Puasa Sunat Syawal, Ganti dan Ziarah
Posted On Wednesday, August 22, 2012 at at 11:02 AM by maori
Puasa
sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini.
Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa
sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya
menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan
amalannya.
" kau , dah hari ker
berapa dah?"
"aku dah 5 hari dah ni"
"esok aku raya (sunat syawal)"
Ini adalah antara kata-kata
yang kerap didengari di bulan syawal ini. Ia menjadi seolah-olah
satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia
dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya
bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.
Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan
seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa
riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan
khas untuk Allah.
Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang
terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah
rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab
menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.
Puasa sunat ini juga tidak
sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah
terbuka.
Isu
Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan
berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan
dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.
Jika ada yang bertanya manakah
yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya
sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي
مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah hampir
kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah
mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka
ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat
sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau
bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan
diri seseorang.
Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu
Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid
yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di
yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu
di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat
berbanding Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu
bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu
sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa
Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia
dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang
mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat
Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin
boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW
إن
الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده
حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف
إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم
بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة
Ertinya " ... barangsiapa yang
beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh
Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya,
di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no
6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha
adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih
besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan
merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah
sebagai tambahan pahala.
Isu
Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal
sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya
bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk
memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik
membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat
untuk menggabungkannya. Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak
melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana
pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga
hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan
‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung
puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu
selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan
solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan
‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan
solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul
dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh
campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy
(ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka
berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan
wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak
berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan
kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan
kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.
3. Tindakan A'isyah r.a yang
melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan
kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak
gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku
untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga
datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)
4.
Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan
mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya
kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat
puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah
menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang
mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap
mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan
sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary,
1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23).
5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan
sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu
Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di
sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada
asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW.
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من
شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa
telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa)
maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat
Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja
boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah
melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan
pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah
hadith
"Sesungguhnya
amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan."
(Riwayat Bukhari, no 1, 1/12).
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang
diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi
diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie
dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak
dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi,
cet Baytul Afkar, hlm 103). Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak
boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan
perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat
didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal); Pandangan yang
membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang
mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara
ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab
Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA),
Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Sumber: http://www.zaharuddin.net