SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Saling memaafkan amalan mulia


Hari raya patut menjadikan kita gembira kerana selama sebulan kita menjalani ujian untuk menjadikan diri kita insan bertakwa kepada Allah SWT. Kini, tiba giliran Aidilfitri di mana kita pulang dalam keadaan fitrah iaitu bersih hati hasil didikan tarbiah Ramadan. Ia membersihkan diri kita daripada sifat bakhil, individualistik kemudian menanamkan sifat pemurah, kasih sayang serta tolong menolong. 

Amalan sunat yang dikerjakan di seperti solat tarawih, solat tahajud, membaca al-Quran, bersedekah dan berzakat adalah pembersih hati daripada sifat keji (mazmumah).

Sambutan hari raya tidak hanya dapat memakai baju baru, rumah baru, sofa baru, tetapi lebih penting menyambut raya dengan jiwa baru. Tidak bermakna jika perangai masih tidak berubah, ego, malas, dan sering melanggar disiplin. 

Sebab itu, ibadah puasa pada bulan Ramadan perlu berteraskan akidah, begitu juga dengan Aidilfitri. Perbuatan bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram mesti dielakkan. 

Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain memang dituntut dalam Islam sehingga ia dijanjikan sebagai ganjaran yang begitu besar sekali. Malang sekali apabila perbuatan memohon dan memberi hanya menjadi budaya dan bukannya dihayati semangatnya. 

Dalam surah Ali-Imran, ayat 134-136, maksudnya: “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Dan, orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui. 

Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.” 

Apakah makna memaafkan? 
1. Melupakan hasrat membenci mereka. 
2. Membatalkan niat membalas dendam. 
3. Membatalkan hasrat menghukum mereka. 
4. Membatalkan untuk menyimpan perasaan dendam. 

Bagaimanakah cara sebenar memohon dan memberi maaf?  
Bagi pemohon maaf, ungkapan memohon maaf itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas, rendah hati dan penuh kekesalan serta berazam tidak mengulanginya lagi. 

Pemberi maaf pula, kemaafan yang diberi perlulah diberi dengan tulus ikhlas, penuh sedar bagi melupakan kesalahan dan tidak lagi mengungkit-ungkit. 

Ada yang mengatakan ketika memohon maaf, kita perlu menyenaraikan segala kesalahan yang kita lakukan supaya pihak satu lagi maklum mengenainya. 

Namun, dalam semangat Aidilfitri ini, apabila meraikan kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan, mengapa kita tidak terbuka hati untuk memaafkan silap dan salah seseorang? 

Sudah tentu kita juga ada melakukan kesilapan. Ingatlah perintah Allah dalam surah al-A’raaf, ayat 199 yang menuntut kita memilih untuk memaafkan. 

Memohon maaf dan memberi maaf bukanlah sukar untuk dilaksanakan dalam bulan Syawal ini selepas kita melengkapkan ibadat puasa selama sebulan. 
Apabila saling bermaafan, tiada lagi rasa benci dan dendam di hati.  Yang lahir dari hati ialah perasaan kasih sayang serta persefahaman sekiranya dijana dengan baik, dapat menghasilkan permuafakatan yang menguntungkan ummah.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Puasa Sunat Syawal, Ganti dan Ziarah


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.
" kau , dah hari ker berapa dah?"
"aku dah 5 hari dah ni"
"esok aku raya (sunat syawal)"
Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini. Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.
Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.
Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.
Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة
Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya. Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23).

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW.

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
"Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12).

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103). Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal); Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Sumber: http://www.zaharuddin.net

Posted in Labels: | 0 comments

Teruskan ibadah selepas Ramadan


Selamat tinggal Ramadan dan selamat datang Syawal. Bergembiralah wahai orang-orang yang tabah menghadapi ujian sepanjang Ramadan ini.

Semoga kita sama-sama beroleh kerahmatan daripada-Nya. Beberapa hari lagi akan tiba hari kejayaan kita semua. Hari bersuka suka, hari ziarah menziarahi, hari memohon keampunan, menginsafi diri dan untuk berkumpul bersama. 
Semoga silaturahim yang dijalinkan dengan kasih sayang itu kekal kukuh kerana Allah.

Dalam kegembiraan menanti Syawal, sedikit hiba di hati, kerana tatkala Syawal memunculkan dirinya Ramadan melambai pergi. 

Sudah cukupkah kita menghargai Ramadan kali ini? Sudah banyakkah amalan yang kita lakukan? Mungkinkah kita bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini pada tahun mendatang? Wallahualam, sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala-galanya.

Dalam Islam, amalan dan hidup kita ditentukan bagaimana kita mengakhirinya.
Kita mengenal istilah khusnul khatimah dan juga su’ul khatimah. 

Rasulullah pernah menegaskan, bahawa setiap amal itu sangat tergantung bagaimana kita mengakhirinya. Orang Mukmin bergembira dengan selesainya Ramadan kerana memanfaatkan bulan itu untuk ibadah, taat, mengharap pahala dan keutamaannya. 

Manakala orang munafik bergembira apabila selesai bulan Ramadan kerana kembali untuk melakukan maksiat serta mengikuti dorongan syahwat. 

Jadi, orang Mukmin akan meneruskan ibadah selepas Ramadan dengan beristighfar, bertakbir dan beribadah. Namun, orang munafik melanjutkan dengan maksiat, huru-hara, pesta muzik dan nyanyian. 

Selepas berpuasa sebulan, kini ditutupi dengan solat hari raya Aidilfitri dan bayar zakat fitrah. Sebagaimana Allah mensyariatkan solat Adiladha sebagai tanda syukur kepada-Nya selepas melaksanakan kewajipan haji. 

Diriwayatkan secara sahih, daripada Nabi SAW, bahawa baginda ketika datang di Madinah, penduduknya mempunyai dua hari mereka bermain-main pada hari itu, beliau bersabda: “Sungguh Allah menggantikan untuk kamu dua hari itu dengan yang lebih baik dari keduanya, (iaitu) hari (raya) Qurban dan hari (raya) Aidilfitri.” 

Tidak boleh menambah dua hari raya ini dengan mengadakan hari raya baru yang lain. Hari raya dalam Islam itu disebut ‘ied, ertinya ‘kembali’. 

Ia kembali dan berulang-ulang setiap tahun dengan membawa kegembiraan dan kesenangan. Bukan saja lelaki, bahkan Nabi SAW juga memerintahkan Muslimah supaya keluar untuk solat hari raya. 

Kaum wanita disunatkan hadir tanpa pakai wangian, tidak berhias untuk menarik perhatian, dan tidak bercampur-aduk dengan lelaki. Apabila keluar menunaikan solat, ia perlu menampakkan syiar Islam dan diusahakan dengan khusyuk, ghaddhul bashar (menjaga pandangan daripada yang haram), menjaga lisan daripada bercakap bohong dan kosong. 

Jangan dengar percakapan yang mengarut, nyanyian dan muzik melalaikan. Nabi mensyariatkan umatnya menyambung puasa Ramadan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. 

Sabda Nabi: “Barang siapa berpuasa Ramadan dan diikuti dengan (puasa sunnah) enam hari di bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim). 

Pahala kebaikan dikira satu akan dibalas 10 kali ganda. Maka sebulan Ramadan akan dibalas dengan 10 bulan. Manakala, enam hari di kali dengan 10 di bulan Syawal akan dibalas dua bulan.

Posted in Labels: | 0 comments

Mewah sehingga kufur


Beberapa tahun lalu, mungkin ada antara kita masih ingat lagi perbualan seorang lelaki Somalia dengan seorang ulama dalam satu rancangan televisyen bual bicara di sebuah negara Arab yang sungguh menyentuh perasaan.

Mana tidaknya, dalam sesi bual bicara itu, lelaki berkenaan bertanya sama ada berdosakah bagi dirinya jika meninggalkan sahur dan tidak berbuka puasa pada Ramadan seperti dituntut. 

