Pilih teman bawa kita ke arah kebaikan
Posted On Wednesday, April 11, 2012 at at 9:50 PM by maoriMELIHAT gelagat remaja dewasa kini amat membimbangkan. Memang bukan semua bermasalah namun ramai remaja yang nampak tidak kena.Terdapat beberapa faktor yang membuatkan kita rosak, antaranya teman dan salah memilih sahabat. Marilah sama-sama kita memberi perhatian serius terhadap pemilihan sahabat.
Carilah teman baik yang dapat membantu. Teman paling baik juga ialah apabila kita melihat wajahnya, kita akan teringat kepada Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya kita akan mengingati mati.
“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (Hadis riwayat al-Hakim).
Allah s.w.t mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, mereka tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari daripada berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang.
Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, mereka dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri sebagai seorang manusia normal.
Itulah antara hikmah kenapa Allah mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya.”
Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada sahabat yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi suka duka bersama kita dan tidak kurang juga sahabat yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan saja.
Pendek kata, sahabat boleh menentukan corak hidup seseorang. Justeru, jika salah pilih sahabat pasti kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (Hadis riwayat Abu Daud).
Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
1.Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
2.Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.
3.Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.
4.Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
5.Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
6.Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
7.Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
8.Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.
9.Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
10.Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
11.Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
12.Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
13.Dia membantu kamu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
14.Dia mendorong kamu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ibu bapa berhati-hatilah jika memilih sahabat kerana sahabat kita boleh bahagia dan sahabat juga mampu menjahanamkan kita. Berhati-hatilah atau tinggalkan saja sahabat seperti di bawah:
1.Sahabat yang tamak iaitu hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak dan mereka hanya mementingkan diri sendiri.
2.Sahabat hipokrit iaitu menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal lampau, atau hal mendatang. Dia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong. Jika ada kesempatan membantu, dia tidak sanggup.
3.Sahabat pengampu. Mereka setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah. Yang parahnya, dia setuju dengan hal yang dia tidak berani menjelaskan kebenaran. Di depan dia memuji dan apabila di belakang dia merendahkan diri atau mengkhianati amanah kamu.
4.Sahabat yang boros dan suka berhibur. Golongan itu menjadi kawan jika kamu suka berpesta, berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya.
Sumber: www.hmetro.com.my