SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Puasa satu tuntutan ibadah.

Sesungguhnya sama ada kita sedar atau tidak masa tetap berlalu meninggalkan kita.

Begitu cepat masa berlalu. Kini kita sudah berada di bulan Ramadan, iaitu bulan di mana setiap orang Islam yang mukallaf yang cukup syarat-syaratnya serta tidak uzur syar’i diwajibkan menyempurnakan ibadat puasa selama sebulan. Ini seperti mana firman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. (Surah Al-Baqarah : 183)

Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat mulia serta bulan yang penuh berkat. Kemuliaan bulan ini adalah kerana padanya diwajibkan ibadat puasa yang sangat besar kedudukannya di sisi Allah.
Dalam ajaran Islam ibadat puasa merupakan suatu ujian terhadap keimanan seseorang, sejauh manakah ketaatannya dalam mengerjakan perintah Allah. Sejauh manakah patuhnya kita dalam meninggalkan larangan-larangan Allah. Sebab itulah di hujung ayat suruhan mewajibkan berpuasa Ramadan ini Allah menyatakan “la’allakum tattaquun” yang beerti : semoga dengan berpuasa itu kamu akan menjadi orang yang bertakwa.


Dari sekian banyak ibadat yang diwajibkan Allah SWT ke atas kita, fardu puasa telah disebut sebagai ibadat yang khusus bagi Allah sahaja sebagaimana hadis qudsi menegaskan : “Tiap amal anak Adam baginya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu bagiku dan akulah yang akan memberikan ganjaran puasanya itu”. Hadis qudsi ini memperingatkan kita supaya jangan samakan pelaksanaan ibadat ini dengan ibadat-ibadat yang lainnya. Ia juga mengingatkan kita supaya sentiasa sedar ketika melaksanakan ibadat puasa ini tentang kelebihan puasa Ramadan berdasarkan hadis qudsi tadi bahawa ibadat puasa ini “bagi-Ku (Allah) dan akulah yang akan memberikan ganjaran puasa itu”.


Ingatlah balasan dari Allah yang maha agung kepada hambanya yang berpuasa. Balasan akan mengikut kualiti puasa kita dan sejauh manakah keikhlasan dan kesempurnaan kita melaksanakannya.


Di samping itu, keistimewaan hari-hari di bulan Ramadan ini adalah jauh berbeza dengan hari-hari pada bulan yang lain, seperti mana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: Maksudnya: Sesiapa meninggalkan puasa sehari dari bulan Ramadan bukan kerana uzur atau sakit, sesungguhnya orang itu tidak mampu mendapat pahala hari puasa yang ditinggalkan itu sekalipun digantikannya dengan berpuasa sepanjang tahun.


Selain itu, Allah telah menyediakan satu anugerah terbesar bagi mereka yang ikhlas beribadat. Anugerah ini hanya dikhususkan bagi umat Nabi Muhammad SAW, sesuai dengan kebesaran puasa dan bulan Ramadan ini.


Anugerah ini ialah malam lailatul qadar, malam yang disediakan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Orang yang beribadat pada malam ini disediakan baginya ganjaran seumpama beribadat selama 1000 bulan.


Alangkah besarnya ganjaran ini. Alangkah istimewanya peluang ini. Peluang ini hanya disediakan untuk umat Nabi Muhammad SAW. Tidakkah kita mahu merebut peluang ini? Alangkah ruginya orang yang membiarkan peluang ini berlalu. Lebih rugi lagi mereka yang bukan hanya mensia-siakannya, tetapi mencemari kesucian bulan ini dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam.


Orang yang sebegini memang sengaja menjauhkan diri daripada rahmat dan taufik Allah. Ini boleh tergambar apabila seseorang itu tidak menghormati bulan Ramadan, atau lalai dari merebut kelebihan-kelebihan, atau fadilat-fadilat yang ada pada bulan ini.


Dari itu kita hendaklah merebut peluang ini dengan menyempurnakan puasa kita dengan sebaik mungkin, dengan sepenuh ikhlas, bersih dari sebarang cacat cela, janganlah kita lupa kedudukan ibadat ini sehingga bercampur dengan keburukan yang mungkin merendahkan persembahan kita kepada Allah yang maha besar pada bulan yang mulia ini.


Untuk mencapai ganjaran tertinggi yang disediakan oleh Allah bagi mereka yang berpuasa dengan betul dan penuh ikhlas ini, adalah wajar bagi kita untuk membuat persiapan dengan mengulang kaji pelajaran mengenai puasa ini, supaya dengannya kita mengetahui larangan-larangannya, tidak melanggar batasan-batasannya, mengetahui galakan-galakannya semoga Insya Allah kita akan dapat mengerjakan ibadat puasa ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan layak mendapat ganjaran terbanyak yang disediakan oleh Allah.


Jika tidak, mungkin kita akan terlanjur membuat sesuatu yang tidak sesuai sehingga boleh mengurangkan ganjaran pahala yang terbesar yang disediakan oleh Allah bagi mereka yang berpuasa dan itulah kurniaan yang sangat besar.


Aturkanlah program-program sempena Ihya’ Ramadhan dengan mengimarahkan masjid dan surau diseluruh negara degan ibadah taddarus, tarawikh, qiamullail dan majlis ilmu serta lain-lain kegiatan berkebajikan.

Posted in Labels: |

0 comments: