SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Prasangka buruk makan diri


HATI manusia tidak dapat dikawal untuk mereka fikir, kata dan tuduh apa saja. Itu semua di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka itu kemudian akan menghasilkan tindakan dan pelbagai tindak-tanduk. Jika baik hati mereka, maka baiklah cakap mereka, baiklah layanan dan sangkaan mereka. Tetapi jika hati kotor, apa lagi tindakan akan diterjemahkan segala hitam yang bersarang di hati itu. Sebenarnya yang mengukur baik dan buruk seseorang bukannya manusia kerana mereka tidak mempunyai kuasa melakukannya. 

Yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita ialah Allah. Dialah yang menilai kebaikan kita, memberi rezeki serta memberi kehidupan kepada kita.
Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring.
Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir. Contohnya, jika hati yang berbaur dosa dan dengki akan mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan itu memakai susuk. 

Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong. 

Memang manusia punya hak untuk bersangka. Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmoni, disenangi dan mudah mendapat kawan. Jika sangkaan itu buruk, jiwa pastinya akan sengsara. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata semua tidak kena. 

Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan. Tabiat bersangka buruk terkena pada semua golongan tidak kira orang tua dengan cara dan kepakarannya manakala orang muda dengan kehangatannya.
Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita. 

Lihatlah kisah dan sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya yang menaiki seekor keldai. Dalam perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.” Selepas itu, Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah. Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.”

Kemudian mereka bertukar posisi lain pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah. Orang mengata juga, anak macam itu buat ayahnya macam hamba. Justeru, cara terbaik ialah merawat kembali penyakit buruk sangka.

Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri. Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).

Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita. Adakah kawan kita itu mendorong ke arah kebaikan atau keburukan? 
Jika kita dapat menewaskan nafsu jahat dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup pasti berpihak kepada diri kita. Proses berubah jadi baik mungkin tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal sudah bertekad dan ada kesungguhan, Allah pasti permudahkan jalannya. 

Ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada dan terbuka. Justeru, tepuk dada tanya diri. Mahu berubah atau tidak? 

Beberapa cadangan diutarakan, antaranya: 
-       Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat secara positif. 
-       Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan azab Allah apabila anda berprasangka buruk. 
-       Sucikan hati dengan banyakkan berzikir. 
-       Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. 
-       Luangkan masa untuk banyak melakukan muhasabah diri.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Sifat pemaaf mampu elak perpecahan

PEMAAF antara sifat luhur yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Banyak ayat al-Quran dan hadis. menekankan keutamaan sifat itu. Ia juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132). Diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf. Bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi?


Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal. Kadang kala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekali pun. Punca itu boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan. Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah sepatutnya.


Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar.


Jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan hingga melakukan pembunuhan.


Sebagaimana yang kita dengar pelbagai kes tidak masuk akal berakhir dengan tragedi pembunuhan menyayat hati.


Sebagai makhluk yang lemah dan sentiasa melakukan kesilapan, berdoalah kepada Allah supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekali pun kita berada di pihak yang benar.


Apa yang mendukacitakan, ramai kalangan isteri atau suami, ibu atau bapa terlalu berat untuk memaafkan kesilapan pasangannya dan kesalahan anak-anak mereka.

Mereka memiliki sifat keras hati dan tidak mahu mengalah apabila berada dalam situasi genting. Malah, ada yang sanggup bersumpah untuk tidak mengampunkan dosa dan kekhilafan sekali pun diminta berkali-kali.

Sikap negatif seumpama itu jika dibiarkan berleluasa dalam keluarga hanya membawa kepada pecah-belah dan anak-anak menjadi mangsa perceraian.


Rasulullah adalah contoh terbaik kerana sifat terpuji terserlah pada diri Baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati. Biar pun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan Baginda. Antara kisah paling masyhur berkenaan sifat mulia Baginda adalah diracun seorang perempuan Yahudi. Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu. Namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.


Saidatina Aisyah berkata: “Rasulullah tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri Baginda mahu pun pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan Baginda tidak pernah membalas sedikit pun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Anas menceritakan: “Ketika saya tengah berjalan bersama Rasulullah dan pada ketika itu baginda tengah mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: ‘Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih).

