SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Gagal syukuri nikmat Allah petanda sifat angkuh

Cuba bayangkan, sedang kita enak bersandar di kerusi empuk dan menghela nafas panjang sambil menghirup kopi panas segar, masih ramai lagi umat di luar sana diuji dengan pelbagai dugaan berat, tidur di khemah, makan seadanya, berhujan, berpanas terik tanpa bekalan air bersih dan elektrik sama ada akibat musibah bencana alam mahupun keganasan manusia seperti di Palestin dan Iraq.

Namun, dalam keadaan seperti itu, berapa ramaikah daripada kita yang mahu merenung dan mensyukuri nikmat Allah sehingga berterus-terusan membuat kerosakan dan kehancuran di muka bumi ini.

Keselamatan, keamanan dan kebaikan yang diperoleh ini adalah tanda kekuasaan dan kebesaran Allah yang wajib kita syukuri. Bersyukur adalah pengakuan atas nikmat kurnia Allah dengan penuh tawaduk diiringi keyakinan bahawa syukur itu sendiri adalah nikmat Allah yang berhak disyukuri.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu." (Surah Ibrahim, ayat 14).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah kamu menjadikan hati sentiasa bersyukur, lisan selalu berzikir." (Hadis riwayat Ahmad, Thabrani dan Ibnu Majah)

Apabila kita mampu menghayati konsep kesyukuran kepada Allah dengan sebenar-benarnya, maka barulah timbul rasa keinsafan, toleransi dan keprihatinan kepada nasib dan masa depan kita sebagai individu Muslim, keluarga dan umat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang beriman di dalam kasih sayang dan prihatin antara mereka adalah seperti satu jasad yang jika sebahagian daripada anggota itu mengadu sakit, ia membawa seluruh jasad itu berjaga malam dan deman." (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).

Bertanyalah kepada diri sendiri, apakah hati nurani kita tidak tercuit tatkala membaca berita umat yang ditimpa musibah atau dibunuh dengan ganas di Palestin dan di Iraq atau saudara kita ditimpa penyakit berat, miskin hingga hidup melarat tanpa makan minum dan tempat berteduh.

Perihal keprihatinan dan sikap mengambil berat nasib dan masa depan umat ini sudah tertanam dalam peribadi Rasulullah SAW sendiri yang tatkala berbaring sebelum melelapkan matanya menangis hingga telapak tangannya dipenuhi air mata.

Detik-detik terakhir sebelum menghembuskan nafasnya, Baginda SAW mengungkapkan kalimah "ummati, ummati, ummati" (umatku, umatku, umatku), begitulah keprihatinan Baginda SAW.

Allah berfirman yang bermaksud: "Orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka." (Surah Ali Imran, ayat 3).

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Maka yang mana antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" (Surah Ar-Rahman, ayat 69).

Konsep kesyukuran ini juga merealisasikan sikap tunduk dan patuh hamba kepada sang penciptanya, sekali gus menjadikan kita insan kerdil yang sekuat mana sekalipun tenaga dan upayanya atau sekaya manapun hartanya, akhirnya akan kembali kepada Yang Maha Sempurna.

Kebimbangannya ialah apabila kita gagal menyatakan dan menunjukkan kesyukuran kepada Allah, kita akan tenggelam dalam kenikmatan dan keseronokan hidup sehingga akhirnya hanyut dan tidak lagi berupaya berpesan-pesan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Rasulullah SAW memberi amaran bahaya fenomena ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi: "Demi jiwaku yang berada di dalam tangan-Nya, benar-benar kalian menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, atau Allah benar-benar akan mengirimkan bencana, lalu kalian berdoa dan tidak dikabulkan."

Pada ketika itu, janganlah kita menyalahkan alam jika kita ditimpa musibah bencana atau tragedi, janganlah menyalahkan orang lain jika terasa dianiayai, janganlah dituding jari kepada sesiapa melainkan melihat ke dalam diri sendiri.

Gagal mensyukuri nikmat Allah adalah petanda sifat angkuh dan sombong, sesungguhnya sifat angkuh dan sombong adalah milik Firaun, Haman, Qarun, Abu Jahal dan Abu Lahab!

Sumber: www. agamaberitaharian.blogspot.com/2009

Posted in Labels: |

0 comments: