Persoalan Hukum Tepuk Tangan
Posted On Wednesday, October 26, 2011 at at 10:54 PM by maoriHaram ketika solat, diharus bagi meriahkan majlis.
Kebiasaannya bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program.
Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya. Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.
Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.
Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35).
Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.
Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.
Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.
Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.
Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.
Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.
Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.
Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.
Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.
Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.
Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.
Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.
Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.
Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.
Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.
Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.
Sumber: www.bharian.com_agama_Muhammad Asyraf
Kaedah boleh diamal hindari mengumpat jadi budaya hidup
Posted On Saturday, October 15, 2011 at at 3:18 PM by maori
MENGUMPAT ialah menceritakan, menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.
Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui orang yang mendengarnya. Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Muslim).
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.
Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis Abu Daud).
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka, akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah bermaksud, "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.
Maka, dia berkata kepada Allah, "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab, "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.
Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.
Oleh itu, banyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.
Antaranya ialah:
· Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.
· Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.
· Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.
Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:
Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;
· Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;
· Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat.
· Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan
· Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.
Sumber: www. agamaberitaharian.blogspot.com/2009
Marah biar bertempat ikut panduan al-Quran, Sunnah Rasulullah
Posted On Wednesday, October 12, 2011 at at 3:01 PM by maori
NABI SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: "Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: Jangan engkau marah." Nabi SAW mengulanginya sebanyak tiga kali.
Setiap manusia ada mempunyai sifat marah, begitu juga haiwan. Seekor kucing yang jinak dan manja akan marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali.
Sifat sabar adalah penghalang daripada sifat marah. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.
Menurut Imam Al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api bersumber daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak tahu marah.
Marah yang sederhana adalah marah terpuji, manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah keterlaluan adalah termasuk dalam marah terkeji yang dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya.
Marah keterlaluan dilarang Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi tidak baik kepada orang yang marah, juga orang kena marah. Disebabkan marah ada rumah tangga runtuh, kerana marah anak didera, pembunuhan berlaku, anak lari dari rumah, majikan ditetak pembantu rumah dan kerana marah orang saman-menyaman.
Menurut Imam Al-Ghazali, 10 punca menyebabkan sifat marah:
- · rasa bangga diri (sombong)
- · takjub kepada peribadi sendiri
- · suka bergurau senda yang ber lebihan dan melampaui batas
- · suka bercakap perkara sia-sia
- · suka membuat fitnah
- · suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara
- · khianat
- · tamak kepada harta dan pangkat
- · tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi dengki dan irihati.
Apabila seseorang itu marah maka pergerakan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina.
Orang yang marah akan merendah-rendahkan orang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara betul, semua tindakan mengikut nafsu kemarahannya.
Bagi orang yang waras, tentu kita tidak sanggup melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.
Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.
Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur.”
"Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.”
Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.
Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: "Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku." Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.
Sumber: www. agamaberitaharian.blogspot.com/2009