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas dan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.


Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah. Mereka tidak terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan. Pemaaf adalah mereka yang mulia di dunia dan akhirat.


Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Masa muda tidak lama

ADA satu surah khusus di dalam al-Quran iaitu surah al-Asr yang menegaskan manusia berada dalam kerugian jika tidak memanfaatkan masa untuk beriman dan beramal soleh serta tidak berpesan-pesan sesama manusia dengan kebenaran dan kesabaran.

Rasulullah s.a.w berpesan kepada umatnya supaya memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati.


Masa muda jangan disia-siakan, nikmat kesihatan perlu digunakan bagi menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin. Sesungguhnya apa yang terjadi pada hari tua bergantung apa yang kita lakukan ketika usia muda. Masa muda tidak akan bertahan lama kerana apabila tiba hari tua, zaman muda hanya tinggal kenangan.


Kehidupan pada hari tua kadang-kadang tidak indah lagi kerana tenaga sudah lemah, selera makan mulai menurun malah menghadapi pelbagai macam penyakit. Remaja yang cemerlang akan menjadi warga emas yang gemilang. Manakala yang kecundang menguruskan masanya akan menjadi warga emas yang malang.


Bukan rugi di dunia saja, malah di akhirat kelak akan dipersoalkan ke manakah usia remaja kita dilaburkan? Nikmat kesihatan cukup berharga bagi setiap manusia.

Seluruh tubuh badan manusia sebenarnya adalah hak milik Allah, maka wajib kita jaga amanah ini sebaik mungkin. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan kita disifatkan oleh al-Quran sebagai mencampakkan diri ke lembah kebinasaan.

Namun, ramai tidak menghargai nikmat sihat ini sehingga membinasakan diri dengan mengambil dadah, ketagihan alkohol mahupun rokok, atau menjadi individu yang sengaja mendedahkan diri kepada kecelakaan dan kemungkaran.


Dengan itu, gunakan masa sihat untuk menuntut ilmu dan pengalaman serta membantu yang lain di samping melaksanakan ibadat. Masa kaya juga adalah nikmat ujian bagi kita.

Ramai yang hanyut dan terpesona dengan kekayaan yang dimilikinya. Kita perlu sentiasa menyedari kekayaan itu tidak kekal, ia boleh bertambah atau hilang dalam sekelip masa.


Kekayaan adalah amanah, maka carilah kekayaan dan gunakan mengikut peraturan Allah. Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilanda laknat dan diazab.

Bukan juga seperti Tha’labah yang kaya harta tetapi bakhil. Kekayaan adalah alat mencapai kebaikan dan keburukan. Dengan harta kita boleh menjadi dermawan, dengan harta juga kita boleh menjadi tamak haloba.


Sama juga halnya; dengan harta membolehkan seseorang masuk ke syurga dan dengan harta juga kita boleh ke neraka. Masa dan peluang terakhir yang disebut Rasulullah ialah masa hidup sebelum mati.


Saidina Ali berkata: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedialah dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (nikmat) selepas mati.” Maka fikir-fikir dan renungkanlah.


Justeru, panjatkanlah rasa kesyukuran kerana sehingga ke saat ini kita masih lagi dapat bernafas di atas bumi Allah, diberi kesihatan, kecergasan dan kesenangan masa untuk menjadi manusia cemerlang di dunia dan akhirat.


Ternyata benar, masa itu ibarat senjata tajam yang amat berguna jika digunakan dengan cara betul dan baik. Namun jika tidak betul cara mengguna masa ketajaman masa itu pasti akan memakan diri sendiri.


Bagi golongan yang tidak memanfaatkan masa sebaik mungkin akan ketinggalan dan kemunduran termasuk dalam pekerjaan, rumah tangga, pelajaran, pergaulan dan teknologi.

Kita juga tidak boleh hanya menanti kejayaan dan kecemerlangan datang bergolek. Sedarilah, masa berlalu begitu pantas tanpa kita sedari.
Ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.


Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Sifat marah perlu digunakan pada tempat, masa sesuai

Siapakah yang tidak pernah marah? Ia adalah sifat semula jadi yang dibekalkan Allah dalam diri manusia sama ada untuk menguji atau sebagai alat membela. Pendek kata, sifat marah jika digunakan pada tempat dan masa yang sesuai memberi manfaatnya. Jika ada orang mempermainkan Islam kita perlu marah dan mempertahankannya. Begitu juga jika negara diceroboh, kita mesti marah dan ambil tindakan membelanya. Marah yang tidak bertempat sering kali mengundang permusuhan, hasad dengki, pertengkaran malah pembunuhan.


Lihatlah baru-baru ini, kerana marah suami hendak kahwin lagi dan anak-anak dibunuhnya. Di Filipina, pada tahun 1995, seorang suami yang marahkan isterinya bertindak membakar rumahnya malah turut menyebabkan 70 rumah lain terbakar.


Kadang-kadang anak-anak menjadi mangsa seperti kejadian di atas. Sejarah marah dapat dilihat dalam peristiwa iblis ketika diberi peluang Allah untuk memaafkannya melalui Nabi Musa yang dilepaskan begitu sahaja. Kerana marah dan dendam kepada Adam membuatkannya ke neraka. Allah memintanya memohon maaf kepada Adam sebagai syarat. Dengan angkuh iblis menjawab, “kalau masa hidupnya aku tidak taat apa lagi selepas matinya Adam.”


Marah menyebabkan kita kehilangan pertimbangan dan kewarasan. Tidak patut sama sekali jika ada anak yang sejak kecil dibelai ibu dan ayahnya sanggup berbalah dan berpisah dengan kedua ibu bapanya kerana mahu mengikut kekasih yang baru dikenalinya cuma 20 hari. Malah sifat marah ini ada di mana-mana, di kedai, taman atau pejabat dan jika tidak dikawal dengan sungguh-sungguh pastinya menghalang keharmonian di dalam masyarakat.


Marah akan menghalang seseorang ke syurga. Sahabat Nabi pernah bertanya, “Ya Rasulullah, tunjukkan aku satu jalan yang membawaku ke syurga”. Orang yang dapat masuk syurga ialah orang yang dapat mengawal hawa nafsunya itulah kekuatan yang sebenarnya. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Manusia yang gagah bukannya tunjuk kuat dalam pergaduhan tetapi yang paling gagah bila boleh mengawal marahnya.”

Sememangnya sifat marah adalah sebahagian daripada diri kita tetapi yang penting bukan buang sifat marah itu tetapi mengawal dan menggunakannya pada tempat yang sepatutnya.

Malah antara orang-orang yang mendapat takwa ialah mereka yang dapat mengawal marahnya. Allah ada menjelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah, mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga memaafkan kesalahan orang lain.” (Surah Ali-Imran ayat134).


Berikut beberapa cara bagi mengawal perasaan marah:

1. Apabila sedang marah maka hendaklah membaca “ta’awwudz” (memohon perlindungan) kepada Allah sebab pada hakikatnya perasaan marah yang tidak dapat dikawal adalah daripada dorongan syaitan. Nabi bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antaramu marah maka katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Allah’, maka marahnya akan menjadi reda”. (Riwayat Abi Dunya).


2. Berusahalah untuk diam atau tidak banyak bicara, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu marah maka diamlah.” (Riwayat Ahmad).


3. Jika sedang marah dalam keadaan berdiri maka duduklah, bila duduk masih marah maka berbaringlah. Hal itu ditegaskan Nabi, “Marah itu daripada syaitan, maka apabila salah seorang di antaramu marah dalam keadaan berdiri duduklah dan apabila dalam keadaan duduk maka berbaringlah.” (Riwayat Asy-Syaikhany).


4. Apabila sudah ta’awwudz, diam, duduk, dan berbaring tidak mampu mengendalikan amarah maka usaha terakhir yang boleh dilakukan ialah dengan cara berwuduk atau mandi.

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Dan api hanya boleh dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, apabila seorang di antaramu marah maka berwuduklah atau mandilah.” (Riwayat Ibnu Asakir, Mauquf). Selamat mencuba!


Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Pilih teman bawa kita ke arah kebaikan

MELIHAT gelagat remaja dewasa kini amat membimbangkan. Memang bukan semua bermasalah namun ramai remaja yang nampak tidak kena.Terdapat beberapa faktor yang membuatkan kita rosak, antaranya teman dan salah memilih sahabat. Marilah sama-sama kita memberi perhatian serius terhadap pemilihan sahabat.


Carilah teman baik yang dapat membantu. Teman paling baik juga ialah apabila kita melihat wajahnya, kita akan teringat kepada Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya kita akan mengingati mati.


“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (Hadis riwayat al-Hakim).

Allah s.w.t mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, mereka tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari daripada berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang.


Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, mereka dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri sebagai seorang manusia normal.

Itulah antara hikmah kenapa Allah mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya.”


Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada sahabat yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi suka duka bersama kita dan tidak kurang juga sahabat yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan saja.


Pendek kata, sahabat boleh menentukan corak hidup seseorang. Justeru, jika salah pilih sahabat pasti kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (Hadis riwayat Abu Daud).

Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”


Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
1.Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.

2.Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.

3.Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.

4.Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.

5.Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.

6.Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
7.Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
8.Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.

9.Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.

10.Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
11.Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
12.Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

13.Dia membantu kamu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat

14.Dia mendorong kamu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ibu bapa berhati-hatilah jika memilih sahabat kerana sahabat kita boleh bahagia dan sahabat juga mampu menjahanamkan kita. Berhati-hatilah atau tinggalkan saja sahabat seperti di bawah:

1.Sahabat yang tamak iaitu hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak dan mereka hanya mementingkan diri sendiri.

2.Sahabat hipokrit iaitu menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal lampau, atau hal mendatang. Dia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong. Jika ada kesempatan membantu, dia tidak sanggup.

3.Sahabat pengampu. Mereka setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah. Yang parahnya, dia setuju dengan hal yang dia tidak berani menjelaskan kebenaran. Di depan dia memuji dan apabila di belakang dia merendahkan diri atau mengkhianati amanah kamu.

4.Sahabat yang boros dan suka berhibur. Golongan itu menjadi kawan jika kamu suka berpesta, berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

6 Soalan Imam Al-Ghazali Kepada Muridnya.

Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al Ghazali bertanya..

1. Apa yang paling DEKAT dengan diri kita di dunia?
2. Apa yang paling JAUH dari kita di dunia?
3. Apa yang paling BESAR di dunia?
4. Apa yang paling BERAT di dunia?
5. Apa yang paling RINGAN di dunia?
6. Apa yang paling TAJAM di dunia?

JAWAPAN:

1) Soalan yang pertama.
"Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab "orang tua, guru, kawan, dan sahabatnya".
Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "MATI". Sebab itu sememangnya janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)

2) Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua.
"Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab "negara Cina, bulan, matahari dan bintang-bintang".
Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan itu adalah benar.
Tapi yang paling benar adalah "MASA LALU". Walau dengan apa cara sekalipun kita tidak dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

3) Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga.
"Apa yang paling besar di dunia ini?". Murid-muridnya menjawah "gunung, bumi dan matahari". Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali.
Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "NAFSU" (Al A'Raf 179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

4) Pertanyaan keempat adalah,
"Apa yang paling berat di dunia ini?".
Ada yang menjawab "besi dan gajah". Semua jawapan adalah benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "MEMEGANG AMANAH" (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka karena ia tidak dapat memegang amanahnya.

5) Pertanyaan yang kelima adalah . . .
"Apa yang paling ringan di dunia ini?" Ada yang menjawab "kapas, angin, debu dan daun-daunan".
Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah "MENINGGALKAN SOLAT". Gara-gara pekerjaan kita meninggalkan solat, gara-gara bermesyuarat kita meninggalkan solat.

6) Dan pertanyaan keenam adalah . . .
"Apakah yang paling tajam di dunia ini?" Murid-muridnya menjawab dengan serentak, "pedang".
Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "LIDAH MANUSIA" Karena melalui lidah, Manusia selalunya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Posted in Labels: | 0 comments