Soalan lelaki itu sekali gus menyebabkan ulama berkenaan bercucuran air mata kerana mungkin belum pernah terlintas di fikirannya sebelum itu dan memandangkan Somalia adalah negara yang dikenali masyarakat dunia dengan krisis kebuluran masyarakat di sana. 

Tampak beliau ikhlas mahukan jawapan mengenai soalan yang berlegar di fikiran, tetapi pada masa sama menyentap hati orang yang mendengarnya dan seharusnya membuatkan kita untuk bermuhasabah.
Dalam sebuah kisah lain, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan keterangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu.

Hakim berkenaan duduk termenung menyemak pertuduhan nenek terbabit yang mempertahankan tindakannya disebabkan hidup miskin selain anak lelakinya sakit serta cucunya kelaparan. 

Namun, pengurus ladang tuan punya ladang ubi berkenaan tetap tegas dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain. 

Hakim menghela nafas dan berkata: “Maafkan saya, bu... saya tidak dapat membuat pengecualian undang- undang. Undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. 

“Saya mendenda anda Rupiah (Rp) 1 juta (RM350) dan jika anda tidak mampu bayar, anda harus masuk penjara selama dua setengah tahun, seperti tuntutan undang-undang.” 

Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim membuka topi hakimnya, membuka dompetnya, kemudian mengambil dan meletakkan wang Rp1 juta ke dalam topinya serta berkata kepada hadirin di ruang mahkamah: “Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp50,000 (RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya. 

“Saudara pendaftar, tolong kumpul denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh.” 
Sebelum tukul diketuk, nenek itu mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp3.5 juta dan sebahagian dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya. 

Setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang, termasuk wang Rp50,000 yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya. 

Sejauh mana kebenaran kisah ini tidak diketahui, tetapi paling penting pengajaran yang boleh diambil daripadanya untuk kita sentiasa bermuhasabah. Bermuhasabah untuk menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur dan tidak kufur terhadap nikmat-Nya. 

Namun, di negara kita antara penyebab meriahnya Ramadan kerana kewujudan pelbagai bazar Ramadan yang boleh dianggap sebagai tapak pesta makanan yang tidak ada pada bulan lain. 

Bazar Ramadan di sana sini sesak dengan pengunjung yang berpusu-pusu membeli ratusan menu disediakan. 

Sebut saja masakan Melayu, Barat, Arab, Cina atau India, semuanya ada di negara kita. Alhamdulillah atas kurniaan rezeki melimpah ruah yang diberikan Allah SWT kepada kita. 

Namun pada masa sama, di sebalik kesenangan yang kita kecapi, kadangkala terpalit juga rasa kurang bersyukur. Sering kita mengeluh atau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap rezeki dikurniakan. 

Ada saja komen seperti tidak menepati cita rasa, kurang tepung, kurang garam dan macam-macam lagi. 

Tidak kurang juga pembaziran yang berlaku terhadap lambakan makanan yang memenuhi tempat pembuangan sampah. Saya yakin Ramadan menyebabkan jumlah sampah-sarap lebih daripada bulan lain kerana pembaziran ini. 

Pesta makanan diteruskan menjelang Aidilfitri. Pastinya jadual kita dipenuhi undangan rumah terbuka daripada sanak saudara dan rakan taulan. 

Sehingga kadangkala terkeliru adakah kita lari daripada prinsip kehidupan yang sepatutnya ada dalam diri kita iaitu ‘makan untuk hidup’, atau sebaliknya kita lebih terarah kepada ‘hidup untuk makan’. 

Pada saat kita menikmati ayam percik, nasi ayam, nasi beriani dan macam-macam lagi, ada yang hanya berbuka puasa dengan meminum air di lopak jalanan. 

Tidak kurang juga ada manusia hanya mampu menyuapkan pasir ke dalam perut mereka sebagai syarat memenuhi tuntutan lapar yang dirasa. 

Ketika kita bermewah-mewah mengambil pelbagai makanan dan meletakkannya ke dalam pinggan yang akhirnya terbuang begitu saja, ada manusia hanya mampu mengintai dari luar restoran sambil menelan air liur dan menjadi saksi kepada pembaziran kita. 

Tidak kurang juga menjadi penunggu tempat pembuangan sampah di belakang restoran untuk ‘menikmati’ sisa makanan yang kita buang. 

Kadangkala kita terlalu berkira untuk melakukan sedekah kerana khuatir simpanan harta kita akan berkurangan. Maka cukuplah RM1 diletakkan ke dalam tabung masjid. Bukankah paling penting adalah sifat keikhlasan? 

Namun pada masa sama, berapa banyak kita bazirkan melalui pembuangan makanan yang berlebihan? Satu fakta yang saya peroleh daripada sebuah majalah menyatakan, sebanyak 1.8 juta tan sampah dibuang oleh rakyat Malaysia dalam setahun atau secara puratanya 1.3 kilogram bagi setiap penduduk negara ini. 

Daripada anggaran 20,000 tan sisa pepejal yang dibuang setiap hari, 45 peratus daripadanya adalah sisa makanan. 

Betapa kita rakyat Malaysia kaya dengan makanan hinggakan tong sampah di rumah kita juga ‘kenyang’ dengan pelbagai sisa makanan. 

Bersempena Ramadan yang mulia ini, marilah kita merenung kembali sejauh mana kita kufur nikmat Allah dalam keadaan tidak menyedari kelalaian itu. 

Ketika memilih untuk membuang sesuatu makanan, fikir dan ingat betapa masih ramai di luar sana yang berjuang untuk sesuap nasi demi sebuah kehidupan
. 

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Tabiat suka membazir saudara syaitan


Apa perasaan kita apabila ditipu? Mesti marah dan malu punya. Kadang-kadang kita kutuk dan kita menceritakan pula kepada semua orang mengenai kejahatan penipu itu. Kita mesti tidak berpuas hati dan mahu rasanya membalas semula apa yang dilakukan si penipu itu. Itulah fitrah manusia, tidak suka ditipu. Namun sedar atau tidak, kita memang ditipu dan banyak kali tertipu oleh musuh kita iaitu syaitan. 

Syaitan sentiasa mencari jalan untuk memerangkap kita. Salah satu cara syaitan menipu kita ialah dengan cara mendorong serta menggoda kita supaya membazir. 

Membazir adalah saudara syaitan menerusi firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 26-27 yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga terdekat haknya kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu membelanjakan hartamu secara boros. Sesungguhnya membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu kepada Tuhan sangatlah ingkar.”

Membelanjakan harta kepada sesuatu yang tidak memberi manfaat walaupun sedikit dikira membazir apatah lagi jika berbelanja besar.

Walaupun 10 sen beli barang yang tidak berguna adalah saudara syaitan. 

Setiap sesuatu akan dipertanggungjawabkan di depan Allah, sebab tidak ada yang kecil di depan Allah. Berjimat bukan ketika harta sedikit saja, tetapi dalam apa juga keadaan. 

Manakala berjimat jangan pula sampai jadi kedekut. Membeli sesuatu yang tidak perlu atau tidak bermanfaat, berlebihan hingga terpaksa membuang perlu dielakkan. 

Cuba lihat kereta, motosikal, baju, kasut, pakaian serta segala perhiasan kita itu berpatutan atau dibeli untuk memenuhi koleksi atau bertanding hendak menunjuk-nunjuk saja? 

Imej dan prestij memang penting, tapi biarlah dalam kemampuan kita serta tidak melampau apatah lagi membazir. Hendak beli kereta adakah ia perlu? Jika perlu beli saja. 

Tanya lagi, yang sudah ada masih boleh dipakai? Perlukah membeli kereta? 
Kemudian, tanya lagi, mampukah kita? Sudah ada banyak, beli lagi sedangkan tidak pakai pun, sedekah jauh sekali. 

Orang dewasa dengan caranya manakala remaja pula dengan cita rasanya tersendiri. Hendak tunjuk kaya satu penyakit juga. Kadangkala pada satu sudut, kita berhabisan berbelanja sampai jadi papa pun tidak mengapa, tetapi apabila hendak beli buku agama, amat berkira. 

Mulai sekarang, bersihkan rumah kita daripada barang tidak berguna. 

Lebih baik rosak digunakan orang lain daripada rosak terbiar di rumah kita, 
mungkin ia sangat berguna bagi orang lain. 

Sesuatu yang amat malang apabila kita berasa sangat selesa dan aman dengan kekayaan yang kita miliki sehingga lupa Allah yang memberi, lalu kita guna sesuka hati, tidak ikut peraturan dan garis panduan yang digariskan Allah. 

Allah boleh ambil apa saja yang Dia berikan kepada kita sebagai hamba yang lemah pada bila-bila masa dan di mana saja dengan cara apa sekalipun. 

Harta yang diuruskan secara membazir adalah harta yang tidak berkat, apatah lagi beli dan guna untuk perkara yang terlarang. 

Tiga tanda harta yang berkat iaitu apabila dimiliki pemiliknya menjadi qanaah (berasa mencukupi), pemiliknya menjadi tenang serta berasa itu adalah amanah dan pemilik harta itu lebih mulia daripada harta yang dimilikinya.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Rebutlah Malam Lailatul Qadar



Alangkah cepatnya masa berlalu, ketika seronok melaksanakan ibadah, Ramadan kini di pusingan terakhir.

Sedih rasanya, apakah amalan kita diterima atau tidak. Apa pun, kita masih ada 10 hari terakhir membuat pecutan. 

Marilah kita menghidupkan malam-malam yang menjadi buruan setiap kekasih Allah, moga kita dalam senarai pencari lailatulqadar. Antara amalan menghidupkan 10 hari terakhir Ramadan ialah solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan berzikir kepada Allah. 

Kita digalak mengejutkan ahli keluarga bersama-sama menghidupkan malam itu dengan amal ibadah, jangan biarkan mereka terus lena dibuai mimpi.
Bagi suami isteri, 10 malam terakhir usah bersama kerana Nabi mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana sibuk dengan beribadah.

Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di akhir Ramadan iaitu dengan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah. 

Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin, mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkannya sejak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”. 

Rasulullah s.a.w memberikan pedoman terbaik kepada umatnya supaya melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupnya dengan gerak ibadah. 

Antaranya, solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam dan membangunkan ahli keluarga untuk beribadat. 

Dalam beribadah (solat), baginda tidak pernah melupakan keluarganya. 

Perilaku baginda membangunkan ahli keluarganya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta’ menyebutkan, bahawasanya Umar melakukan solat malam seperti yang dikehendaki Allah, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar membangunkan keluarganya supaya melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: “solat! solat!” 

Berikut perkara-perkara yang patut dilakukan di 10 terakhir Ramadan: 

1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian paling baik selain haruman. 
Ibnu Abi ‘Asim meriwayatkan dari Aisyah: “Rasulullah jika berada dalam bulan Ramadan, baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. 

2. Mencari lailatulqadar 
Baginda bersabda, maksudnya, “Carilah malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir. (Riwayat al-Bukhari). 

Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia mengambil menghidupkan seluruh malam itu”. (Riwayat Abu Dawud). 

3. Melewatkan sahur 
Daripada Sahl ibn Sa’d berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah. (Riwayat al-Bukhari). 

Zaid ibnu Thabit berkata: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (Riwayat al-Bukhari). 

4. Melakukan iktikaf 
Iktikaf adalah sunnah baginda demi memperoleh kelebihan dan ganjaran lailatulqadar. 

Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam lailatulqadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5). 

5. Membanyakkan doa 
Aisyah diajar Rasulullah s.a.w membaca doa pada malam al-Qadar. 
Doanya berbunyi: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535).

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Tips Mudah untuk cari mukasurat Al Quran

Tips Mudah tentang mencari muka surat Al-Quran (Mashaf Rasm Usmani)
mengikut Juzuk.

Contoh 1: Juzuk 20

Caranya mudah dan diberikan oleh saudara Ali dari Yaman semasa mengerjakan haji. 

Juzuk

20
Darab
( X )
20
Jawaban
=
400
Tolak
( – )
20
Jawaban
=
380
Tambah
( + )
2
Jawaban
=
382

Betul atau tidak ?

Moga ada manfaatnya.


Contoh 2: Juzuk 13

Juzuk

13
Darab
( X )
20
Jawaban
=
260
Tolak
( – )
20
Jawaban
=
240
Tambah
( + )
2
Jawaban
=
242

Betul atau tidak ?

Moga ada manfaatnya.

Posted in Labels: | 0 comments

Istiqamah laksana tuntutan Ramadan


Syukur tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya, kita dapat melangkah masuk ke fasa kedua Ramadan iaitu fasa keampunan. Dengan hayunan langkah yang masih bersemangat, kita perlu melaksanakan tuntutan Allah bukan setakat ibadat puasa saja, malah meningkatkan ibadat sunat lain seperti Tarawih, qiyammulail, zikir, doa dan beristighfar. 

Lazimnya, semakin lama berpuasa, semakin kuranglah jemaah di masjid dan surau. 
Bilangan saf kian menyusut. Di mana istiqamah kita, baru separuh jalan, belum pun sampai ke-10 malam terakhir, sudah rasa pancit dan letih? 

Sewajarnya, kita perlu sentiasa menyuburkan semangat, meningkatkan mujahadah kita hari demi hari sehinggalah tiba ke-10 malam terakhir. Setiap hari ada peningkatan dalam amal kita, pembacaan dan tadabbur al-Quran seiring dengan puasa yang dijalankan. Jika merasakan semangat semakin berkurangan, janganlah dituruti sangat kehendak hawa nafsu itu. 

Basahi diri dengan wuduk, dekati al-Quran dan bacalah buku atau peringatan yang berguna bagi membangkitkan semula motivasi diri. 

Kurangkan tidur yang berlebihan pada siang hari. 

Ia sebenarnya menyebabkan kita berasa tidak bermaya pada malamnya dan payah untuk qiyammulail! Masa terluang pada waktu siang atau malamnya kita janganlah isi dengan perkara yang lagha (sia-sia) seperti menonton rancangan televisyen yang tidak sesuai kerana di situ tak terjaga mata dan telinga kita lantas akan mempengaruhi jiwa serta melunturkan semangat ibadah. 

Lihatlah rancangan bercorak keagamaan yang dapat memberi peringatan kepada diri. Rasulullah s.a.w sentiasa berzikir pada setiap pagi dan petang serta melakukan solat sunat. 

Seperti kata Zun Nun Misri: “Salah satu tanda cinta seseorang kepada Allah ialah mutabaah (mengikuti) kekasih-Nya (Rasulullah) dalam akhlak, perbuatan, perintah dan sunahnya.” 

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku, pasti Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.” 

Lebih-lebih lagi pada fasa kedua Ramadan, bagi mengharapkan maghfirah Allah, perlulah lakukan amalan yang disukai Allah supaya diampunkan dosa kita. 

Sesungguhnya tinggi rendahnya kedudukan seorang mukmin diukur dengan kekuatan Ittiba’ (mengikuti) sunah Rasul, ertinya banyaknya sunah Rasul yang dibuatnya, semakin tinggilah kedudukannya di sisi Allah. 

Bagaimanakah agaknya kita rasakan apabila kehilangan sesuatu yang kita sayangi seperti harta dan wang ringgit atau lebih-lebih lagi kehilangan orang tersayang seperti anak, isteri atau suami? 

Tidak diketahui di mana mereka berada, mungkin diculik, tersesat dan sebagainya. Aduh, sudah tentu jiwa tidak keruan, sedih pilu, mencari ke sana ke mari bagai orang gila, iklankan di dalam media massa, sanggup melakukan apa saja untuk mencari mereka. 

Tapi adakah sama kita rasai dengan banyaknya hilang sunah Rasul dalam kehidupan kita? Kita kurang peduli, tidak bersusah payah untuk mengamalkannya semula dalam kehidupan seharian kita! 

Ini kerana dalam hati tidak sama rasa kasih dan sayang kita seperti kita sayang kepada harta, wang ringgit dan orang kesayangan kita. 

Kita lebih sayangkan perkara itu daripada Allah dan Rasul! Sedangkan sebagai Muslim Mukmin, kita sepatutnya mengasihi Allah dan Rasul melebihi segala yang ada di dunia ini. 

Memang sukar kita untuk melakukan perkara itu kalau hati tidak terikat erat dengan Allah dan Rasul. Jika mengamalkan sunah itu, ditawarkan ganjaran wang lumayan sudah tentu ramai orang bersemangat melakukannya. 

Namun ganjaran daripada Allah ghaib sifatnya, tak nampak depan mata. Maka balasan syurga yang penuh nikmat itu tidak menarik minat manusia kerana kecintaan mereka tebal pada dunia yang melalaikan! 

Itulah penyakit umat Islam akhir zaman ini yang cintakan dunia dan takutkan mati. Kita perlu cari jalan bagaimana nak tanam cinta kita pada Allah dan Rasul. 

Seperti kita hendak menanam pokok, untuk menjadikannya hidup subur, ia perlu daripada benih yang baik, ditanam di tanah subur, disirami air dan dijaga sehingga mengeluarkan hasil. 

Begitu juga benih keimanan, ia perlu ditanam di tempat yang subur iaitu di dalam hati yang bersih supaya menjadi pohon iman dan seterusnya membuahkan kecintaan kepada Allah dan Rasul. 

Setiap usaha yang dilaksanakan perlu diatur semuanya ke arah mencari keredaan Allah. Itulah pegangan paling tepat untuk dijadikan benteng seorang Muslim melayari kehidupan pada akhir zaman yang penuh dengan fitnah ini. 
Pada setiap episod kehidupan ada suka dan duka, bahagia atau celaka, sedih dan pilu, sihat atau sakit, gembira dan kecewa. Apa yang penting pada setiap episod, kita lulus ujian jika semuanya dikaitkan dengan ketentuan Allah dan menanganinya mengikut apa yang digariskanNya. 

Renungilah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 138 yang bermaksud: “Sibghah Allah, dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Hanya kepada-Nya, kami menyembah.” 

Namun apabila kita mengikuti jalan lain dalam kehidupan ini dan hanya menuruti nafsu, sebenarnya kita gagal dalam ujian itu! Akibat kegagalan cukup menyeksakan walaupun kita punya gedung mewah dan banyak harta! 

Tiada ketenangan abadi dalam hidup ini walaupun kita cuba membelinya dengan kemewahan. Firman Allah dalam surah Al-A’la ayat 16-17 yang bermaksud: “Tetapi kamu memilih kehidupan dunia, sedangkan kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.” 

Satu kerugian apabila kita ‘menggadai’ akhirat yang kekal abadi dengan tuntutan dunia yang sementara! Semua itu berlaku akibat butanya mata hati yang tidak nampak jalan kebenaran. 

Hati buta kerana ia diselaputi dosa demi dosa sehingga tidak nampak jalan! 
Nauzubillahi minzaalik! Jadi, perkara yang wajib dilakukan setiap hamba Allah dalam menjalani kehidupan adalah mengikuti semua yang diperkatakan Allah melalui Rasulullah. 

Melaksanakan keseluruhan syariat Islam tanpa ada yang tertinggal. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 108 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (mematuhi segala hukum-hukum Islam) dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.” 

Mudah-mudahan Allah membantu kita melayari kehidupan ini berbekalkan taufik dan hidayah-Nya. Sama-sama kita pasrahkan jiwa hanya kepada-Nya.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments