Amalan 10 Malam Terakhir Ramadhan
Posted On Saturday, August 3, 2013 at at 10:56 PM by maori
Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10
malam terakhir Ramadan adalah:
1. Melakukan qiamullail;
2. Menggerakkan keluarga untuk solat malam
pada malam itu;
3. Tidak mendatangi isteri (daripada
melakukan jimak);
4. Mandi antara Maghrib dan Isyak;
5. Iktikaf dalam masjid.
Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak
sentiasa melakukan ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak
pernah dilakukan pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)
Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan
khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul
qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai:
“Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.”
Demikian pula dalam hadis sahih riwayat
al-Bukhari dan Muslim, maksudnya: “Sesiapa
mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan
mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu”.
Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada
10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang mampu
melakukan solat.
Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat
dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti
21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan
seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami
isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan
solat sunat, beristighfar dan sebagainya.
Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf
juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi
SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian
Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat
gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk
iktikaf.
Ulama Islam berbeza pandangan mengenai
pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun
sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan
sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam
al-Syafi’iy dan amal ahli Madinah menyokong pendapat itu.
Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi
tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama
meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan
qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini
berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata,
maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat
Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam
itu.”
Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi’iy
menyatakan: “Sesiapa yang solat Isyak dan
Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu.” Ibn Abi
Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu
dia berpuasa siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada
melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa
berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh
lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya.”
Ringkasnya sekurang-kurang usaha
membangunkan malam ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar
ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.
Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid
dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan
seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan
mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: “Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau
gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku.”
Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy ‘alal
Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting yang dituntut ke atas kita
mengamalkannya adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi
SAW.
Dalam zikir, kita mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat
besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki
tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali),
maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”
Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki
dan perempuan yang inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi
SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud: “Sesungguhnya
Allah akan memerhatikan orang beriman daripada kalangan umat Nabi Muhammad,
lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum
arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan
silaturahim.”
Sumber: www.pondoktauhid.blogspot.com