Batasan pergaulan lelaki, wanita bukan mahram
Posted On Friday, February 24, 2012 at at 9:16 AM by maori
Alam remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.
Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, ‘sesungguhnya aku takut kepada Allah.”
Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’
Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram.
Kalau ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah.
Semuanya bermula dengan pergaulan bebas tanpa batas, berkawan tak salah yang salahnya bila melampaui batas. Kali ini penulis tampilkan batas-batas dalam pergaulan supaya menjadi bimbingan kepada khalayak remaja sekalian, iaitu:
1) Pandangan
2) Pertemuan
3) Percakapan
4) Berjabat tangan
5) Bersentuhan badan
Pandangan yang dimaksudkan di sini adalah pandangan yang biasa bukan bertujuan untuk menimbulkan hawa nafsu sama ada dari pihak lelaki atau perempuan.
Bagi kaum lelaki, Allah s.w.t memberi peringatan di dalam firman-Nya dalam Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud: “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka...”
Bagi kaum perempuan juga Allah s.w.t memberi peringatan-Nya sebagaimana maksud Surah An-Nur ayat 31 “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak tengok) setengah dari pandangan mereka...” dari kedua-dua ayat itu kita dapat menafsirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja.
Pandangannya pula tidak keterlaluan atau memandang melampaui batas sehingga menerbitkan hawa nafsu sesama sendiri. Hanya dengan pandangan saja kita percaya hawa nafsu akan menguasai dan syaitan mudah menggoda akhirnya mendorong mereka ke arah kancah maksiat.
Maksud pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat sunyi.
Dalam konteks hari ini lebih di kenali dengan istilah ‘khalwat’ mengikut kebiasaannya apabila dua orang yang bukan mahramnya bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan maksiat.
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain).
Dari hadis di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.
Percakapan atau perbualan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh mendatangkan syak wasangka.
Dalam soal ini bukan bermakna antara lelaki dan perempuan tidak untuk bergaul dan bercakap-cakap, Islam tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah mempunyai tujuan yang tertentu atau urusan yang penting sahaja.
Larangan itu dibuat semata-mata untuk menghindari pandangan serong atau fitnah orang terutama sekali kaum perempuan.
Berjabat tangan bermaksud menghulurkan dan menyambut tangan orang lain tanda hubungan silaturahim antara mereka, perlakuan itu meliputi lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan atau sebaliknya.
Menurut Islam hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram. Siti Aisyah r.a ada berkata: “...demi Allah, tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan.” (Riwayat Imam Ahmad)
Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.
Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”
Dari hadis di atas dapatlah kita mentakrifkan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah dilarang keras Allah s.w.t.
Sumber: www.hmetro.com.my
BerJUBAH Tetapi Telanjang ?
Posted On Friday, February 17, 2012 at at 3:10 PM by maori
Berhenti MeLUCAHkan Jubah Muslimah ! Berhenti MeSEKSIkan Jubah Muslimah.
Ini satu teguran penulis kepada pengusaha-pengusaha butik, kakitangan-kakitangan kerajaan, cikgu-cikgu dan wanita-wanita Melayu Islam sekalian.
Mungkin di tanah arab, Jubah adalah satu pakaian budaya tetapi di Malaysia, Jubah adalah simbol pakaian mulia yang mencerminkan personaliti akhlak Islam. Jubah membawa imej Muslimah yang merendah diri, pemalu, sederhana dan mulia. Sudah pastinya, ciri utama Jubah yang dikehendaki Islam adalah menutup-memelihara Aurat dan bukannya membalut-membonjol Aurat seperti yang diamalkan segelintir Muslimah moden zaman kini.
Kemajuan industri fesyen Muslimah tidak boleh dijadikan alasan. Imej kesederhanaan dan kemuliaan Jubah WAJIB dikekalkan dan TIDAK BOLEH dirosakkan dengan sebarang elemen-elemen tabarruj dan berhias untuk menunjuk cantik. Apatah lagi jika Jubah cuba digabung-padankan dengan rekaan yang sendat dan ketat, sudah pasti hukumnya HARAM dan berdosa besar di dalam Islam. Akan terhasillah nanti sepasang Jubah yang MAKSIAT.
Telah menjadi trend fesyen sejak kebelakangan ini, ramai wanita Islam di Malaysia gemar mengenakan Jubah untuk ke majlis-majlis dan ke tempat kerja, khususnya pada hari Jumaat.
Malang sekali, Jubah-jubah yang dipakai mereka sudah hilang faedah dan hikmahnya di sisi Islam. Memang Jubah mereka labuh dan tidak menampakkan warna kulit, tetapi rekaaannya sengaja mengikut potongan badan si pemakai khususnya di bahagian dada dan pinggang. Seolah-olah mereka cuba memasukkan unsur 'ketat' dari fesyen kebaya ke dalam fesyen Jubah.
Selain daripada itu, Jubah juga tidak sesuai diperbuat daripada fabrik yang terlalu lembut kerana ia akan melekat di badan. Diburukkan lagi dengan rekaan Jubah yang sendat di bahagian dada, maka akan kelihatanlah bentuk buah dada yang ketara dari luar Jubah. Sekiranya rekaan sesebuah Jubah Muslimah itu direka mengikut lenggok bahagian pinggang, maka di bahagian punggung juga turut akan menjadi sendat. Fabrik Jubah yang terlalu lembut berwarna plain akan menyebabkan bentuk seluar dalam kelihatan dari luar Jubah apabila wanita Islam itu duduk, berdiri dan berjalan. Istighfar !
Tujuan asal Jubah adalah untuk meminimum dan menghalang kesan seksual dari Aurat tubuh wanita ke atas pandangan nafsu syahwat kaum lelaki yang melihat. Tetapi, apa gunanya lagi, jika Jubah pun sudah mula disendat dan di-kebaya-kan akan rekaannya. Apa maknanya Jubah Muslimah sekiranya lelaki boleh terangsang nafsu apabila melihatnya.
Ingatlah, Jubah yang direstui dan diberikan pahala di dalam Islam adalah Jubah Muslimah yang dipakai kerana kesungguhan mahu memelihara Aurat bukannya kerana keseronokan mengikut perkembangan fesyen. Jubah Muslimah yang sebenar mestilah longgar dan lapang. Maka, rekaan Jubah Muslimah tidak boleh ditempah sendat dan mengikut alur bentuk tubuh wanita.
IKHSAN: http://wanitamelayuseksa.blogspot.com/
Untuk kalahkan syaitan perlu ada ilmu
Posted On Thursday, February 9, 2012 at at 10:07 PM by maori
Kita sebenarnya kuat dan boleh mengalahkan syaitan. Nak kalahkan syaitan bukan sekadar sebut sahaja, tapi kena ada ilmu dan tahu ‘sepak terajang’ syaitan kerana syaitan adalah musuh yang pelik.
Mereka tidak pernah berputus asa daripada rancangannya untuk menyesatkan manusia. Walaupun hanya sedetik; mereka sentiasa mencari kesempatan untuk menunaikan tugasnya.
Syaitan boleh melihat kita daripada sudut yang kita tidak dapat melihatnya dan mencuba pelbagai cara untuk memerangkap kita. Salah satu daripada sifatnya ialah secara bersembunyi.
Taktik dan perangkap mungkin berbeza kepada seseorang kerana taktik yang digunakan bergantung kepada masa, tempat dan situasi. Makhluk yang dihalau daripada pandangan Allah itu berlawanan daripada apa yang majoriti manusia fikir.
Syaitan bukanlah makhluk khayalan. Setiap orang perlu berjaga-jaga dengan sebahagian ujian yang berlaku di atas muka bumi ini yang berpunca daripada syaitan.
Ini kerana, selepas menderhaka kepada Allah syaitan bersumpah untuk menyesatkan hamba Allah. Kedegilan syaitan itu dinyatakan di dalam al-Quran.
Perkara penting untuk diingati ialah syaitan tidak mempunyai kuasa bebas tanpa Allah Mereka diciptakan Allah dan berada di bawah kuasa Allah sepenuhnya.
Syaitan adalah makhluk Allah juga dan hanya boleh melakukan sesuatu dengan keizinan daripada Allah. Mereka ditugaskan untuk membezakan manusia yang benar-benar beriman daripada mereka yang tidak beriman.
Syaitan hanya boleh bertindak dengan izin Allah dan apabila masa yang diberikan kepadanya tamat, mereka akan dihumban ke dalam neraka bersama golongan yang disesatkan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.” (Surah Sad ayat 85).
Maka ingatlah syaitan sebenarnya tidak mempunyai kuasa ke atas orang-orang yang beriman. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat berikutnya, syaitan hanya mempunyai kuasa ke atas mereka yang tidak beriman dengan ikhlas dan sebenarnya.
Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.” (Surah al-Hijr ayat 39-40).
Syaitan tidak boleh menyesatkan manusia yang beriman kepada Allah Memang benar, orang-orang beriman cenderung melakukan kesalahan tetapi mereka tidak pernah putus asa daripada mengharapkan rahmat daripada Allah dan segera memohon perlindungan kepada Allah dan bertaubat dengan seikhlasnya.
Kita diberitahu di dalam al-Quran mengenai mereka yang boleh disesatkan syaitan: Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya.
“Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah”. (Surah an-Nahl ayat 99-100).
Ingatlah, syaitan hendak kita menjadi angkuh, sombong dan derhaka kepada Allah seperti dirinya. Mereka mengarahkan kita melakukan kejahatan dan perkara yang dimurkai Allah dan berkata sesuatu mengenai Allah tanpa ilmu.
Mereka akan cuba menghalang kita daripada memahami kebesaran dan kekuasaan Allah yang sebenarnya. Allah menerangkan bahaya ini di dalam al-Quran: ”Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah ayat 168-169).
Usaha utamanya ialah untuk menakutkan manusia dengan kemiskinan iaitu matlamat yang boleh dicapai sekiranya mereka boleh membuatkan manusia lupa hari kiamat.
“Tidak sedar bahawa semuanya di bawah kawalan Allah dan tiada siapa yang boleh menghalang sebarang kebaikan yang Allah kehendaki, orang-orang ini hidup tanpa sebarang perasaan bertanggungjawab dan mereka melakukan segala kesalahan kepada Allah. Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 268).
Taktik utama syaitan ialah melalui tipu daya. Allah menerangkan tipu daya ini “... dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.” (Surah an-Nas ayat 4-5).
Sebagaimana diterangkan ayat di atas, syaitan mendekati manusia secara senyap-senyap, melalaikan manusia dengan perkara remeh dan tidak penting dan menampakkan kesalahan yang dilakukan seolah-olah baik kepada mereka:
“Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah al-An’am ayat 43).
Lebih penting lagi, hati mereka mereka dan berasa dirinya berada dalam kebenaran walaupun sebenarnya mereka sudah terpesong dan membawa diri mereka jauh daripada Al-Quran.
Dengan membelakangkan Allah mereka lebih dekat dengan syaitan, mengikuti caranya dan menjadi semakin biadab.
Sumber: www.hmetro.com.my
Waktu mustajab untuk berdoa
Posted On Friday, February 3, 2012 at at 7:33 AM by maori
Berdoa adalah otak ibadat. Begitulah besarnya kedudukan doa. Lagi banyak kita mohon bertambah sayang Allah kepada kita dan ia berbeza dengan manusia, lagi banyak kita minta, lagi banyak kita dimarahi atau dimaki.
Doa sifat perhambaan manusia dan mereka diciptakan untuk hamba-Nya. Supaya doa mudah diterima kita patut meneliti serta mengetahui waktu yang sangat mustajab untuk berdoa antaranya ialah:
- Pada waktu sepertiga malam iaitu waktu terakhir, ketika orang lain nyenyak tidur. Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Mereka (muttaqin) sedikit sekali tidur pada waktu malam dan pada akhir malam, mereka memohon ampun (kepada Allah)” (Surah Adz-Dzariyat ayat 18-19).
- Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Rabb (Tuhan) kita turun di setiap malam ke langit terendah iaitu ketika sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan.
- Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan untuknya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
- Waktu antara azan dan iqamah iaitu ketika menunggu solat berjemaah. Sayangnya waktu mustajab ini sering disalahgunakan sesetengah umat Islam yang kurang mengerti sunnah sehingga diisi dengan hal tidak baik dan tidak dianjurkan Islam, membicarakan urusan dunia yang tidak bernilai ibadat.
- Pada waktu sujud iaitu sujud di dalam solat atau sujud lain yang diajarkan Islam seperti sujud syukur, sujud tilawah dan sujud sahwi. Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa” (Hadis riwayat Muslim).
Hadis Ibnu Abbas r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w membuka tabir (ketika baginda sakit), sementara orang ramai sedang berbaris (solat) di belakang Abu Bakar r.a lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada lagi daripada mubasysyirat nubuwwah (khabar gembira kenabian) kecuali mimpi baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan untuknya. Ingatlah bahawasanya aku dilarang untuk membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud. Adapun di dalam rukuk, agungkanlah Allah dan adapun di dalam sujud, bersungguhlah berdoa, sebab (hal itu) segera dikabulkan bagi kamu” (Hadis riwayat Muslim).
- Selepas solat fardu iaitu selepas melaksanakan solat wajib lima waktu termasuk selepas solat Jumaat. Allah berfirman, maksudnya: “Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan selesai solat” (Surah Qaaf ayat 40).
Oleh kerana itu, Imam Syafie dan pengikutnya menjelaskan, dianjurkan bagi imam dan makmumnya serta orang yang solat sendirian memperbanyakkan zikir, wirid dan doa selepas selesai solat fardu. Dianjurkan membaca doa dengan perlahan kecuali jika makmum belum mengerti, imam boleh menguatkan bacaan agar makmum menirunya. Apabila mereka mengerti, kembalilah secara perlahan.
- Pada waktu khusus tetapi tidak diketahui dengan pasti batasannya iaitu satu detik pada setiap malam dan setiap hari Jumaat. Ini berdasarkan hadis Jabir r.a, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di malam hari ada satu saat (yang mustajab), tidak ada seorang Muslim pun yang bertepatan pada waktu itu meminta kepada Allah kebaikan urusan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti memberi kepadanya” (Hadis Riwayat Muslim).
Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah menyebut hari Jumaat, baginda bersabda: “Di dalamnya ada satu saat (yang mustajab), tidaklah seorang hamba Muslim yang kebetulan waktu itu sedang mendirikan solat (atau menunggu solat) dan memohon kepada Allah sesuatu (hajat) melainkan Allah pasti mengabulkan permohonannya.” Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya akan sedikitnya saat mustajab itu (Hadis riwayat al-Bukhari).
Di dalam hadis Muslim dan Abu Daud dijelaskan: “Iaitu waktu antara duduknya imam (khatib) sehingga selesainya solat (Jumaat).” Inilah riwayat yang paling sahih dalam hal ini.
Sementara dalam hadis Abu Daud yang lain, Nabi s.a.w memerintahkan agar kita mencarinya pada akhir waktu Asar. Waktu lain yang mustajab ialah sepertiga akhir malam, ketika hujan turun, waktu awal pagi ketika dengar ayam berkokok, ketika berpuasa, ketika bermusafir, bulan Ramadan dan pada 10 akhir Ramadan.
Sumber: www.hmetro.com.my