SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Sedekah tambah rezeki

Apa perasaan anda, seandainya ketika sedang makan di kedai atau di warung tiba-tiba datang orang meminta sedekah menghampiri anda. Dia meminta duit derma daripada anda tetapi badannya sihat sambil dipimpin seseorang sambil menadah tangan.

Anda sedekah atau tidak kepadanya? Kalau anda beri duit kepadanya sama ada ikhlas atau pun sebab malu pada orang di sekeliling yang melihat anda? Selepas anda menderma apakah perasaan anda? Seronok atau berasa rugi?


Kalau berasa menyesal itu memang kedekut jawabnya. Alhamdulillah orang kita suka menderma, suka membantu dan menolong, mungkin kerana roh iman dan Islam yang menyala di dalam hati dan sanubari.


Ia menjadi pendorong utama ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang memang lembut hati. Hulurkan derma janganlah terlalu berkira sangat.


Tidak miskin pun jika kita beri sedikit pemberian itu dan tidak kaya mana pun mereka dengan yang dapat duit derma kita. Sebenarnya orang kaya ialah orang yang suka memberi.

Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Rasulullah pernah berhutang kerana mahu memberi. Kali ini penulis ingin berkongsi sedikit ilmu berkenaan membantu dan menderma terutama kepada fakir miskin.


Siapa sebenarnya yang dikatakan fakir miskin itu supaya derma kita itu betul-betul disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.


Fakir dan miskin adalah orang yang tidak memiliki apa yang cukup untuk belanja seharian misalnya mereka tidak memiliki beras, lauk dan keperluan asas yang lain.

Mungkin mereka ada pekerjaan tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi, kos sara hidupnya dan bebanan keluarga, sebagaimana firman Allah: “Adapun bahtera itu kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan Aku bertujuan merosakkan bahtera itu, Kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.” (Surah Al-Kahfi ayat 76)


Pada ayat di atas mereka disifatkan dengan sifat miskin, padahal mereka memiliki perahu besar dan memperoleh pendapatan sebagaimana sabda Rasulullah ketika ditanya orang miskin, Baginda menjawab: “Orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta, lalu diberi sesuap atau dua suap, satu buah kurma atau dua buah, tapi orang miskin adalah orang yang tidak cukup apa yang dia dapat daripada pekerjaannya untuk menyara keluarga.”


Zaman sekarang ada satu nama lagi iaitu peminta sedekah atau pengemis.
Terkadang mereka masih ketagih untuk makan hasil dari meminta dan menadah tangan.

Kalau sudah cukup duit daripada meminta sepatutnya mereka berhenti meminta tetapi kerana sudah ketagih, mereka akan terus meminta, orang sebegini sudah termasuk dalam kategori mereka yang memiskinkan diri sendiri.


Sebahagian daripada peminta sedekah sebenarnya lebih memerlukan derma dalam bentuk nasihat dan pemulihan mental. Mereka perlu dididik dan disedarkan bahawa tangan di atas, jauh lebih baik dari pada tangan di bawah.


Setengah kadang-kadang menjadi keliru kepada peminta sedekah sama ada hendak beri atau tidak. Kalau kita terus memberi nanti mereka ketagih meminta sehingga langsung tak nak berusaha sebab lagi seronok meminta tanpa bekerja.


Kalau tidak beri kasihan juga kalau yang meminta itu memang sangat-sangat memerlukan.

Sebab itu kita perlu memilih kepada siapa kita perlu berinfaq dengan tujuan untuk membantu dan kepada siapa kita perlu berkata maaf dengan tidak memberi mereka wang bukan kerana membenci, tetapi itulah salah satu cara kita mendidik mereka dan agar mereka berfikir dengan bijak.


Bagaimanapun penderma tetap dalam perhatian Allah dengan ganjaran yang istimewa. Percayalah jangan sekali menyesal dengan derma anda sebab banyak sekali hikmah di sebalik pemberian itu.


Antaranya hikmah derma ialah melembutkan hati. Jika hati sudah lembut, mudah untuk seseorang memaafkan orang dan mudah memohon maghfirah selepas melakukan kesalahan, sama ada kecil atau besar.


Kedua, seseorang, apabila menderma dan orang yang menerima derma pula seseorang yang betul-betul memerlukan bantuan insya-Allah, penerima derma itu pasti berdoa supaya penderma dikurniakan rezeki dan keampunan Allah.

Kesan berganda itu disebutkan dalam al-Quran, seperti ayat 261 dan ayat 265 Surah Al-Baqarah: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji.”

Manakala dalam ayat 265 surah sama maksudnya: “Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari reda Allah, dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat (ganda). Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Jaga lidah apabila berbicara

Individu berkualiti dapat dinilai daripada kemampuannya menjaga lisan iaitu lidahnya. Mereka yang beriman pasti akan menjaga tutur bicaranya daripada mengeluarkan perkataan buruk.

Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang beriman pada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau diam” (Hadis riwayat Bukhari&Muslim).

Baginda adalah contoh manusia yang sangat menjaga tutur katanya. Rasulullah akan berbicara atau berkhutbah di hadapan orang ramai secara berakhlak dan baginda juga adalah individu yang sangat jarang berbicara.

Namun, sekali berbicara, isi bicaranya pasti ada kebenarannya. Nilai ucapannya sangat tinggi seolah-olah mutiara yang indah dan bermutu. Ucapan baginda menembus hati, menggugah kesedaran, membekas ke jiwa serta dapat mengubah perilaku orang dengan izin Allah.

Atas sebab itu, Rasulullah digelar ‘Al-Amin’ kerana sejak kecilnya lagi tidak pernah berdusta. Justeru, jika kita ingin tahu kualiti seseorang itu, lihat saja apa yang sering dikeluarkan daripada mulutnya.

Manusia dapat dikategorikan kualitinya kepada empat berdasarkan kualiti tutur bicaranya. Pertama, orang yang berkualiti tinggi. Jika mereka berbicara, isinya sarat dengan hikmah, idea, gagasan, ilmu, zikir dan penyelesaian.

Orang seperti ini bicaranya bermanfaat pada dirinya sendiri dan juga bagi orang lain yang mendengarnya. Malah, apabila diajak berbual pastinya ada manfaat ilmu. Bicara mereka bermotivasi dan berpandangan positif dalam setiap perkara yang diutarakan.

Kedua, orang yang biasa-biasa saja. Ciri orang seperti ini adalah mereka sibuk menceritakan peristiwa contohnya melihat kemalangan jalan raya atau rompakan, dia juga pasti akan menceritakannya seolah-olah diri mereka berada di tempat itu.

Jika melalui semua bicara itu orang lain dapat mengambil hikmah maka tidak rugi, tapi jika sekadar memenatkan mulut sendiri tanpa manfaat tentu ia sia-sia.

Ketiga, orang rendah kualiti diri. Cirinya jika berbicara isinya hanya mengeluh, mencela dan menghina. Apa saja akan jadi bahan keluhannya. Contohnya, mereka sering mengeluh banyak masalah.

Mereka juga tidak tahu menghargai sesuatu misalnya, Jika dihidangkan makanan akan keluar keluhannya seperti ‘kenapa lauk ini kurang sedap’, namun begitu habis juga dimakannya.

Hari-harinya dipenuhi dengan bersungut seolah-olah segala yang berlaku penuh kekurangan. Alangkah ruginya hidup orang kategori seperti ini kerana seolah-olah tidak dapat membezakan nikmat dan musibah.

Keempat, orang yang cetek fikirannya iaitu mereka yang bicaranya hanya mengenai kehebatan dirinya atau kebaikan dirinya sedangkan hidup adalah pengabdian diri kepada Allah.

Mengapa mereka perlu bangga diri kerana semua itu kurniakan Allah. Golongan seperti itu sering dilihat menonjol dan mendominasi. Jika ada yang lebih baik darinya hatinya berasa tidak senang dan berharap orang itu segera jatuh.

Oleh itu berhati-hati apabila berbicara. Jagalah tutur percakapan kita dan kurangkanlah berkata-kata kerana ia akan mengurangi kesalahan kata kita. Jaga lidah sebaik mungkin kerana ia adalah amanah Allah s.w.t.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Masa Muda Tidak Lama

Surah Al Asr yang menegaskan manusia berada dalam kerugian jika tidak memanfaatkan masa untuk beriman dan beramal soleh serta tidak berpesan-pesan sesama manusia dengan kebenaran dan kesabaran.

Rasulullah s.a.w berpesan kepada umatnya supaya memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati.

Masa muda jangan disia-siakan, nikmat kesihatan perlu digunakan bagi menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin. Sesungguhnya apa yang terjadi pada hari tua bergantung apa yang kita lakukan ketika usia muda.

Masa muda tidak akan bertahan lama kerana apabila tiba hari tua, zaman muda hanya tinggal kenangan.


Kehidupan pada hari tua kadang-kadang tidak indah lagi kerana tenaga sudah lemah, selera makan mulai menurun malah menghadapi pelbagai macam penyakit.


Remaja yang cemerlang akan menjadi warga emas yang gemilang. Manakala yang kecundang menguruskan masanya akan menjadi warga emas yang malang.

Bukan rugi di dunia saja, malah di akhirat kelak akan dipersoalkan ke manakah usia remaja kita dilaburkan? Nikmat kesihatan cukup berharga bagi setiap manusia.

Seluruh tubuh badan manusia sebenarnya adalah hak milik Allah, maka wajib kita jaga amanah ini sebaik mungkin. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan kita disifatkan oleh al-Quran sebagai mencampakkan diri ke lembah kebinasaan.

Namun, ramai tidak menghargai nikmat sihat ini sehingga membinasakan diri dengan mengambil dadah, ketagihan alkohol mahupun rokok, atau menjadi individu yang sengaja mendedahkan diri kepada kecelakaan dan kemungkaran.

Dengan itu, gunakan masa sihat untuk menuntut ilmu dan pengalaman serta membantu yang lain di samping melaksanakan ibadat. Masa kaya juga adalah nikmat ujian bagi kita.

Ramai yang hanyut dan terpesona dengan kekayaan yang dimilikinya. Kita perlu sentiasa menyedari kekayaan itu tidak kekal, ia boleh bertambah atau hilang dalam sekelip masa.

Kekayaan adalah amanah, maka carilah kekayaan dan gunakan mengikut peraturan Allah. Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilanda laknat dan diazab.


Bukan juga seperti Tha’labah yang kaya harta tetapi bakhil. Kekayaan adalah alat mencapai kebaikan dan keburukan. Dengan harta kita boleh menjadi dermawan, dengan harta juga kita boleh menjadi tamak haloba.

Sama juga halnya; dengan harta membolehkan seseorang masuk ke syurga dan dengan harta juga kita boleh ke neraka. Masa dan peluang terakhir yang disebut Rasulullah ialah masa hidup sebelum mati.

Saidina Ali berkata: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedialah dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (nikmat) selepas mati.” Maka fikir-fikir dan renungkanlah.

Justeru, panjatkanlah rasa kesyukuran kerana sehingga ke saat ini kita masih lagi dapat bernafas di atas bumi Allah, diberi kesihatan, kecergasan dan kesenangan masa untuk menjadi manusia cemerlang di dunia dan akhirat.

Ternyata benar, masa itu ibarat senjata tajam yang amat berguna jika digunakan dengan cara betul dan baik. Namun jika tidak betul cara mengguna masa ketajaman masa itu pasti akan memakan diri sendiri.

Bagi golongan yang tidak memanfaatkan masa sebaik mungkin akan ketinggalan dan kemunduran termasuk dalam pekerjaan, rumah tangga, pelajaran, pergaulan dan teknologi.

Kita juga tidak boleh hanya menanti kejayaan dan kecemerlangan datang bergolek. Sedarilah, masa berlalu begitu pantas tanpa kita sedari.

Ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Adab-adab Menuntut Ilmu

Al-Imam al-Ghazali menggariskan adab-adab di bawah agar diamalkan oleh seseorang penuntut ilmu. Perkara ini wajar diberi perhatian untuk mendapat keberkatan dariNya.

1. Mengikhlaskan niat menuntut ilmu untuk mendapatkan keredhaan Allah.

2. Hendaklah bertaqwa kepada Allah setiap masa.

3. Menimbulkan rasa MuraqabatulLah dalam diri.

4. Bersifat Tawadhu’ dan tidak menyombongkan diri .

5. Melatih diri dengan sifat Qana’ah dan Zuhud.

6. Menghiasi diri dengan Kehormatan diri ( Al-Muru`ah ).

7. Menjauhi kemewahan tanpa keperluan.

8. Berpaling dari perkara sia-sia.

9. Bersikap lemah lembut.

10. Banyak melakukan Tafakkur dan Merenung.

11. Mempunyai prinsip yang tetap dalam kebenaran dan berjaga-jaga terhadap sesuatu berita

yang diterima.

12. Memelihara kehormatan guru.

13. Mencatat ilmu yang diperolehi.

14. Beramal dengan apa yang dipelajari

15. Mendoakan kebaikan bagi gurunya.

16. Hindari teman yang merosakkan.

17. Bercita-cita tinggi.

18. Menjaga hafalan.

19. Amanah terhadap ilmu yang dipelajari.

20. Menguruskan masa dengan bijak.

21. Merujuk kitab-kitab yang lebih besar.

22. Sentiasa berdiskusi dengan hikmah.

23. Melakukan ulangkaji supaya tidak terlupa.

24. Mempelajari ilmu alat yang berkaitan dengan disiplin itu.

25. Menjauhi perkara syubhat.

26. Jauhi buruk sangka.

27. Jauhi orang yang melakukan bid’ah.

28. Hormati ahli ilmu yang dikenali dengan kebaikannya, muhasabahlah mereka dengan cara

yang terbaik tanpa merendahkan mertabat mereka.

29. Jawablah “Saya tidak tahu” jika anda ditanya dalam perkara yang anda memang tidak tahu.
30. Jauhi bergurau yang berlebihan.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus-fb

Posted in Labels: | 0 comments

Marah biar bertempat ikut panduan al-Quran, Sunnah Rasulullah

NABI SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: "Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: Jangan engkau marah." Nabi SAW mengulanginya sebanyak tiga kali.

Setiap manusia ada mempunyai sifat marah, begitu juga haiwan. Seekor kucing yang jinak dan manja akan marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali.

Sifat sabar adalah penghalang daripada sifat marah. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.

Menurut Imam Al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api sumbernya daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak tahu marah.

Marah yang sederhana adalah marah terpuji, manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah keterlaluan adalah termasuk dalam marah terkeji yang dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya.

Marah keterlaluan dilarang Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi tidak baik kepada orang yang marah, juga orang kena marah. Disebabkan marah ada rumah tangga runtuh, kerana marah anak didera, pembunuhan berlaku, anak lari dari rumah, majikan ditetak pembantu rumah dan kerana marah orang saman-menyaman.

Menurut Imam Al-Ghazali, 10 punca menyebabkan sifat marah:

. rasa bangga diri (sombong)

· takjub kepada peribadi sendiri

· suka bergurau senda yang ber lebihan dan melampaui batas

· suka bercakap perkara sia-sia

· suka membuat fitnah

·suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara

· khianat

·tamak kepada harta dan pangkat

· tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi dengki dan irihati.

Apabila seseorang itu marah maka pergerakan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina.

Orang yang marah akan merendah-rendahkan orang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara betul, semua tindakan mengikut nafsu kemarahannya.

Bagi orang yang waras, tentu kita tidak sanggup melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.

Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.

Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur.”

"Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.”

Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.

Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: "Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku." Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.

Sumber: www. agamaberitaharian.blogspot.com/2009

Posted in Labels: | 0 comments