Indahnya Senyuman
Posted On Friday, July 9, 2010 at at 9:38 AM by maori
Alhamdulillah pagi jumaat ini dapat mendengar tazkirah bertajuk "Indahnya Senyuman". Saya dapat membaca satu artikel mungkin berkaitan, harap dapat dikongsi bersama pembaca.
Indahnya senyum keredhaanmu.. Aku hairan dengan orang Mukmin. Dapat nikmat pun dia memperolehi pahala. Dan diuji dengan kesusahan pun dapat pahala. Orang Mukmin yang sejati, bila ALLAH susahkan dia, dia berfikir, tentu ALLAH mahu beri dia pahala sabar. Pahala sabar itu bighairi hisab tanpa dihitung-hitung. Kalau kebaikan biasa diberi ganjaran satu persepuluh atau paling-paling tinggi satu hingga tujuh ratus, tetapi pahala sabar, ALLAH mungkin balas dengan tujuh juta atau seisi langit dan bumi; terpulang pada ALLAH untuk memberinya. Patutlah orang Mukmin boleh senyum gembira dengan ujian kesusahan yang diberikan oleh ALLAH SWT, sebab dia tahu dia akan diberi pahala. ltulah yang dimaksudkan dengan Hadis di atas Bila dapat nikmat atau kesenangan seperti sihat badan, ada duit, dapat suami, dapat isteri, dapat cahayamata, dapat makan minum dan sebagainya, dia sedar dan insaf bahawa nikmat itu datang daripada ALLAH. Oleh itu dia sentiasa rasa syukur kepada ALLAH SWT, Aku mesti gunakan nikmat ni kerana ALLAH. Aku mesti tingkatkan perjuangan, aku mesti tambah kebaikan, sebab ALLAH beri kebaikan kepada aku. Oleh itu dia dapat pahala. Yakni pahala syukur atas nikmat yang ALLAH beri. Sekiranya dia dapat kesusahan pun, dia dapat pahala.
Jauh sekali bezanya dengan kita. Kita bila diberi nikmat, nikmat itu menjadi bala, mendatangkan dos. BiIa diuji dengan kesusahan pun ia menjadi bala. Yang senang pun kita dapat bala, yang bala jadi dua kali bala. Kalau seseorang itu memandang kecil pada ALLAH, waktu senang dia akan lupakan ALLAH. Jangan sangka kesenangan boleh mendekatkan dia dengan ALLAH. Kesusahan lebih baik baginya. Dia akan sedar dirinya hamba. Sakit gigi pun dah tak tahan. Selama ini aku ingat aku ini hebat, gagah. Bila diuji baru terpelengok. Rupanya aku ni hamba. Baru kita terasa diri kita kecil, dan ALLAH itu besar. Jadi memang elok kita diuji. Tapi sekiranya memang tak pernah kena uji, kalau diuji pun hanya dengan ujian yang kecil-kecil, bukan ujian yang besar-besar, bila diberi ujian lebih sikit, kita rasa kitalah yang paling berat diuji di antara manusia-manusia. Sakitnya jiwa kita.
JIWA TAUHID
Ubat untuk sakit jiwa tidak lain melainkan tauhid kepada ALLAH SWT. Kuatkan jiwa dengan ALLAH SWT. Kita boleh kuatkan fizikal dengan senaman, boleh berjoging tiap-tiap hari ataupun beli alat-alat aerobik, makan bahan-bahan berzat secukupnya. Semua ini boleh menyihatkan badan. Tapi makin kuat fizikal, makin lemah jiwa. Kenapa? Kerana jiwa tak dikuatkan dengan ALLAH. Sebab itu perlunya ujian kesusahan. Dengan ujian itu, kita sedar ALLAH itu ada dan kita sedar perbuatan ALLAH pada kita. Kita tahu mengapa ALLAH lakukan sesuatu kepada kita. Kalau umpamanya ada orang menyusahkan kita, kita tahu ia merupakan ujian dari ALLAH untuk penghapusan dosa kita.
Mungkin waktu kita muda-muda dulu kita pernah menyusahkan orang lain. Setidak-tidaknya waktu sekolah menengah dulu, Kita jentik-jentik telinga kawan, pukul kawan, ejek-ejek kawan. Semua itu menyakitkan hati orang. ALLAH balas perbuatan kita itu sekarang, mungkin isteri kita mengejek kita pula. Hapuslah dosa kita. Di waktu itulah kita kena ingat bahawa kita pernah mengejek orang, menghina orang. Jadi ALLAH hina kita melalui isteri, melalui anak, melalui orang lain untuk menghapuskan dosa.
Bila kita terasa dosa kita terhapus, alangkah bahagianya. Umpama kita diisytiharkan masuk ke Penjara, tapi tiba-tiba tak jadi dimasukkan ke dalam penjara. Alangkah bahagianya. Mungkin sebagai tanda kesyukuran, Kita akan sembelih lembu lima, enam ekor. ltu baru penjara dunia. Penjara Akhirat (Neraka ALLAH) lebih hebat dan menakutkan.
Patut kita sedar, dengan ujian kesusahan yang ditimpakan kepada kita, ALLAH tak mahu hukum kita di Akhirat, Dia mahu hukum kita di dunia. Tapi kalau kita tak mahu menerima, kita tak faham itu ganjaran pahala daripada ALLAH, maka jiwa kita akan sakit; itu yang membuat kita terpelengok. Mana ada manusia yang lepas dari ujian. Raja atau pemimpin sekalipun, walau sehebat mana pun dia, pasti tidak lepas dari ujian kesusahan. Kalau dia seorang yang zalim, ALLAH datangkan orang yang lebih zalim lagi untuk menghukum dia. Bila orang jahat pukul orang jahat, maka kena buku dengan ruas.
Bagi sesetengah pemimpin, kadang-kadang orang-orangnya sendiri yang lanyak dia. ALLAH datangkan tokoh-tokoh yang dia didik dan dibelainya dulu, menyusah dan melanyak dia. Supaya dia sedar, tak ada orang yang berkuasa. Cuma kalau dia tak sedar, dia tak nampak kuasa ALLAH. Tak nampak maha berkuasanya ALLAH. Mungkin dia telah berlaku zalim terhadap sebuah jemaah Islam yang haq. Dia nak hapuskan jemaah itu. Tapi ALLAH tak izinkan, bahkan jemaah itu masih terus berjuang dan dari sehari ke sehari makin berkembang; pendukung serta simpatinya makin bertambah. Bahkan orang-orang bawahan pemimpin itu pun turut memberi simpati dan mendukung perjuangan jemaah tersebut. Padahal tidak ada apa-apa pada jemaah itu kalau dibandingkan dengan pemimpin yang dikawal oleh bodyguard tapi akhirnya dapat dijatuhkan juga.
Kalau mengikut logik, itu tidak mungkin berlaku. Tapi ia berlaku dengan izin ALLAH. Jadi tidak ada manusia yang lepas daripada ujian. Bila didatangkan ujian oleh ALLAH, kita kena terima. Tak apalah susah sikit-sikit tapi bahagia di Akhirat. Tapi kalau orang yang kena ujian bukan kerana ALLAH, di dunia lagi parah. Di Akhirat dapat Neraka. Kalau kita faham ini semua kerja ALLAH, maka ianya tidak memberi kesan kepada kita. Sakit memang sakit dan memang kita rasa teruji, tapi taklah sampai kita hilang pertimbangan. Katalah ada orang menyusahkan kita. Mungkin suami kita, isteri kita, ibu ayah, anak atau orang lain. Waktu itu kita perlu rasakan di hati, Rupanya ALLAH nak berikan pahala kepada aku, jadi buat apa aku susah-susah hati. Bukan aku yang bersalah, dia yang bersalah.・
Jadi kalau kita tak redha dan tidak sabar, sebenarnya itu satu kepelikan kerana orang lain yang lakukan kesalahan, kita yang susah hati. Patutnya perkara yang membolehkan kita masuk Syurga menjadikan kita redha dan sabar. Apabila orang curi duit kita umpamanya, orang itu yang patut susah hati sebab dia yang bersalah; dia akan masuk Neraka sedangkan kita akan dibalas dengan Syurga. Tapi kita pula yang nak marah dengan orang yang nak masuk Neraka. Kerana kita tak tahu kerja ALLAH! Bila kawan silap sikit dengan kita, kita pun marah-marah. Patutnya kawan itu yang marahkan kita, tengok, aku dah termarahkan engkau, kalau tak kena gaya, boleh masuk Neraka...・Tapi kita pula yang marahkan dia. Sedangkan kita patut susah hati, Jangan sampai aku yang tersalah dengan orang. Bila bersalah atau silap dengan orang, aku boleh masuk Neraka. Kalau aku menjaga daripada membuat kesalahan, aku boleh masuk Syurga. Patutnya kita sedar tentang hal ini.
DIDIKAN UNTUK WANITA
Jadi kita mesti faham akan kerja Tuhan. Bila diberi pangkat, harta dan duit sebanyak-banyaknya, ALLAH seolah-olah berkata, ni Aku beri peluang untuk engkau membuat pahala kebajikan sebanyak-banyaknya. Tapi mengapa tak ambil peluang? Waktu diberi peluang keistimewaan, kita tak ambil peluang untuk cari pahala. Patutlah sekali-sekala ALLAH tarik nikmat itu untuk menguji kita pula. Supaya ALLAH dapat berikan pahala sabar pula. Tadi diberi peluang dapat pahala syukur, sekarang diberi peluang merebut pahala sabar pula. Di masa-masa lain mungkin diberi peluang mendapat pahala memberi maaf, pahala meminta maaf, pahala tawakkal, pahala pemurah dan sebagainya.
Kalau tak ada kejadian yang berlaku pada diri kita, mana ada ruang nak dapat pahala? Pahala sabar diberi waktu susah. Kalau tak mahu terima kesusahan, mana ruang untuk kita dapat pahala sabar? Jadi setiap kejadian yang menimpa diri kita itu, sebenarnya ALLAH nak berikan pelbagai benda kepada kita.
AMARAN ALLAH
Di dalam Hadis Qudsi ada disebut: Kalau engkau tidak sabar dengan ujian dan ketentuan Aku, maka carilah bumi selain daripada bumi Aku, carilah langit selain dari langit Aku. Dan carilah Tuhan selain daripada Aku. Bolehkah Kita cari Tuhan lain? Bolehkah kita berpijak di bumi selain daripada bumi ALLAH? Katalah Kita nak pergi ke bulan. Bulan pun hak ALLAH juga. Seluruh isi langit dan bumi serta yang berada di antara kedua-duanya adaIah kepunyaan ALLAH.
Demikian murkanya ALLAH SWT hingga Dia berfirman demikian. Kalau tidak sabar dengan ujian dan ketentuan-Nya, Dia menyuruh kita mencari bumi selain daripada bumi-Nya. Maknanya bumi yang di atasnya tidak ada ujian; hanya penuh dengan keindahan sahaja. Sedangkan ALLAH sudah tentukan, kehidupan di bumi-Nya ini ada payah dan ada senang. Katakanlah, kita berdoa kepada ALLAH, minta nikmat sahaja. Kalau kita diberi nikmat, adakah kita mampu bersyukur setiap ketika? ALLAH tambah sahaja rezeki seringgit, Kita tambah sembahyang sunat dua rakaat. Bertambah sahaja sepuluh ringgit rezeki kita, Kita tambah 20 rakaat sembahyang sunat. Begitulah seterusnya, untuk menunjukkan syukur kita terhadap nikmat ALLAH.
Mampukah kita berbuat begitu? Kalau tidak mampu, terimalah sedikit ujian daripada ALLAH, untuk dapat pahala. Sebab kalau kita dapat banyak nikmat daripada ALLAH pun, bukannya kita boleh menambah bakti. Bukannya kita boleh menambah kebaikan. Jangan-jangan kita bertambah jahat! Kalau selama ini kita kurang duit, kita rajin juga sembahyang. Tapi bila duit bertambah banyak, sembahyang pun tunggang-langgang. Bolehkah kita berjanji dengan Tuhan; bila bertambahnya rezeki, kita akan tambah kebajikan yang dibuat. Kita akan tambah sembahyang sunat, tambah khidmat kepada orang, tambah sifat pemurah dan sebagainya.
Apakah kita mampu berbuat demikian? Kalau tak mampu, apa yang ALLAH timpakan kepada kita, kita terima sahaja. Jangan bangkang, kerana ALLAH bermaksud untuk memberikan pahala kepada kita, cuma kita yang tak faham. Waktu anak-anak kita main tepi jalan, kereta pula lalu-lalang, Kita rasa bimbang, lalu kita panggil dia balik. Kita jentik dan piat telinganya. Dia berkata dalam hati, tak ada otak ibu ayah aku ni, sakit telinga aku dipiatnya.・Tapi sekiranya anak kita faham, dia berterima kasih kerana tindakan kita boleh menyelamatkan dia daripada kena langgar. Mana lebih sakit kena piat telinga atau dilanggar lori? Tapi anak itu tak faham didikan ibu dan ayahnya, lalu dia jadi marah. Padahal cuma dijentik sahaja; kalau dibiarkan diIanggar lori, lagi parah. Kalau dia faham, tak apalah dijentik sikit sebagai mengingatkan aku jangan main di tengah jalan. Sebab kalau aku lalai, tak diingatkan dengan jentikan tadi, terus main di tengah jalan, mungkin dilanggar lori. Kalau tak mati pun, patah kaki, patah tangan. LaIu dia akan berfikir, baiknya ayah dan ibu aku ini bertanggungjawab. Rupanya begitu sayangnya dia dengan aku.
BiIa si anak berfikir begitu, taklah rasa sakit hati, nak marah dan memberontak. Bayangkan pula, kalaulah sejak dulu hingga ke hari, seluruh guru di dalam dunia ni, kerana nak menjaga ketenangan hati dan fikiran anak muridnya, mereka pun biarkan anak muridnya berbuat apa saja. Apa yang muridnya buat walaupun salah, mereka tak marah, mereka tak akan pukul atau rotan. Anak muridnya nak mentelaah atau tidak, nak baca buku atau tidak, mereka tak tegur. Marah tidak, rotan pun tidak. Agak-agaknya bagaimana manusia ini keadaannya? Begitu juga kalau kita sebagai ibu bapanya, dia tak buat kerja rumah, dia malas baca buku dan sebagainya, kita tak tegur atau rotan.
Bagaimana agak keadaannya? Sebab kalau jentik atau tegur tentu budak itu akan sakit hati. Kalau kita berfikir begitu, apa akan jadi? Akhirnya guru tak akan ke sekolah, anak-anak murid pun tak akan ke sekolah. Kita dulu pun pergi ke sekolah kerana mak ayah yang suruh. Kalau tak pergi, dipiatnya telinga kita. Cuma baru sekarang kita tahu nilai harga ilmu. Kalau di waktu sekolah rendah kita biarkan anak kita tanpa ditegur, sampai sekarang ini pun dia tak mahu sekolah. Apa akan jadi dengan manusia yang seperti ini? Begitulah kalau ALLAH tak jentik-jentik kita, tak disusah-susahkan kita, apa akan jadi pada kita ini? Jadi begitulah, ALLAH susahkan kita sedikit untuk melepaskan kita dari penderitaan yang besar di Akhirat kelak. Kalau kita faham seperti fahamnya si anak tadi terhadap tindakan ibu dan ayahnya, masyaALLAH, kita akan berterima kasih dan bersyukur kepada ALLAH SWT.
Sumber: www.weluvislam.com