SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Manfaat masa strategi penting elak umat Islam ketinggalan

Apabila melihat jam di tangan dan tarikh di kalendar, ternyata pantas sekali masa bertukar hari, hari pula bertukar minggu, minggu bertukar bulan dan bulan bertukar tahun yang baru. Insyaallah esok seluruh umat Islam di dunia akan memulakan amalan berpuasa. Begitulah cepatnya masa berlalu. Persoalannya apakah yang sudah kita lakukan? Adakah gerak laku dan amalan kita juga sepantas waktu? Atau kita sudah tewas dengannya? Ada yang berkata, “kalaulah boleh dikembalikan masa ke sejam atau sehari atau sebulan atau setahun atau ke sepuluh tahun yang lalu”. Semua ungkapan tercetus gara-gara masa. Oleh itu, apabila mengingati detik, hari dan waktu, wajarlah kita mulai dengan perasaan bersyukur kerana masih diberikan nikmat masa untuk mengecapi hidup meningkatkan lagi usaha meraih keredaan Allah walaupun tidak dapat mengembalikan masa silam yang berlalu.

Pepatah Arab menyebut, “masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong kita”. Ertinya, jika kita tidak memanfaatkannya, nescaya masa akan berlalu meninggalkan kita dalam keadaan sia-sia dan penyesalan.

Justeru, biarlah masa yang kita tinggalkan dipenuhi dengan saat-saat indah oleh amal kebajikan dan kebaikan. Dalam melayari kehidupan dan melaksanakan tugas seharian wajarlah kita merenungi peringatan dan pesanan Allah kepada hamba-Nya dengan penuh hikmah dan makna mendalam. Firman Allah bermaksud: “Dan demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecualilah mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3).

Sahabat ada menyebut, “jika engkau berada pada waktu pagi, janganlah menunggu sehingga datangnya waktu petang, dan jika engkau berada pada waktu petang janganlah engkau menunggu sehingga datangnya waktu pagi”.

Inilah antara kelalaian kita dengan masa. Oleh itu, peringatan supaya memanfaatkan masa tanpa berlengah, menunggu-nunggu atau bertangguh adalah strategi penting demi memastikan umat Islam tidak ketinggalan serta berada dalam kerugian yang akhirnya membawa kepada penyesalan.

Gambaran umat yang menyesal dikisahkan dalam al-Quran sebagai iktibar.

Berada dalam keadaan kerugian dan penyesalan adalah situasi yang tidak diingini dan digemari oleh sesiapa juga kerana manusia dianugerahkan dengan naluri cintakan keuntungan, bukannya kerugian.

Cuma hati, usaha dan tekad manusia saja sering tersasar, lemah dan ada pasang surutnya. Justeru, inti pati surah al-Asr memberi peringatan dan jalan penyelesaian supaya manusia terselamat daripada kerugian masa melalui tiga gerak kerja hebat.

Pertama, menggunakan masa untuk beramal, kedua, masa untuk berpesan-pesan pada kebenaran dan ketiga, masa berpesan kepada kesabaran. Pendek kata, seseorang tidak akan rugi jika terus berbuat baik dan meninggalkan tidak baik.

Malah, dalam konteks berorganisasi, menyiapkan minit dan mengeluarkan notis mesyuarat dalam kadar segera, memastikan sistem fail dalam keadaan sistematik dan e-filing mudah diakses , menjawab panggilan telefon dalam tiga deringan awal, menyediakan kemudahan menerima aduan dan mengambil tindakan pantas menyelesaikannya adalah tergolong dalam kluster amal salih.

Bahkan, tanpa disedari, usaha menghasilkan kerja secara efektif serta berkesan melalui kerja dengan pantas dan berjadual bukan sekadar mengelakkan kerugian masa pada pekerja saja, sebaliknya berjaya memberi manfaat kepada masa pelanggan berurusan.

Inilah kualiti insan dinyatakan Baginda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada yang lain.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Manakala usaha berpesan kepada kebenaran pula dilihat sebagai strategi kerja berpasukan untuk menghasilkan kejayaan.

Oleh itu, sebarang kesilapan atau kecuaian tindakan perlu ditegur, diperingatkan, serta diperbaiki bersama.

Dalam konteks kerja, teguran dan peringatan serta pandangan dari pihak pengurusan atasan mahupun staf bawahan perlu diberi ruang secara sihat bagi menggalakkan percambahan pandangan serta teguran membina.

Namun, perlu diingat dalam melaksanakan amal kebaikan, nilai kesabaran amat berharga kerana kejayaan itu tidak dapat dikecapi sekelip mata kecuali dengan jerih perih dan titik peluh di samping kegigihan serta kesabaran.

Malah, sifat berpesan-pesan, saling mengingati dan menyampaikan kepada kebenaran dan kesabaran adalah sifat terpuji bagi Rasulullah SAW yang perlu dicontohi umatnya.

Sumber: www.bharian.com.my_ sharifahhayaati

Posted in Labels: |

0 comments: