara adab-adab bersama guru.

Adab-adabnya antara lain adalah seperti berikut:

1. Memberi salam dan sentiasa hormat kepada guru.

2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.

3. Jika ingin bertanya minta izin terlebih dahulu.

4. Cari masa yang sesuai untuk bertanya.

5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru.

6. Hindari daripada menyinggung perasaan guru.

7. Memberi bantuan kepada guru apa yang dapat dibantu.

8. Lakukanlah apa yang paling disenangi oleh guru.

9. Bercakap dengan baik dengan guru, dengan menggunakan bahasa yang baik.

10. Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan guru.

Sumber : smkabandar.sbpi.edu.my

Posted in Labels: | 0 comments

Selamat Hari Guru 2011

“Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of The Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.” Dedikasi Selamat Hari Guru kpd semua guru di SK Serkam, SMK Seri Mahkota, SMK (A) Sultah Muhammad, SMK Dato Abdul Rahman Ya'kub, Maktab Perguruan Mohd Khalid, SK Nam Heng, SJK (T) Ladang Sg Papan, SK Batu Gajah, SMK Padang Temu, Bekas pelajar MPPM, IPPM, IPGKPM dan semua guru di Malaysia.

Posted in Labels: | 0 comments

Terjemah al-Quran kepada tingkah laku

UMAT Islam perlu mendekati al-Quran bagi mempertajamkan minda dan memperkuatkan peribadi iaitu dengan cara memperbanyakkan membacanya, mendengarnya, memahami isi kandungannya serta menjadikannya sebagai sumber hukum.
Al-Quran adalah sumber rujukan terbaik dalam kehidupan. Dalam kekalutan manusia hidup tanpa panduan, al-Quran datang dan mengajar manusia bagaimana hendak mengurus kehidupan.

Segala-galanya terdapat di dalam al-Quran. Ada secara terperinci dan ada secara umum, yang diperjelaskan hadis. Al-Quran kitab suci yang tetap akan terpelihara daripada sebarang gangguan dan campur tangan manusia.

Ini ditegaskan Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan menjaganya.” (Surah al-Hijr ayat 9).

Kandungan al-Quran yang sama seperti dulu sepatutnya dihayati generasi kini agar jenis manusia serupa dilahirkan, iaitu manusia generasi al-Quran.

Inilah kejayaan utama Rasulullah iaitu menterjemahkan al-Quran daripada ayat yang dibaca kepada perbuatan dan tingkah laku. Lahirlah generasi al-Quran yang bergerak dan berada di mana-mana.

Allah menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad dan memeliharanya dengan baik. Sejak diturunkan tidak ada satu perkataan atau ayat yang berubah dan ia kekal terpelihara sehingga ke hari kiamat.

Setiap ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad akan disampaikan kepada sahabatnya. Ramai di kalangan sahabat yang terus menghafalnya. Selain itu, baginda menyuruh menulis setiap ayat di atas pelepah kurma, batu atau tulang. Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman barulah al-Quran dikumpul dan ditulis semula dalam bentuk buku yang dinamakan mushaf yang kita pusakai sehingga ke hari ini.

Oleh itu al-Quran selayaknya mendapat layanan istimewa iaitu berupa penghayatan berkenaan melakukan suruhannya serta menjauhi larangannya.

Membaca al-Quran bukan hanya untuk panduan hukum agama saja, malah menjadikannya sebagai buku panduan hidup. Seperkara yang perlu diketahui ialah penemuan baru yang selari dengan penyataan al-Quran malah ia telah lama dinyatakan di dalam al-Quran.

Kalau kita boleh berbangga dengan penemuan sains semestinya kita perlu lebih takjub dengan kecanggihan al-Quran yang mendahului zaman.

Al-Quran menyatakan pengembangan alam yang berkaitan dengan bidang sains. Firman Allah yang bermaksud: “Dan langit kami bangunkan dengan kekuasaan kami sesungguhnya kami benar-benar meluaskannya.”

Ayat berkenaan menceritakan mengenai pengembangan alam, di mana Allah sebut ribuan tahun dahulu.

Teori Big Bang contohnya sudah lama disentuh di dalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud: “Apakah orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum satu kemudian Kami pisahkan (letupkan) antara kedua-duanya”. (Surah al-Anbia’ ayat 30).

Cuba bayangkan hakikat yang ditemui pada abad 20 ini sudah dijelaskan oleh al-Quran sejak 1400 tahun dulu. Segala penemuan ini selari dengan penyataan ayat al-Quran.

Tidak hairanlah sekiranya orang Islam mendahului bangsa lain dari sudut ketamadunan. Ini kerana al-Quran berada di hati mereka untuk memakmurkan alam ini.

Hasil kehebatan al-Quran itulah terbentuknya tamadun di Sepanyol, Turki, Iraq, India, Afrika manakala Barat mempelajari daripada Islam seterusnya mengembangkannya mengikut acuan mereka.

Sumber: www.hmetro.com.my_mohd.zawawi jusoh

Posted in Labels: | 0 comments

Al-Quran ubat jiwa keresahan

BETAPA mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, ramai yang salah cara. Lihat saja orang sanggup menghabiskan berjam-jam tenggelam di tempat hiburan meneguk minuman keras.

Ada yang menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan pil penenang, namun ketenangan yang dicari tidak kunjung tiba. Banyak perkara yang membuat seseorang berasa tertekan, kecewa dan kacau.

Pada peringkat ini, mereka yang menderita kerap melakukan tindakan di luar akal fikiran manusia. Namun, Islam memberikan ubat dan penawar merawat ketenangan.

Berikut adalah langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa

Membaca dan mendengarkan al-Quran

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh: “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu.

Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali. Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu.

Menyayangi orang miskin

Rasulullah memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin.

Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan: “Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kikir itu kebinasaan.”

Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan. Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain.

Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah.

Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atas

Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit.

Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran.

Betapa banyak di dunia ini orang yang kurang beruntung. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga ganjaran daripada Allah.

Menjaga silaturahim

Manusia adalah makhluk yang perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan manusia lain. Pelbagai keperluan hidup takkan mungkin boleh diraih tanpa adanya bantuan daripada orang lain.

Dalam hadis Rasulullah diperintahkan untuk tetap menjalin silaturahim sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan kepada kita. Rasulullah bersabda bahawa silaturahim dapat memanjangkan umur dan mendatangkan rezeki.

Hubungan yang baik di dalam keluarga, mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya.

Banyak mengucapkan la hawla wa la quwwata illa billah.

Sumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah.

Kuatnya hubungan kita dengan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi kuat, tidak mudah goyah. Apabila kita lalai mengingati Allah, maka ia membuka peluang bagi syaitan mempengaruhi fikiran kita.

Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahit

Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan.

Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran.

Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria.

Tidak ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana Allah

Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya. Seorang akan memiliki pendirian kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah.

Tidak meminta kepada orang lain

Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah’ adalah hadis Rasulullah yang merangsang setiap mukmin untuk hidup berdikari.

Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan.

Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah.

Menjauhi hutang

Dalam sebuah hadis, Rasulullah dengan tegas mengatakan: “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!” Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu! Sabdanya: Kerana hutang.” Begitulah kenyataannya. Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya.

Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah juga mengatakan: “Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.”

Selalu berfikir positif

Mengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri.

Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemas, ubahlah dengan ungkapan senang. Bukankah di sebalik kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh jadi pengajaran?

Sumber: www.hmetro.com.my_mohd.zawawijusoh

Posted in Labels: | 0 comments