SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Ujian sepanjang hayat


Menghadapi sesuatu ujian atau masalah kadangkala memeritkan, apatah lagi jika ia datang secara tidak diduga serta bertimpa-timpa.
Sesaknya dada dalam menghadapi ujian dan masalah itu hanya Allah yang tahu, sementara manusia di sekeliling hanya mampu memberi kata-kata nasihat untuk terus bertahan. 

Saban hari, media massa sentiasa melaporkan musibah yang menimpa manusia di negara kita mahupun seluruh dunia. Setiap hari ada saja berita mengenai pembunuhan, kemalangan, peperangan atau bencana alam. 
Ujian atau musibah ini dilihat tidak lain dan tidak bukan sebagai masalah yang perlu dihadapi manusia dalam kehidupan. Manusia dilihat terlalu sinonim dengan masalah.

Pendek kata, masalah menjadi rakan karib yang sentiasa menemaninya dalam setiap fasa kehidupannya. Bermula daripada saat dilahirkan di dunia, seorang bayi berdepan masalah untuk berkomunikasi. Yang mampu dilakukan bayi adalah menangis bagi menunjukkan ekspresi terhadap ‘masalah’ dihadapi seperti lapar atau tidak selesa. 

Memasuki fasa kanak-kanak pula, masalah yang mungkin dirasakan besar tentunya datang daripada sekolah, tidak kira sama ada berpunca daripada pelajaran atau rakan. Hinggalah ke peringkat usia selanjutnya, terutama apabila memasuki fasa kehidupan remaja. 

Cabaran dan ujian pastinya datang daripada rasa jiwa remaja yang ‘memberontak’ ketika diri masih tercari-cari hala tuju dalam sebuah kehidupan. 

Tidak kurang juga ujian dan tekanan dalam menggalas harapan menggunung ibu bapa untuk berjaya dalam alam persekolahan. 

Ujian dan masalah kemudian menjengah pula apabila mula memasuki alam dewasa. Fasa ini dilihat paling kritikal kerana seseorang manusia perlu mula mencongak dan melukis jalan kehidupan yang bakal dilalui. 

Ini termasuk soal pekerjaan, perkahwinan, menguruskan ibu bapa yang uzur, menjaga dan mendidik anak dan banyak lagi hinggalah seseorang itu tiba ke alam ‘senja’. 

Pada fasa ini, cabaran serta masalahnya tidak kurang juga hebatnya. Ramai beranggapan apabila mencecah usia tua, masalah dilihat semakin berkurangan. Namun tanggapan sedemikian sebenarnya jauh meleset. 
Ujian selalunya menimpa berbentuk ujian kesihatan. Nikmat mula ditarik sedikit demi sedikit apabila mata mula kabur, telinga kurang mendengar dan tubuh tidak sekuat dulu. Pelbagai penyakit menjadi teman dan perlu berpantang makan. 

Fasa ini juga selalunya dilihat sebagai cabaran terakhir dalam membuat persiapan terbaik untuk berpisah dengan kehidupan dunia dan menempuh alam akhirat. 

Saat ini juga penentu sama ada manusia itu beroleh hidayah daripada Allah atau akan terus leka dengan kehidupan dunia hinggalah ke hembusan nafas terakhir. Nauzubillah. 

Kemudian sekujur tubuh itu akan melalui pula ujian di alam barzakh. Jika baik amalannya semasa hidup di dunia, mudahlah urusannya di alam ini. Jika tidak, bersiap-sedialah dalam menghadapi paluan seksaan daripada Malaikat Mungkar dan Nangkir. 

Pada hari akhirat, manusia akan dibangunkan oleh Allah bersesuaian firman Allah SWT dalam surah Al-Hajj ayat 7, yang bermaksud: “Dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang yang di dalam kubur.” 

Ketika itu manusia akan berdepan ujian dan masalah dalam bentuk berbeza-beza. Ada yang berjalan dengan kakinya dan ada pula yang berjalan dengan wajahnya. Ada yang meniti titian Siratul Mustaqim sepantas kilat, ada juga yang merangkak-rangkak dan akhirnya terjatuh ke dalam lembah neraka. 

Begitulah antara kehidupan yang perlu kita lalui sebagai hamba Allah. Ujian dan masalah tidak pernah sunyi menemani ke mana saja kita pergi. Pendek kata, masalah dan ujian cuma akan terhenti pada ketika saat kaki menjejakkan kaki ke syurga Allah. 

Namun sebagai seseorang yang percaya pada qada dan qadar yang datang daripada-Nya, setiap ujian dan masalah harus dilihat dengan pandangan mata hati tanpa memberi ruang kepada nafsu untuk menilai. 

Kerana apabila nafsu mula menilai, syaitan akan membisikkan kata-kata durjana yang kemudian akan menyesatkan manusia. Manusia akan mula menyalahkan Allah terhadap apa yang menimpanya.

Segala amal ibadat, solat dan doanya kepada Allah mula dirasakan sia-sia. Kewujudan Allah yang disifatkan dengan sifat Maha Pendengar, Pengasih dan Penyayang mula diragui kerana semakin banyak dia berdoa dan bersolat, semakin hebat ujian yang menimpanya. 

Pada ketika ini, manusia mula mencari bantuan selain daripada Allah. Ketika inilah syaitan menghulurkan ‘bantuan’ yang akan ‘melepaskan’ manusia daripada ujian dan masalah dihadapinya. 

Akan berlakulah kes murtad atau bunuh diri akibat tidak tahan menghadapi ujian Allah SWT. Namun sebaliknya jika manusia mengambil iktibar daripada ujian yang menimpa nabi dan rasul, pasti hatinya merasa terpujuk. 

Ketika menghadapi sesuatu ujian dan masalah, ingatlah bahawa ada manusia yang menghadapi ujian lebih hebat serta lebih teruk lagi. 

Jika anda kehilangan harta benda akibat daripada kemusnahan, ingatlah ada manusia yang kehilangan ahli keluarga dan hidup sebatang kara di dunia. 

Jika anda kehilangan orang tersayang, percayalah anda masih ada Allah yang kekal dan setia menjaga anda hingga ke syurga.

Yang penting, ketika ditimpa musibah, seseorang yang mengaku beriman kepada Allah dikehendaki bersikap sabar dan tidak terlalu bersedih hati serta menyesali apa yang terjadi. 

Allah memberikan ganjaran pahala tidak terhitung kepada orang mukmin yang sentiasa bersabar tatkala mengalami musibah, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 155, yang bermaksud: “Berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, iaitu orang yang ketika musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali.” 

Tidak guna menyesali terhadap apa yang terjadi kerana perasaan sesal itu tidak mampu merubah apa-apa. Ujian dan masalah sewajarnya tidak dihadapi dengan kelemahan kerana kelemahan itu akhirnya menyebabkan hati menjadi mati. 

Daripada Aisyah RA, dia berkata bahawasanya Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya orang salih akan diperberat (musibah) atas mereka. Dan tidaklah seorang mukmin tertimpa satu musibah, seperti tertusuk duri atau lebih ringan daripada itu, kecuali akan dihapus dosanya dan akan ditingkatkan darjatnya.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, al-Hakim dan Baihaqi). 

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: |

0 comments: