Golongan muda wajar digalak imarahkan masjid
Posted On Thursday, August 4, 2011 at at 4:10 PM by maori
IMARAH membawa erti memakmurkan atau membangunkan sesuatu dengan pelbagai kegiatan berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan. Menurut tafsiran ulama, mengimarahkan masjid membawa dua maksud.
Pertamanya membina, memelihara dan memperbaikinya jika perlu dan keduanya membawa maksud mengunjunginya sebagai suatu amalan lazim untuk menunaikan solat berjemaah dan Jumaat di samping aktiviti lain ke arah melahirkan pengabdian kepada Allah.
Sesungguhnya beruntunglah mereka yang melakukan amal ibadat di masjid kerana mereka hampir dengan Allah. Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mengimarahkan masjid adalah orang yang dekat dengan Allah.” (Hadis riwayat Al-Bazzaar) Peliknya, kita menjadi emosi apabila ada pihak meruntuhkan masjid seperti berlaku di negara yang ditakluk musuh Islam tetapi tidak pula marah apabila umat Islam sendiri mengosongkan masjid yang seni binanya indah mempesonakan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hanya yang berhak memakmurkan masjid Allah ialah orang yang percaya kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah; mudah-mudahan mereka menjadi orang yang mendapat petunjuk.” (Surah At-Taubah, ayat 18).
Sejarah merekodkan, pada Isnin, 8 Rabiul awal tahun ke-14 kerasulan Nabi (tahun pertama hijrah), Baginda yang tiba di Quba’ sempat mengasaskan Masjid Quba’ dan bersolat di dalamnya. Itulah masjid pertama diasaskan atas dasar takwa selepas Baginda SAW menjadi nabi.
Rasulullah SAW menyebut mengenai kelebihan bagi mereka yang membangunkan masjid seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Barang siapa yang membangun rumah Allah (masjid) di dunia, maka Allah akan membangunkannya rumah di syurga.” (Hadis riwayat Muslim).
Begitu juga ketika memasuki kota Madinah secara rasmi pada 12 Rabiulawal tahun pertama Hijrah, antara perkara pertama dilakukan Baginda ialah mendirikan Masjid Nabawi sebagai tempat solat, pusat pengajian ilmu, pusat pentadbiran, pangkalan tentera dan pusat mengatur segala gerakan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mana saja daripada suatu masyarakat yang berkumpul daripada rumah Allah (masjid), membaca dan belajar kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk yang berada disisi-Nya.” (Hadis riwayat Ahmad).
Golongan muda perlu digalak mengimarahkan masjid khususnya dalam usaha menggalakkan rakan mereka turut serta dalam apa juga aktiviti dianjurkan pengurusan masjid. Pada masa sama, gabungan golongan muda dan dewasa boleh menghasilkan program lebih hebat.
Golongan muda perlu dibimbing bagi membolehkan mereka mengasah kemampuan di jalan yang betul. Pendekatan kepada golongan muda perlu dijalankan bagi melahirkan golongan yang berkaliber dan berwibawa.
Ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling perlu bekerjasama bagi membimbing dan memimpin golongan muda ini supaya mereka tidak mudah terpedaya dan hanyut bersama nafsu gelora dunia semata-mata.
Sumber: www.bharian.com_agama_Amran Zakaria