SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Hikmah adanya syurga, neraka


Sekali sekala, bagaikan ada yang berbisik di telinga, otak saya tiba-tiba memikirkan pelbagai persoalan membabitkan ketauhidan Allah SWT bersama sifat-sifat-Nya.

Antara yang terlintas adalah mengapa Allah mencipta syurga dan neraka. Jika Allah itu mempunyai sifat Ar-Rahim (Maha Penyayang), mengapa Allah menciptakan neraka untuk dihuni makhluk-makhluk-Nya? Bukankah lebih mudah bagi Allah memasukkan semua makhluk-Nya ke dalam syurga? Tidak perlu manusia melalui hari kebangkitan semula dan seterusnya menempuh hari pembalasan. Persoalan-persoalan ini jika tidak dibimbing dengan jawapan yang betul pastinya boleh menggugat iman seseorang.

Apatah lagi jika yang berbisik mengenai soalan itu adalah syaitan. Pastinya juga dia yang mencadangkan jawapan yang membuatkan manusia berprasangka buruk terhadap Allah SWT.

Saya pernah mengikuti kuliah seorang ustaz yang berbicara mengenai perkara ini. Pernah suatu masa seorang gadis ditegur kerana tidak menutup aurat oleh seorang ustaz. Antara peringatan yang diberikan adalah orang yang tidak menutup aurat bakal menjadi penghuni neraka.

Selama diberikan ‘tazkirah’, gadis itu langsung tidak memandang wajah ustaz tersebut dan dengan sombong melihat ke tempat lain sambil membuat wajah bosan. Namun selepas selesai ustaz tersebut memberikan nasihat, gadis tersebut tiba-tiba bersuara dengan bertanyakan; “Jika benar Allah itu baik, kenapa cipta neraka?” Terkesima dengan soalan yang tidak diduga itu, namun tidak membuatkan ustaz itu melatah. Persoalan tersebut bersangkut paut dengan rukun Iman dan sifat-sifat Allah. Jika dibiarkan boleh rosak akidah gadis tersebut.

Maka dengan tenang dan bersahaja ustaz tersebut menjawab; “Dik, jika Allah tidak menciptakan neraka, tak perlulah saya melakukan perkara ‘amar maruf nahi munkar’ ini. Lebih baik saya jadi tauke judi, minum arak atau jadi bapa ayam. Hidup senang, lagipun lepas mati saya dijamin masuk syurga.

“Adik ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau lari saya bunuh saja, senang. Tak perlu risau sebab nanti masuk syurga juga.” Jawapan tersebut benar-benar membuatkan gadis itu terkejut kerana sama sekali tidak menyangka ustaz tersebut menjawab persoalannya tadi dengan jawapan sedemikian rupa. Sebelum gadis tersebut menjadi lebih keliru, ustaz tersebut menyambung; “Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga. Maka apa guna jadi orang baik? “Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan lulus ujian. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga. “Selepas itu boleh rogol lagi kalau dia mahu, tiada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu baik. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Adik rasa, adil ke?,” tanya ustaz berkenaan.
“Ah. Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu saja?,” rungut si gadis. Ustaz itu tersenyum dan menyoal lagi; “Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?” Gadis tu terdiam.

Lalu ustaz mengakhiri kata-katanya; “Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-Nya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.

“Saya rasa adik dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni. Ingatlah, jasad kita bahkan segala-galanya adalah milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah, semuanya yang dipinjamkan oleh-Nya adalah amanah dan ujian. Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintah-Nya, untuk kebaikan diri kita juga.” Begitulah jawapan serta contoh ringkas bagi menjawab persoalan yang saya rasakan begitu berat selama ini. Sesungguhnya akal manusia itu amatlah terbatas, tidak sampai setitis pun daripada ilmu yang ada pada Allah.

Kerana itu ada perkara yang kita digalakkan untuk berfikir. Antara persoalan yang boleh difikir adalah mengapa Allah menciptakan kita sebagai khalifah di muka Bumi ini, mengapa Allah mencipta dosa dan neraka dan juga berfikir betapa besarnya kuasa yang menjadikan langit serta Bumi ini.

Namun ada juga persoalan yang tidak digalakkan untuk kita berfikir kerana dibimbangi didorong oleh hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Seperti contoh, mengapakah Allah menciptakan malaikat daripada cahaya, manusia daripada tanah dan syaitan daripada api? Antara soalan yang begitu mudah dipesongkan oleh syaitan adalah persoalan yang berkait rapat dengan ketentuan syariat. Seperti keizinan berpoligami dalam Islam. Jika difikirkan secara rasional sudah tentulah kita melihat Islam itu tidak adil dan menindas wanita. Bukankah poligami itu menyebabkan ketidakadilan? Kerana itu timbullah golongan elit yang kononnya memperjuang hak asasi wanita ini yang terdiri daripada orang Islam sendiri.

Ada juga yang terlalu memikirkan rasional di sebalik ketetapan syariat seperti pelaksanaan hukuman jenayah yang telah disabitkan dalam nas-nas al-Quran yang jelas. Pemikir-pemikir ini sebenarnya membawa aliran orientalis tanpa disedari di mana mana persoalan yang berlegar di minda mereka dijawab secara ‘bijaksana’ oleh syaitan yang sentiasa menunggu peluang memperdayakan manusia.

Maka Islam itu dilihat kejam dan Allah itu dilihat tidak adil. Tetapi mereka bijak bersembunyi dan tidak menyalahkan Allah secara terang-terangan dalam perkara ini. Yang menjadi sasaran adalah ulama terdahulu. Mereka dituduh kolot dan gagal menyesuaikan al-Quran dengan peredaran zaman.

Maka sentiasalah berpesan pada diri bahawa ciptaan Tuhan tidak pernah sia-sia kerana antara sifat-sifat-Nya adalah apa yang dicipta oleh-Nya tidak ada yang sia-sia, sama ada yang kecil mahupun yang besar semuanya berlaku dengan penuh hikmah.
Ada antaranya mengandungi ilmu, didikan mahupun pengajaran, sekalipun seekor hama halus di tengah belantara. Dijadikan oleh Allah dengan dengan manfaat serta hikmah yang tersembunyi sama seperti seekor kuman di atas gunung yang tinggi dan di dalam batu pepejal. Maka berimanlah. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 190-191 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal. “(Mereka adalah) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berdiri dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata); Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia; Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Jauhi cinta palsu


Usia remaja adalah musim cinta berbunga. JadI salah satu fenomena remaja adalah menjadi pencari cinta dan mahu dicintai.

Rata-rata kita dapati remaja bercinta, ada yang selamat menaiki bahtera rumah tangga malah ada juga yang karam, tenggelam dan hanyut ditelan arus cinta ganas. Cinta sebenarnya satu fitrah yang ada di dalam hati setiap manusia. Ia juga makhluk tidak bernyawa dan tidak berjisim, tidak berjirim, tidak punya rupa dan fizikal. 

Tetapi ia ajaib dan berkuasa. Ia menjalar dalam jiwa dan menggetarkan rasa. Cinta adalah biasan daripada Penciptanya Yang Maha Pencinta. Ia dibiaskan kepada segala ciptaan-Nya supaya mereka dapat hidup dalam cinta, kasih sayang dan aman bahagia. 

Cinta dan permasalahannya menjadi perkara serius yang dihadapi umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dengan cinta palsu menyebabkan golongan remaja menghadapi dilema perasaan yang kronik. 

Krisis cinta palsu menyebabkan remaja memusnahkan etika spiritual membunuh solidariti dan menodai sosial hingga ada yang sanggup membunuh serta membunuh diri akibat tekanan perasaan yang sukar dikawal. 

Menguruskan cinta satu perkara yang amat sulit, apatah lagi kalau cinta yang didambakan itu bersalut dengan cinta nafsu, sekadar cinta monyet atau cinta sekadar untuk berseronok saja. 

Apa lagi kalau cinta yang tidak ada ‘pakej’ ketuhanan dan keredaan Yang Maha Pencinta. Cinta sejati adalah seperti cinta Allah kepada hamba-Nya dan cinta Rasulullah kepada umatnya hingga yang diinginkan Allah daripada hamba-Nya hanyalah kebaikan, kesempurnaan, kemuliaan dengan membenci segala kemungkaran serta kejahatan. 

Seorang Muslim tidak mengenal cinta monyet, cinta buta, cinta dusta, cinta palsu dan cinta bodoh. Ia hanya mengenal cinta suci mulia yang penuh kearifan dan kesedaran yang melahirkan cinta kepada Allah serta Rasul-Nya. 

Satu ketika, seorang Arab Badwi menghadap Nabi dan bertanyakan perihal datangnya kiamat, lalu beliau balik bertanya: “Apa yang kau persiapkan?” Ia menjawab: “Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.” Beliau menyahut: “Engkau bersama siapa yang kau cintai” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Cinta kerana Allah dan benci kerana Allah menjadi ‘penyaring’ berkenaan baik buruk, sekali gus ukuran dalam mencintai sesuatu. Dengan demikian, cinta yang tulus kerana Allah yang boleh bertahan sementara cinta bermotif lain pasti cepat berubah, bersifat sementara dan membuahkan penyesalan. 

Sedikit panduan kepada mereka yang ingin dan tengah meredah samudera cinta supaya lebih berhati-hati supaya mendapat cinta yang diredhai Allah: 

·        Jaga jangan sampai berkhalwat dan berdua-duaan kerana sabda Rasulullah: “Setiap kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, syaitan menjadi orang ketiga. Perlu juga diketahui bahawa khalwat itu bukan pada fizikal saja, tetapi juga pada hati, malah khalwat hati itu lebih terdahulu bermula kerana setiap perbuatan dan perkataan adalah hasil dari ilham hati. Khalwat jasadi (badan) hadir setelah khalwat qalbi (hati). 

·        Jangan saling mengurat dan menggoda dengan bertentang mata nafsu. Bukan tak boleh tengok pasangan tapi merenung yang diikuti dengan nafsu bakal diiringi panahan syaitan. Seperti sabda nabi: “Pandangan itu adalah panahan beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku nescaya akan Aku gantikan ia dengan iman dan dia akan memperoleh kemanisan dalam hatinya” (Hadis riwayat at-Tabrani dan al-Hakim). 

·        Jaga jangan sampai bersentuhan, tangan dan badan bergesel-gesel nanti menaikkan nafsu syahwat. Besarnya dosa bersentuhan seperti sabda Rasulullah: “Jika kepala kamu ditikam dengan besi, itu lebih baik daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal untuk kamu” (Hadis riwayat at Tabrani dan al Baihaqi). 

·        Tidak terlalu bebas hingga menjadi pendorong kepada perbuatan zina. Surah al-Israk ayat 32 menyatakan: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” 

·        Berusaha menutup aurat dan menyembunyikan perhiasan serta dan kecantikan. Malah, bertunang juga bukan tiket untuk menghalalkan segalanya dalam perhubungan.

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments