SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Pupuk Rasa Cinta, Sayang Kepada Anak


Rasulullah S.A.W sangat penyayang terhadap anak, baik terhadap keturunan baginda sendiri ataupun anak orang lain. Abu Hurairah meriwayatkan, satu ketika Rasulullah mencium Hasan bin Ali.

Berhampiran ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi yang sedang duduk. Lelaki itu kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun daripada mereka.”  Rasulullah segera memandang kepadanya dan berkata, barang siapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi.” 

Sifat kasih sayang Rasulullah juga terserlah ketika bersolat di mana Baginda tidak melarang anak-anak mendekatinya. Hal itu diceritakan Abi Qatadah, “Suatu ketika Rasulullah mendatangi kami bersama Umamah binti Abil Ash iaitu anak Zainab, puteri Rasulullah. Baginda meletakkannya di atas bahunya kemudian solat dan ketika rukuk. Baginda meletakkannya dan ketika bangun daripada sujud, Baginda mengangkat kembali.” 

Peristiwa itu bukan satu-satunya kejadian yang dirakam dalam sejarah. 
Abdullah bin Syaddad juga meriwayatkan daripada ayahnya bahawa, “Ketika waktu solat Isyak, Rasulullah datang sambil membawa Hasan dan Husain.

Baginda kemudian maju (sebagai imam) dan meletakkan cucunya kemudian takbir untuk solat. Ketika sujud, Baginda memanjangkan sujudnya. 

Ayahku berkata, “Saya kemudian mengangkat kepala dan melihat anak kecil itu berada di atas punggung Rasulullah yang sedang bersujud. Saya kemudian sujud kembali.” 

Setelah selesai solat, orang-orang pun berkata, “Wahai Rasulullah, saat sedang sujud di antara dua sujudmu tadi, engkau melakukannya sangat lama, sehingga kami mengira terjadi peristiwa besar atau turun wahyu kepadamu.”

Baginda kemudian berkata, “Semua yang engkau katakan itu tidak terjadi, tapi cucuku sedang bermain di belakangku, dan aku tidak suka menghentikannya sampai dia menyelesaikan keinginannya.” 

Usamah bin Zaid ketika masih kecil mempunyai kenangan manis dalam pangkuan Rasulullah. “Rasulullah pernah mengambil dan mendudukkanku di atas pahanya dan meletakkan Hasan di atas pahanya yang lain, kemudian memeluk kami berdua dan berkata, “Ya Allah, kasihanilah keduanya, kerana sesungguhnya aku mengasihi keduanya.” 

Begitulah sikap Rasulullah kepada anak-anak. Secara halus, Baginda memberi contoh bagaimana anak perlu diberikan penuh rasa cinta, kasih sayang dan kelembutan. 
Sikap tidak mencontohi Rasulullah adalah kesilapan besar ibu bapa terhadap anaknya. Antara kesilapan yang dilakukan ibu bapa ialah: 
1. Memaki dan menghina anak. 
Bagaimana yang dikatakan menghina iaitu ketika seorang ayah menilai kekurangan anaknya dan memaparkan setiap kebodohannya. 

Lebih teruk lagi jika itu dilakukan di hadapan teman si anak. 

Termasuk dalam kategori itu adalah memberi nama kepada anak dengan nama buruk. Seorang lelaki pernah mendatangi Umar bin Khattab seraya mengadukan kederhakaan anaknya. Umar kemudian memanggil anak orang tua itu dan mengherdiknya atas kederhakaannya. 

Tidak lama kemudian anak itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, bukankah anak memiliki hak atas orang tuanya?” “Betul,” jawab Umar.  “Apakah hak anak?” “Memilih calon ibu yang baik untuknya, memberinya nama yang baik, dan mengajarkannya al-Quran,” jawab Umar. “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ayahku tidak melakukan satu pun dari apa yang engkau sebutkan. Adapun ibuku, ia adalah wanita berkulit hitam bekas hamba sahaya orang majusi; dia menamakanku Ju’lan (kumbang), dan tidak mengajarku satu huruf pun dari al-Quran,” kata anak itu. 

Umar segera memandang orang tua itu dan berkata kepadanya, “Engkau datang untuk mengadukan kederhakaan anakmu, padahal engkau derhaka kepadanya sebelum ia menderhakaimu. Engkau berbuat buruk kepadanya sebelum dia berbuat buruk kepadamu.” 

Rasulullah sangat menekankan supaya kita memberi nama yang baik kepada anak. Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya kalian akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kalian dan nama ayah kalian, maka perbaikilah nama kalian.” 

Sebab itu, Rasulullah kerap mengganti nama seseorang yang bermakna jelek dengan nama baru yang lebih baik atau mengganti gelaran yang buruk kepada seseorang dengan yang lebih baik dan positif. 

Contohnya, Harb (perang) menjadi Husain, Huznan (yang sedih) menjadi Sahlun (mudah), Bani Maghwiyah (yang tergelincir) menjadi Bani Rusyd (yang diberi petunjuk). 

Rasulullah memanggil Aisyah dengan nama kecil Aisy untuk memberi kesan lembut dan sayang. 

2. Melebihkan seorang anak daripada yang lain. 
Sikap itu adalah salah satu faktor putusnya hubungan silaturahim anak dengan ibu bapanya dan punca permusuhan antara saudara. 

Nu’man bin Basyir bercerita, “Ayahku menginfakkan sebahagian hartanya untukku. Ibuku, ‘Amrah binti Rawahah kemudian berkata, ‘Saya tidak suka engkau melakukan hal itu sehingga menemui Rasulullah.’ Ayahku kemudian berangkat menemui Rasulullah sebagai saksi atas sedekah yang diberikan kepadaku. Rasulullah berkata kepadanya, ‘Apakah engkau melakukan hal ini kepada seluruh anak-anakmu?’ Ia berkata, ‘Tidak.’ Rasulullah berkata, ‘Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anakmu.’ Ayahku kemudian kembali dan menarik lagi sedekah itu. 

Puncak kezaliman kepada anak ialah ketika ibu bapa tidak timbul rasa cinta dan sayangnya kepada anak perempuan yang kurang cantik, kurang pandai, atau cacat salah satu anggota tubuhnya. Padahal, tidak cantik dan cacat bukanlah kemahuan anak. Apalagi tidak bijak itu pun bukanlah dosa dan kejahatan. 

3. Mendoakan keburukan buat anak 
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda, ada tiga doa yang dikabulkan doanya: doa orang yang teraniaya, doa musafir, dan doa (keburukan) orang tua ke atas anaknya. 

Entah apa alasan yang membuat seseorang begitu membenci anaknya. Jika seorang ibu sepanjang hari lidahnya tidak kering mendoakan celaka, melaknat dan memaki anaknya maka sesungguhnya, ibu itu adalah wanita yang paling kejam. 

Setiap doa buruknya, setiap ucapan laknat yang keluar dari lidahnya, dan setiap kata maki yang diucapkannya boleh termakbul lalu menjadi hukuman ke atas dirinya. 

Cuba hayati kisah ini pula. Seseorang pernah mengadukan mengenai anak lelakinya kepada Abdullah bin Mubarak. Abdullah bertanya kepada orang itu, “Apakah engkau pernah berdoa (yang buruk) atasnya.” Orang itu menjawab, “Ya.”  Abdullah bin Mubarak berkata, “Engkau telah merosakkannya.” Nauzubillah! 

4. Tidak memberi pendidikan kepada anak 
Ada syair Arab yang berbunyi, “Anak yatim itu bukanlah anak yang ditinggal orang tuanya dan meninggalkan anak-anaknya dalam keadaan hina.  Sesungguhnya anak yatim adalah yang tidak dapat dekat dengan ibunya yang selalu menghindar darinya, atau ayah yang selalu sibuk dan tidak ada waktu bagi anaknya.” 

Perhatian tertinggi ibu bapa kepada anaknya ialah memberi pendidikan yang baik dan jika gagal, ia adalah kejahatan orang tua terhadap anaknya. 

Jika mereka gagal memberi pendidikan terbaik kepada anak maka ibu bapa itu melanggar perintah Allah. Dalam surah Thoha ayat 132 Allah berfirman yang bermaksud: “Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”  Rasulullah bersabda, “Ajarilah anak-anakmu solat saat mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka (bila tidak melaksanakan solat) pada usia sepuluh tahun.”

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in | 0 comments

Musibah Tanda Dosa Diampunkan


Tujuan Allah menurunkan musibah kepada hamba-Nya supaya dosa mereka diampunkan. Pada masa sama, ada keterangan dan ayat menyatakan dosalah juga menjadi penyebab datangnya bala.

Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Apabila Allah menyayangi seseorang hamba-Nya, Allah menguji dengan kesusahan sama ada pada diri, keluarga, anak mahupun pada harta supaya dibersihkan daripada dosanya. Sekiranya dosa masih ada Allah akan membuatkan matinya menjadi susah supaya apabila bertemu Allah dalam keadaan tidak berdosa.” Apabila berhadapan dengan ujian, sebagai hambanya ketahuilah ia mempunyai hikmah untuk kebaikan dan perlu mengambil pengajaran daripadanya. 

Jika dilihat pada sejarah, kenapa Allah azabkan kaum Nabi Nuh? Lebih enam bulan mereka ditenggelami banjir besar.

Begitu juga dengan kaum Nabi Luth, Allah terbalikkan lapisan bawah bumi naik ke atas, sementara yang atas dibenamkan ke perut bumi. Kesannya masih dapat dilihat di Laut Mati, Jordan.

Lihat pula bagaimana kaum Aad dan Thamud mati terkapar terputus jantung kerana terkejut bunyi gempita suara tempikan malaikat. 

Pernahkah kita membaca sejarah Qarun yang tenggelam bersama kekayaannya hingga membentuk tasik yang amat besar dengan airnya laksana lautan. 

Firaun pun begitu juga, kerana gah ingin merebut segala kekuasaan hingga gelaran Tuhan pun mahu direbutnya. Akhirnya, dia bukan saja tenggelam dalam laut malah kekuasaan, tentera dan gelarannya turut lemas sekali. 

Di sana ada 1,000 satu cerita kehancuran yang boleh dipelajari. Semua peristiwa itu berpunca daripada dosa. Sayangnya Allah kepada hambanya apabila segala yang ditimpa kepada hambanya tetap ada kebaikan walaupun nampak memilukan. 

Mereka yang mendapat petunjuk menyedari hikmah di sebalik ujian. Di sini terdapat dua ujian. Pertama, bala dan kedua ibtila’. Ibtila’ adalah kepayahan dan bencana yang menimpa dalam bentuk ujian sementara bala adalah bencana serta kesusahan ditimpa dalam bentuk hukuman. 

Menghukum yang ingkar dan akhirnya bukan saja mereka tidak menginsafi malah hancur dalam kemusnahan. Ibtila’ yang melanda selepas menderita kepayahan dan keperitan, mereka mula menginsafi kesalahan. 

Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi tragedi bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh, tsunami, banjir besar itu untuk kita bermuhasabah kebesaran Allah. Kita juga diperintahkan supaya sentiasa bertaubat atas dosa silam yang pernah dilakukan. Keinsafan yang hendak dikongsikan di sini ialah kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa kuasa dan lemah. 

Bukan saja tidak mampu bersedia mengelak musibah malah meramal pun tidak termampu. Petanda awal muncul tidak sempat dibaca. Allah Yang Maha Berkuasa. 

Malang sekali jika kita hendak beradu kuasa dengan Allah. Allah amat marah kepada hambanya yang ingkar dan tidak mengikut petunjuk-Nya selepas diberi peringatan.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Piawaian Sebenar Solat


Umat Islam pasti tahu bahawa solat adalah perintah daripada Allah SWT dan kerana itu juga tiada pengecualian diberikan terhadap sesiapa pun sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An-Nisa, ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang yang beriman.”

Namun, kadangkala solat tidak dirasakan sebagai tanggungjawab dan amanah Allah kepada hamba-Nya. Malah, kerana itu ada yang merasa solat itu umpama beban. 
Justeru, dewasa ini ramai umat Islam yang tanpa rasa bersalah meninggalkan solat dengan sengaja kerana merasakan tidak mendapat apa-apa daripada solat selain penat dan terganggu dengan kewajipan yang perlu dilakukan dalam kehidupan seharian. 

Ada pula yang lebih berani menyatakan secara tidak berilmu” “Aku tidak solat pun dapat makan juga, dapat hidup macam biasa juga. Baik tak payah solat.”
Itu antara jawapan serta alasan bagi yang meninggalkan solat kerana tidak dapat melihat hikmah di sebalik perintah menunaikan solat itu. 
Alhamdulillah, masih ramai umat Islam yang tetap taat mematuhi rukun Islam kedua ini. Bagaimanapun, mungkin masih banyak soalan berlegar di kotak pemikiran umat Islam berkenaan hal ehwal solat. 

Saya pernah ditanya seseorang, mengapa dia tidak dapat meninggalkan perbuatan maksiat sedangkan dirinya tidak pernah meninggalkan solat, kerana sepatutnya solat itu mencegah dirinya daripada perkara keji dan mungkar. 

Tidak dinafikan Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Ankabut ayat 45, yang bermaksud: “... dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah (kamu) daripada perkara keji dan mungkar.” 

Ya, memang pelik jika kita masih liat meninggalkan maksiat sedangkan kita tidak pernah meninggalkan solat. Jadi, adakah Allah sengaja menuturkan firmannya di dalam ayat di atas, pada hal perkara itu tidak berlaku dalam realiti sebenar kehidupan seorang Muslim. 

Berapa ramai yang bersolat tetapi masih gemar melakukan maksiat? Berapa ramai yang mendirikan solat tetapi masih gagal mendapat ketenangan jiwa? Itu antara soalan umum yang boleh memesongkan kepercayaan umat Islam terhadap apa yang dinyatakan oleh Allah melalui al-Quran dan semestinya tanpa bimbingan betul. Sesungguhnya, bukanlah sifat Allah memungkiri apa yang dijanjikan-Nya. 

Sebenarnya, persoalan itu harus berbalik pada diri kita. Sejauh mana kita menepati kriteria dan ‘piawaian’ solat yang ditetapkan oleh syariat. 

Memang masih ramai menunaikan solat, tetapi berapa ramai menunaikan solat dengan sepenuh hati? 

Ramai umat Islam pada zaman ini kurang menitikberatkan hal ehwal solat. Menunaikan solat umpama melepaskan batuk di tangga atau dalam kata lain, ‘asalkan buat’. 

Jangan meremehkan dan meringankan perkara yang bersangkut paut dengan solat kerana solat bukan sekadar bermula dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan lafaz salam, sebaliknya ia lebih daripada itu. 

Malah, solat itu sebaliknya boleh menjadi dosa apabila kita sengaja mengambil ringan hal solat, seperti mana Allah melaknat orang yang mendirikan solat sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Ma’uun ayat 4-5, yang bermaksud: “Neraka Wail (celakalah) bagi orang yang mengerjakan solat!” 

Insya-Allah dalam artikel minggu ini, saya akan cuba mengupas beberapa perkara mengenai solat yang sering kita ringan-ringankan. Mudah-mudahan menjadi peringatan kepada diri saya dan menjadi sedikit renungan untuk kita semua. 

Sebagaimana diketahui, untuk mengerjakan solat ada beberapa adab yang perlu dilakukan. 

1. Wuduk 
Wuduk atau dalam istilah orang Melayu, ‘air sembahyang’ antara perkara asas yang perlu sentiasa dititikberatkan, tetapi selalu dipandang remeh oleh umat Islam. Tidak sah solat seseorang itu tanpa wuduk bak pepatah latin mengatakan, ‘Void ab-initio’ (batal sejak daripada awal). 

Allah berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat 6, yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, basuhlah mukamu dan tanganmu hingga ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki (buku lali).” 

Malangnya, masih ramai gagal menepati piawaian kesempurnaan wuduk yang ditetapkan oleh kaedah fiqh. Seperti contoh, membasuh muka tetapi tidak mengenai seluruh bahagian muka (yang ditetapkan) dan membasuh tangan tetapi tidak sampai ke siku. 

Begitu juga apabila membasuh kaki, tidak membasuh dengan sebenar-benarnya dan gagal membuang kekotoran yang melekat. 

Seperkara lagi yang selalu mencacatkan wuduk kita adalah apabila air terhalang oleh kuku yang panjang dan kita gagal memastikan air terkena bahagian yang terlindung oleh kuku panjang itu. 

Maka cacatlah wuduk kita, dan secara automatiknya memberi kesan negatif terhadap solat didirikan. Susah payah kita menunaikan solat, tetapi pada masa yang sama, tidak dipandang Allah kerana cacatnya wuduk kita yang mungkin menyebabkan amalan solat kita tertolak dengan sendirinya.

Itu adalah perkara asas yang sewajarnya diambil perhatian oleh kita sebelum menunaikan solat. Insya-Allah jika sempurna wuduknya, semakin berkualiti penyerahan diri kita pada Allah melalui solat yang didirikan.

2. Tajwid 
Lafaz Tajwid bererti memperelokkan. Dari segi istilah pula adalah “Mengeluarkan setiap huruf dari tempat keluarnya dengan memberi hak dan mustahaknya.” Kewajipan untuk membaca al-Quran secara bertajwid dapat dilihat di dalam al-Quran dalam surah Al-Muzammil ayat 4, yang bermaksud: “... dan bacalah al-Quran dengan Tartil.” 

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang kemudian direkodkan di dalam naskhah al-Quran. Justeru, adakah kita sewenang-wenangnya mengambil mudah apabila menuturkan kalam Allah ini? 

Kerana itulah tajwid penting di dalam solat dan juga ketika membaca al-Quran. Namun sungguh malang apabila kita sering mengabaikan penekanan terhadap ilmu tajwid. 

Entah di mana panjang, di mana pendek, bagaimana makhraj sesuatu huruf itu mungkin tidak kita beratkan kerana tidak memahami kepentingan membaca ayat suci dengan bertajwid ini. Apatah lagi apabila mahu solat itu segera selesai, lintang-pukanglah tajwid dalam bacaan solat. 

Tidak hairan mengapa solat tidak mendatangkan kesan kepada diri kita. Mungkin ada yang perlu diperbetulkan dan diteliti berkenaan ilmu tajwid kita. 

Jika kita merasa malu apabila tidak dapat menuturkan bahasa Inggeris, kita sepatutnya lebih malu apabila tidak dapat menuturkan kalam suci Allah ini secara bertajwid. 

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments