SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Sifat 3S resipi hadapi kesulitan

Pekerja perlu berfikiran positif untuk capai kejayaan

Setiap hari kita menempuh kehidupan dengan pelbagai keadaan. Ada ketikanya kita mampu serta berjaya melaluinya dengan tenang dan mudah. Namun, ada ketikanya kita berhadapan kesulitan, cabaran dan rintangan. Jika diberi dua pilihan, sama ada ingin melalui kehidupan mudah atau melaluinya dengan payah, tentu kita memilih yang mudah.

Islam amat menggalakkan umatnya menggunakan cara mudah seperti amalan Nabi SAW. Namun, perlu disedari kesulitan dalam kehidupan sebenarnya sunnatullah bertujuan menguji hamba-Nya. Dalam setiap ujian yang berlaku sama ada kesenangan atau kepayahan, pasti ada hikmah atau pengajaran kepada manusia sekiranya kita mengetahui dan bersabar.

Dalam ujian itu terkandung pendidikan sebelum Allah mengurniakan markah berupa kejayaan, keberkatan dan pahala. Ujian itu mendidik hati tunduk ikhlas dan mengakui betapa lemahnya diri tanpa pertolongan-Nya. Justeru, dalam mencari rezeki atau bekerja dan mengurus organisasi, masalah tidak dapat dielakkan. Bahkan apabila masyarakat bertambah ramai dan negara semakin maju maka seolah-seolah ia menjadi harga yang perlu dibayar kerana pengurusan kehidupan semakin rumit. Misalnya, kepelbagaian sikap, persaingan dalam kerja, konflik dan kepentingan mencapai kualiti perkhidmatan yang tinggi menyebabkan setiap pekerja perlu sentiasa berusaha membina kekuatan diri.

Islam sebagai cara hidup menggariskan tiga panduan utama sebagai resipi ketahanan berguna dalam menghadapi kepayahan iaitu sifat sabar, solat dan siap sedia (3S) dalam mengharunginya.

Dalam Sunan al-Termizi daripada Abdullah bin Abbas ra berkata: “Aku pernah bersama Rasulullah SAW dan baginda berkata kepadaku: “Wahai anak, sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimah: Jagalah Allah, pasti Dia menjagamu.

Jagalah Allah, nescaya kamu mendapati-Nya di hadapanmu (dengan pertolongan-Nya), Kenallah Allah dalam kesenangan, pasti Dia mengenalmu dalam kesusahan dan sabdanya lagi, ketahuilah kemenangan ada bersama kesabaran.”
Sekiranya kita cenderung melihat masalah sebagai rintangan kepada kejayaan, berusahalah menguatkan hati dan mengubah pemikiran dan melihatnya sebagai peluang berjaya.

Kaedah pertama ialah melaluinya dengan sabar dengan membayangkan nikmat kesenangan hidup yang lebih luas dan tidak terhitung dianugerahkan Allah SWT. Kejayaan yang diraih hasil kesabaran lebih indah untuk dikenang, kerana di sebalik kemanisan itu ada pengalaman pahit dan sukar. Pengalaman itu mampu melahirkan kemahiran yang diperlukan dalam melahirkan individu profesional dalam organisasi.

Kesabaran adalah rahsia kejayaan. Ia dinyatakan lebih daripada 90 kali dalam pelbagai bentuk dalam al-Quran. Ibn Taimiyyah pernah ditanya: “Dengan cara apakah kepemimpinan diperoleh? Dia menjawab dengan kesabaran dan keyakinan seperti firman Allah SWT bermaksud: “Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar dan meyakini ayat kami.” (Surah al-Sajdah, ayat 24)

Kedua membina ketahanan diri melalui solat sebagai perisai. Justeru, peliharalah solat, berdoa dan perbanyakkan beristighfar kepada Ilahi agar diberikan hikmah dan kejayaan yang diberkati. Dalam kesibukan kita mencari rezeki, jangan sampai menggadaikan solat atau menjadikannya sebagai penguat diri hanya ketika ditimpa kesusahan. Usaha menyediakan ruang solat yang selesa di tempat kerja perlu dilihat sebagai kewajipan organisasi dalam memelihara solat warga kerjanya. Jangan hanya kebajikan atau tanggungjawab sosial diberi keutamaan sedangkan tiada peruntukan menyediakan ruang beribadat yang selesa.

Ketiga, hendaklah kita sentiasa bersiap sedia. Dalam konteks organisasi, pelbagai perancangan strategik boleh dilakukan, termasuk usaha menguatkan akal dan hati dengan menentukan hasrat mencapai kejayaan. Penentuan ini mampu memberi tenaga dalam mengorak strategi. Kata-kata hukama ada menyebut matlamat yang ingin dicapai adalah rahmat Allah. Jika tidak, ibu enggan mengandung dan petani enggan bercucuk tanam. Ertinya, kerana membayangkan hasrat yang ingin dicapai iaitu zuriat dan hasil tanaman itulah, maka ibu dan petani sanggup mengharungi kepayahan.

Selain itu, kita perlu memelihara hubungan dengan persekitaran dengan memupuk kemahiran interpersonal atau interpersonal kompeten seperti memahami watak, sikap rakan sekerja, memupuk sifat empati, menghormati dan bertanggungjawab. Insya-Allah, kita pengemudinya selepas dayung ada di tangan dan dengan sifat tawakal, Allah SWT akan memudahkan segala kepayahan.

Sumber: www.bharian.com.my_ sharifahhayaati

Posted in Labels: |

0 comments: