SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Perasaan malu mampu halang perbuatan tak senonoh


Zaman mutakhir ini memperlihatkan kepada kita pelbagai kepincangan berlaku antaranya merosotnya akhlak dan tersebarnya kemaksiatan. Sebahagian manusia hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh ditonjolkan. 

Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki setiap Muslim. Malah Nabi sendiri adalah insan yang sangat pemalu. Diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah lebih malu sifatnya dari seorang gadis. Itulah pentingnya memiliki sifat malu kerana jika ada perasaan malu, seseorang Muslim dapat mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.

Mereka akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh, maksiat dan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ia menunjukkan malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama. “Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan kepada manusia untuk melakukan sesuka hati mereka. 

Ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Maksud ayat itu juga adalah untuk memberitahu malu adalah perisai kepada diri seseorang. 

Pernah diriwayatkan, terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya mengenai sifat malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal. 

Kebetulan ketika itu Rasulullah sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda berpesan, “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman. 

Hadis riwayat Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Sahih Muslim No.50). 

Hadis riwayat Imran bin Husaini, beliau berkata: Nabi pernah bersabda: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Sahih Muslim No.53). 

Dalam masyarakat kita, ada anak yang berani meninggikan suara dan bersifat kurang ajar terhadap ibu bapa mereka. Ia berlaku kerana kepincangan nilai serta hilangnya rasa malu dari dalam diri. 

Begitu juga, pelajar mula tidak menghormati gurunya, lelaki melangkah ke tempat maksiat, perempuan yang tidak sopan di khalayak ramai, pasangan bercinta berjumpa dan bercanda serta ada di kalangan masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis. 

Pemimpin pula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan dan melakukan kezaliman akibat hilangnya perasaan malu. 

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela. 

Sebab itu, sifat malu penting untuk dipelihara dan dijaga. Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak mereka supaya tidak malu. 

“Just do it” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat. Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat namun ia perlu diperhalusi. 

Namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang hak kita seharusnya tidak boleh malu. Malah, wanita pada zaman Rasulullah tidak menghalang diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan. 

Sifat itu wajar kita contohi malah pepatah Melayu ada mengatakan “Malu bertanya sesat jalan”. Ia menunjukkan, bagi mengeluarkan seseorang dari kejahilan dan kekaburan, jangan malu untuk bertanya dan menimba ilmu. 

Rasa malu untuk melakukan kebaikan tidak patut ada di dalam diri manusia kerana Allah menyuruh hamba-Nya berlumba-lumba melakukan kebaikan. 

Antara dimensi malu yang perlu diberi perhatian ialah: 
1.    Rasa malu kerana meninggalkan kewajipan (hal yang berhukum fardu dan wajib meliputi iman dan semua kewajipan agama). 
2. Rasa malu untuk kerana meninggalkan sunnah (hal yang berhukum sunnah yang dianjurkan berdasarkan contoh dari Rasulullah). 
3.    Rasa malu kerana meninggalkan kemuliaan (hal termasuk kategori sifat dan sikap mulia selain yang jelas berhukum wajib dan sunnah). 
4. Rasa malu kerana melakukan pelanggaran, kemaksiatan dan hal yang diharamkan dalam syariah Islam. 
5.  Rasa malu kerana melakukan hal yang melanggar adab dan etika di tengah-tengah masyarakat 6-Rasa malu kerana melakukan hal berhukum syubhat dan makruh.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Waspada Syirik Khafi


“Ubat tu memang bagus, kalau engkau makan, sekejap saja pening engkau tu hilang.” Itu antara dialog yang biasa kita dengar dalam perbualan kita bersama orang sekeliling.
Tidak kurang juga mengagumi seorang bomoh atau doktor yang disifatkan ‘pakar’ merawat penyakit tertentu. Lalu terkeluar pula ayat: “Aku dengan orang lain tak berapa serasi, bomoh tu saja yang faham penyakit aku.” 

Dalam situasi lain, seorang lelaki ditinggalkan kekasih hatinya. Lalu terdetik di hatinya dan terungkap melalui kata-katanya: “Aku tak boleh teruskan hidup tanpa si dia. Aku lebih rela mati daripada melihat si dia berpacaran dengan lelaki lain.” 

Lebih malang lagi apabila si lelaki tadi mengamalkan apa yang dilafazkannya dengan membunuh diri. Sudahlah berdosa mensyirikkan Allah, kemudian melakukan dosa besar dengan membunuh diri pula.

Mungkin juga kita pernah mengungkapkan dialog di atas secara sedar atau tidak apabila berdepan situasi sebegini. Kedengaran seperti tiada apa salah silapnya, mungkin juga ia hanya perkara remeh yang tidak perlu dibincangkan.

Namun hakikatnya, perkara yang sering dipandang remeh inilah kadangkala menggoncang iman kita secara sedar atau tidak. Daripada sekecil-kecil bintik hitam, lama-kelamaan ia bertukar menjadi barah kepada iman dan akidah. 

Kebanyakan daripada kita memang menjaga perkara yang boleh mendatangkan syirik jali (syirik jelas). Kita sedaya upaya mengesakan Allah dengan tidak menyembah berhala yang zahir. 

Namun bagaimana pula penyembahan kepada ‘berhala ghaib’ yang mungkin kita lakukan secara tidak sedar dalam kehidupan seharian kita. Ini yang dinamakan sebagai syirik khafi atau dalam bahasa Melayunya disebut syirik tersembunyi. 

Penyembahan kepada berhala ghaib sebenarnya dapat dilihat dalam beberapa aspek seperti kebergantungan kepada sesuatu selain daripada Allah. 

Contoh mudah adalah dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa kesihatannya bergantung dengan ubat-ubatan. Jika tiada ubat, sakitlah dia. 

Tidak dinafikan, mencari ubat terbaik adalah satu ikhtiar dan usaha baik. Namun, perlu disematkan dalam hati bahawa ubat hanya wasilah dan ikhtiar untuk sembuh daripada penyakit, tetapi kepercayaan kepada yang menyembuhkan harus diiktikad kepada Allah SWT. 

Kerana itu, apabila bercerita mengenai kehebatan sesuatu ubat kepada seseorang, jangan lupa lafazkan insya-Allah. 
Sama juga seperti dalam kes seseorang yang baru putus cinta. Merasakan hidupnya tidak lagi bermakna selepas ditinggalkan kekasihnya, padahal ramai lagi wanita dan lelaki yang jauh lebih baik di luar sana. 

Ahli ibadah juga adakala tidak terlepas daripada ‘penyembahan’ kepada berhala ghaib. Penyakit sangat ditakuti menyerang secara tidak sedar ini tidak lain dan tidak bukan adalah sifat riak. 

Riak ketika melakukan amal ibadah membuatkan sesuatu ibadah itu tiada harga di sisi Allah. Contoh paling mudah ialah merasakan orang memerhatikannya sambil memuji: “Rajinnya si polan ini. Ada saja muka dia bersolat jemaah di masjid.” 

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa ayat 176, yang bermaksud: “... Mereka (orang munafik) pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” 

Dalam senario lain, penyembahan kepada pangkat dan kekayaan juga berlaku secara tidak sedar. Tidak dinafikan sebagai manusia kita digalakkan menghargai nikmat yang kita kecapi sekarang dengan mengimbau kesusahan yang pernah kita tempuhi pada zaman silam. 

Namun, berhati-hatilah dengan penyakit ‘ujub’ yang boleh menjadi parasit dalam hati. Ujub membuatkan manusia berasa bangga dengan diri sendiri atas hasil titik peluhnya. Merasakan semua adalah usahanya, lantas tidak pernah terdetik di hati untuk mensyukuri nikmat Allah. 

Lebih parah lagi, seolah-olah ada perasaan ‘dendam’ terhadap Allah kerana ‘membiarkan’ dia dalam kesusahan satu ketika dulu. 

Ujub juga boleh berlaku apabila kita bersendirian. Kadangkala merasakan dirinya paling mulia lantaran amal ibadah dilakukan. 

Jika diimbau kembali kisah penciptaan manusia, bagaimana iblis yang satu ketika dulu dimuliakan, akhirnya menjadi makhluk paling dilaknat Allah. 

Bermula dengan syirik kecil, dengan merasakan dia lebih mulia kerana diciptakan daripada api, sedangkan manusia daripada tanah. 

Lantas timbul perasaan ujub dan riak dalam diri iblis dan seterusnya enggan menuruti perintah Allah untuk sujud kepada penciptaan Allah ke atas manusia. 

Lalu terakamlah dialog antara Allah dengan iblis yang membuatnya tersingkir daripada makhluk yang dimuliakan sebagaimana firman Allah: “Hai iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?” 
Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya.” 

Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.” (Al-Hijr, ayat 32-34) 

Sebenarnya, banyak lagi contoh syirik khafi berada dalam amalan manusia. Namun ia selalunya dipandang kecil oleh manusia. 

Kita selalu sibuk menjaga diri daripada melakukan syirik jali (nyata), tetapi dalam diam rupa-rupanya syirik khafi menghakis keimanan kita dari hari ke hari. 
Sememangnya syirik khafi tidak membatalkan iman manusia. Namun, harus diingat, sebesar-besar sesuatu itu bermula daripada kecil. 

Kerana itu Rasulullah SAW menyatakan kegusaran baginda terhadap syirik yang tidak
sedar ini melalui sepotong hadis bermaksud: “Syirik yang dilakukan oleh umatku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu besar.” 

Di dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, yang paling aku khuatir atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riak. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman: Pergilah kalian kepada orang- orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?” (Riwayat Imam Ahmad) 

Kerana itu, syirik khafi dikhuatiri boleh mencederakan tauhid kepada Allah jika tidak benar-benar diawasi.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Hati baik tolak keburukan


Manusia memiliki potensi menerima dan menolak. Jika tidak, mereka kehilangan dirinya serta rahsia kewujudannya.

Ia ibarat pohon kering yang daunnya berguguran, tidak hijau dan tidak hidup. Sama juga dengan pohon tidak berbuah, hidup tetapi seperti mati. Ia tidak memiliki pengaruh dalam kehidupannya kerana hanya dapat mengambil tetapi tidak dapat memberi. Potensi menerima dan menolak sangat dipengaruhi hati. 

Apabila hatinya baik, ia cenderung menerima kebaikan dan menolak keburukan. Sebaliknya, apabila hatinya buruk, ia cenderung kepada keburukan dan menolak kebaikan.

Hati adalah raja kerana ia mengendalikan setiap langkah manusia. Ia bekerjasama dengan akal yang berperanan menentukan setiap keputusan yang menjadi pengukur buruk atau tidak manusia.

Jika baik, maka baiklah seluruh tubuh dan apabila buruk, buruklah seluruh tubuh. Demikian sabda Rasulullah s.a.w mengenai hati. 

Di antara umat Islam, ada beberapa orang biasa yang kedudukannya sangat istimewa di hadapan Allah. 

Ia bukan ulama atau syuhada’. Mereka dapat menyingkap rahsia kehidupan dan rahsia Allah dalam dirinya sehingga dapat menggunakan potensi penglihatan, pendengaran dan hati sesuai dengan kehendak Allah S.W.T. 

Mereka juga mampu mengendalikan semua pancaindera untuk ketaatan kepada Allah. Ia adalah gerakan organ tubuh dan jiwanya dalam ketekunan dan kekhusyukan beribadah. 

Jiwanya lahir gelombang semangat, malamnya dihidupkan dengan bertahajud serta berdoa menyesali setiap kekeliruan. Pada siangnya ditebarkan kasih sayang dan kebaikan. 

Mereka menyeru manusia supaya kembali ke jalan Allah. Roh dan hatinya menjadi penarik setiap hati manusia kembali menemukan pintu hidayah. 

Hatinya mendapat petunjuk dan perlindungan daripada Maha Pemberi Petunjuk. 
Allah berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu. Ketahuilah sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.” (Surah Al-Anfal ayat 24). 

Allah menggambarkan orang yang kering hatinya dan berkarat jiwanya dalam al-Quran: “Kemudian selepas itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-sekali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah ayat 74). 

Abbas As-Siisiy dalam buku Ath-Thariq Ilal Qulub (Bagaimana Menyentuh Hati (1420 H) menjelaskan, dalam ayat itu, Allah menjelaskan, batu itu sensitif, bahkan ketika meluncur jatuh ia takut kerana Allah. 

Tetapi kita tidak memiliki peralatan yang dapat membuka rahsia, bagaimana batu itu dapat menjadi sensitif yang melekat satu sama lain kerana takutnya kepada Allah. 

Abbas As-Siisiy berkata lagi, bagaimana dengan manusia yang banyak diberikan Allah kenikmatan yang besar seperti akal, perasaan dan hati sebagai penitipan rahmat. 

Sebahagian manusia hatinya hidup mensyukuri semua kenikmatan Allah. Sebahagian besar yang lain pula kurang mensyukuri bahkan tidak bersyukur sama sekali terhadap pemberi rezeki iaitu Allah. 

Manusia kufur nikmat itu sudah mati hatinya. Sebagaimana firman Allah: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Surah Al-Baqarah ayat 10). 

Orang yang mati hatinya sukar menerima kebenaran. Mereka bertindak sesuai dengan kehendaknya. Nafsu syahwatnya menjadi pengendali sehingga akan menjadi makhluk yang angkuh dan sombong. 

Kerana itu, berlindunglah daripada hati yang keras, hati yang mati dan hati yang dikendalikan nafsu. “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”

Sumber: www.hmetro.com

Posted in Labels: | 0 comments