SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Mensyukuri nikmat menambah lagi rezeki

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sekiranya kamu mensyukuri nikmat yang ada, nescaya Aku (Allah) menambah nikmat bagimu.” Ini kerana Allah menciptakan nikmat dan memberikannya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Walaupun seluruh kata pujian dan kesyukuran kita lafazkan untuk memuji-Nya, pasti tidak setanding apa yang Allah kurniakan kepada kita.

Dalam soal rezeki manusia selalunya berasa bimbang nikmat yang belum mereka miliki, namun sepatutnya perlu risaukan nikmat sedia ada dan belum disyukuri.
Memikirkan bagaimana untuk mensyukuri itu sebenarnya menambahkan lagi rezeki.

Lumrah hidup ini sebenarnya tidak boleh bersendirian. Kita memerlukan bantuan orang lain. Contohnya, pelajar memerlukan guru untuk mendapatkan ilmu. Begitu juga untuk mendapatkan pakaian kita perlu penjahit, penenun dan penanam kapas. Bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan, kita memerlukan doktor atau pegawai kesihatan. Oleh itu, cuba kita renungkan kebaikan orang di sekeliling yang banyak berjasa kepada kita. Jika hendak jadi orang yang bersyukur maka perlu membalas kebaikan orang lain.


Anak yang sering mengingati jasa ibu bapa pasti timbul keinginan untuk berbudi kembali serta menghormati kedua-dua insan yang mereka sayangi itu.


Kebaikan itulah pembuka dan kunci kepada nikmat lain daripada yang Maha Kuasa. Maka orang paling beruntung adalah orang yang hatinya dipenuhi rasa syukur.

Lihat saja nikmat pancaindera yang ada pada kita. Bayangkan, jika kita kehilangan nikmat melihat (mata), ketika itu barulah kita menghargai apa yang dikurniakan selama ini.

Jika jatuh ditimpa penyakit, ketika itu baru teringat alangkah besarnya nikmat ketika sihat. Cuma kita kurang menyedarinya dan tidak mensyukurinya.


Nikmat yang besar sebenarnya bermula daripada nikmat yang kecil. Oleh itu, jangan risau dengan nikmat yang belum kita miliki, sebaliknya risaukan nikmat yang kita sudah ada tetapi belum disyukuri.


Fikirkan bagaimana kita mensyukuri apa yang kita nikmati. Rasa kesyukuran mengundang nikmat berikutnya. Kadangkala ada manusia apabila mendapat kenikmatan berbentuk kedudukan atau harta, mereka berasa bangga dan mempamerkannya di sana sini.


Mungkin kerana terlupa semua itu pemberian Allah. Bagaimana kita mahu menjadi orang yang bersyukur?


Orang yang bersyukur adalah apabila dapat kesenangan, kejayaan atau kenikmatan, pertamanya dia berfikir semua itu kurniaan Allah, lalu menggunakan segala kenikmatan itu pada jalan benar supaya mendapat keberkatannya.

Dijaganya nikmat mata untuk melihat yang baik-baik saja, nikmat telinga untuk mendengar yang bermanfaat, nikmat tangan untuk mengambil haknya saja, nikmat kaki pula untuk melangkah ke jalan kebaikan.


Jauhilah daripada menyalah guna nikmat yang ada dan gunakan semuanya untuk mendapat keberkatan serta menambah pahala.


Selain bersyukur pada Allah, kita perlu mengucapkan syukur kepada manusia yang menjadi jalan kita mendapat nikmat.


Contohnya, anak perlu berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya kerana anak yang tahu bersyukur pasti membalas budi, membuatkan hidup mendapat keberkatan.

Begitu juga kehidupan suami isteri, mereka perlulah sama-sama memikirkan kebaikan suami atau isteri, jangan hanya melihat kekurangan masing-masing.


Sebenarnya, dengan mengenang kebaikan seseorang itulah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah. Cara mensyukuri nikmat Allah juga adalah memperlihatkan nikmat yang sudah dikurniakan kepada kita, tetapi perlu berhati-hati supaya terhindar daripada niat untuk mendapat pujian.


Betulkan niat kerana kita yakin semua nikmat yang kita terima datang daripada Allah dan hanya Allah yang patut mendapat pujian.


Jika kita yakin semua yang kita miliki adalah milik Allah nescaya hati kita berasa tenang, tidak sombong, sentiasa bersyukur selalu serta tidak berdengki dengan nikmat yang dikurniakan kepada orang lain.


www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Islam pentingkan hubungan baik

ISLAM amat mementingkan hubungan baik sesama manusia. Setiap individu perlu menjaga tingkah laku dan kata-kata mereka.

Perbuatan mencaci, mengherdik atau menghina antara manusia amat dilarang dalam Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim” (Surah al-Hujurat ayat 11).

Islam menganjurkan supaya kita sentiasa bermaaf-maafan sesama sendiri lebih-lebih lagi jika ia membabitkan hubungan antara keluarga dan sahabat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nur ayat 22).

Mudah memaafkan kesalahan orang lain pastinya seseorang itu dapat hidup dengan tenang dan bahagia kerana kita percaya Allah itu Maha Adil.

http://cdn.admaxserver.com/4cbe89f1-3b8e-4007-929c-7366b0099412.gif

www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Prasangka buruk makan diri

Hati manusia tidak dapat dikawal untuk mereka fikir, kata dan tuduh apa saja. Itu semua di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka itu kemudian akan menghasilkan tindakan dan pelbagai tindak-tanduk. Jika baik hati mereka, maka baiklah cakap mereka, baiklah layanan dan sangkaan mereka. Tetapi jika hati kotor, apa lagi tindakan akan diterjemahkan segala hitam yang bersarang di hati itu. Sebenarnya yang mengukur baik dan buruk seseorang bukannya manusia kerana mereka tidak mempunyai kuasa melakukannya.

Yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita ialah Allah. Dialah yang menilai kebaikan kita, memberi rezeki serta memberi kehidupan kepada kita.

Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring.

Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir. Contohnya, jika hati yang berbaur dosa dan dengki akan mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan itu memakai susuk. Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong.

Memang manusia punya hak untuk bersangka. Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmoni, disenangi dan mudah mendapat kawan. Jika sangkaan itu buruk, jiwa pastinya akan sengsara. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata semua tidak kena.

Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan. Tabiat bersangka buruk terkena pada semua golongan tidak kira orang tua dengan cara dan kepakarannya manakala orang muda dengan kehangatannya. Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita.

Lihatlah kisah dan sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya yang menaiki seekor keldai. Dalam perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.” Selepas itu, Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah. Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.”

Kemudian mereka bertukar posisi lain pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah. Orang mengata juga, anak macam itu buat ayahnya macam hamba. Justeru, cara terbaik ialah merawat kembali penyakit buruk sangka.

Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri. Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).

Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita. Adakah kawan kita itu mendorong ke arah kebaikan atau keburukan?

Jika kita dapat menewaskan nafsu jahat dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup pasti berpihak kepada diri kita.

Proses berubah jadi baik mungkin tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal sudah bertekad dan ada kesungguhan, Allah pasti permudahkan jalannya.

Ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada dan terbuka. Justeru, tepuk dada tanya diri. Mahu berubah atau tidak?

Beberapa cadangan diutarakan, antaranya:

· Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat secara positif.

· Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan azab Allah apabila anda berprasangka buruk.

· Sucikan hati dengan banyakkan berzikir.

· Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.

· Luangkan masa untuk banyak melakukan muhasabah diri.


Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Usah buka aib orang lain

Berdasarkan hadis diriwayatkan Abdullah Bin Mas’ud. Hadis itu menyatakan, riba mempunyai 73 cabang pintu. Dosa paling ringan bersamaan dosa seorang anak lelaki berzina dengan ibunya, manakala dosa paling berat seperti menjatuhkan maruah seorang Muslim. Rasulullah SAW menyatakan dosa menjatuhkan maruah seorang Muslim yang lain adalah lebih besar daripada dosa itu. Jadi bayangkan, dosa yang mungkin kita anggap kecil tetapi sebenarnya sangat besar di sisi Islam. Mungkin kita tidak sedar selalu bercerita mengenai keaiban orang lain bersama rakan atau jiran sehingga menjadi rutin seharian dalam hidup kita.


Sesungguhnya Islam itu meletakkan maruah seseorang di tempat yang sangat tinggi. Justeru itu, seorang Muslim tidak berhak mencemarkan maruah seorang Muslim lain dengan menjaja atau membuka aibnya. Ketika zaman Nabi Musa AS, tersebut kisah yang menyatakan kaum Bani Israil ditimpa kemarau berpanjangan. Mereka berjumpa Nabi Musa AS dan berkata: “Wahai Kalamullah, berdoalah kepada Tuhanmu supaya Dia menurunkan hujan kepada kami.” Lalu Nabi Musa bersama umatnya yang ramai ketika itu, berjalan bersama-sama menuju satu kawasan lapang untuk berkumpul. Kemudian berdoalah Nabi Musa kepada Allah supaya diturunkan hujan ke atas tanah gersang itu. Namun, hujan masih tidak kunjung tiba, sebaliknya matahari semakin memancarkan kepanasannya. Kemudian Nabi Musa berdoa lagi dan kali ini Allah menjawab doanya dengan berfirman: “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian, sedangkan di antara kalian ada seorang hamba di kalangan yang hadir berdoa, melakukan maksiat sejak 40 tahun lalu. Umumkanlah di depan manusia supaya dia berdiri di depan kalian semua. Kerana dialah Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian.”


Lalu Nabi Musa mengumumkan firman Allah itu. Saat itu, seorang umatnya tahu dialah orang yang dimaksudkan. Lalu terbisik di hatinya: “Kalau aku keluar di depan manusia, akan terbukalah rahsia ku. Kalau aku tidak berterus-terang, hujan pun tidak akan turun.” Hatinya menjadi gundah gulana hingga menitis air matanya sambil berkata dalam hati: “Ya Allah! Aku sudah melakukan maksiat kepada-Mu selama 40 tahun tetapi Engkau tidak pernah membuka aibku. Aku bertaubat kepada-Mu sekarang, maka terimalah taubatku.” Saat itu langit mula mendung dan hujan mulai turun. Nabi Musa kehairanan kerana tidak ada seorang pun muncul untuk mengaku seperti dikehendaki Allah. Lalu Allah menyatakan bahawa orang itu bertaubat kepada-Nya.


Nabi Musa seraya berkata: “Tunjukkan aku siapakah hamba-Mu yang taat dan beriman itu.” Namun Allah menjawab: “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal dia bermaksiat kepada-Ku. Apakah Aku membuka aibnya, sedangkan dia taat kepada-Ku!” Begitulah Allah memelihara aib hamba-Nya, sedangkan kita tahu siapa kita di sisi Allah yang Maha Agung.


Kerana itu, Allah mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga maruah orang lain seperti dalam firman-Nya di dalam surah Al-Hujurat ayat 12, bermaksud: “… dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan jangan sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain.


“Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”


Kerana itu, jika kita lihat sistem perundangan Islam, kita dapati Islam memelihara maruah pengikutnya. Sebagai contoh, sebelum menjatuhkan hukuman sebatan 100 kali terhadap penzina (belum berkahwin), beberapa syarat wajib perlu dipatuhi. Antaranya, si pengadu hendaklah membawa empat saksi yang adil, yang melihat dengan mata sendiri dan saksi itu hendaklah bukan daripada kalangan fasik. Jika gagal, hukum sebatan 100 kali itu akan ditukar kepada hukuman lebih ringan jika perlakuan zina itu dapat dibuktikan dengan cara lain. Begitu juga dengan si penuduh, jika gagal membuktikan pertuduhan dan didapati hanya berbohong, hukuman 80 kali sebatan akan dijatuhkan ke atasnya.


Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 4, bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat saksi, sebatlah mereka dengan 80 kali sebatan dan jangan kamu menerima penyaksiannya itu selama-lamanya, kerana mereka itulah orang fasik.”

Itu antara contoh bagaimana Islam menitikberatkan soal maruah setiap penganutnya. Diletakkan syarat dan hukum ketat supaya maruah seseorang itu tidak dipersenda atau digadaikan dengan sewenang-wenangnya.


Contohilah akhlak Nabi SAW ketika menerima perkhabaran bahawa Ikrimah, anak kepada Abu Jahal, yang mahu memeluk Islam. Baginda berpesan kepada sahabat supaya jangan ditanya mengenai bapanya atau keluarganya (Abu Jahal) kerana bimbang dia malu. Sebaliknya, raikan dia sebagai saudara baru di dalam Islam.

Bagaimanapun, ramai daripada kita tidak menyedari perkara ini. Ada saja gosip mahu dikongsi bersama rakan atau jiran. Walaupun kadangkala apa digosip itu benar, tetap menjadi kewajipan kita memelihara aib seseorang.


Sebuah hadis menyatakan: “Siapa yang menutup aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba- Nya itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)
Semoga Allah menutup keaiban kita, terutama ketika di padang Mahsyar nanti.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments