SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Ujian sepanjang hayat


Menghadapi sesuatu ujian atau masalah kadangkala memeritkan, apatah lagi jika ia datang secara tidak diduga serta bertimpa-timpa.
Sesaknya dada dalam menghadapi ujian dan masalah itu hanya Allah yang tahu, sementara manusia di sekeliling hanya mampu memberi kata-kata nasihat untuk terus bertahan. 

Saban hari, media massa sentiasa melaporkan musibah yang menimpa manusia di negara kita mahupun seluruh dunia. Setiap hari ada saja berita mengenai pembunuhan, kemalangan, peperangan atau bencana alam. 
Ujian atau musibah ini dilihat tidak lain dan tidak bukan sebagai masalah yang perlu dihadapi manusia dalam kehidupan. Manusia dilihat terlalu sinonim dengan masalah.

Pendek kata, masalah menjadi rakan karib yang sentiasa menemaninya dalam setiap fasa kehidupannya. Bermula daripada saat dilahirkan di dunia, seorang bayi berdepan masalah untuk berkomunikasi. Yang mampu dilakukan bayi adalah menangis bagi menunjukkan ekspresi terhadap ‘masalah’ dihadapi seperti lapar atau tidak selesa. 

Memasuki fasa kanak-kanak pula, masalah yang mungkin dirasakan besar tentunya datang daripada sekolah, tidak kira sama ada berpunca daripada pelajaran atau rakan. Hinggalah ke peringkat usia selanjutnya, terutama apabila memasuki fasa kehidupan remaja. 

Cabaran dan ujian pastinya datang daripada rasa jiwa remaja yang ‘memberontak’ ketika diri masih tercari-cari hala tuju dalam sebuah kehidupan. 

Tidak kurang juga ujian dan tekanan dalam menggalas harapan menggunung ibu bapa untuk berjaya dalam alam persekolahan. 

Ujian dan masalah kemudian menjengah pula apabila mula memasuki alam dewasa. Fasa ini dilihat paling kritikal kerana seseorang manusia perlu mula mencongak dan melukis jalan kehidupan yang bakal dilalui. 

Ini termasuk soal pekerjaan, perkahwinan, menguruskan ibu bapa yang uzur, menjaga dan mendidik anak dan banyak lagi hinggalah seseorang itu tiba ke alam ‘senja’. 

Pada fasa ini, cabaran serta masalahnya tidak kurang juga hebatnya. Ramai beranggapan apabila mencecah usia tua, masalah dilihat semakin berkurangan. Namun tanggapan sedemikian sebenarnya jauh meleset. 
Ujian selalunya menimpa berbentuk ujian kesihatan. Nikmat mula ditarik sedikit demi sedikit apabila mata mula kabur, telinga kurang mendengar dan tubuh tidak sekuat dulu. Pelbagai penyakit menjadi teman dan perlu berpantang makan. 

Fasa ini juga selalunya dilihat sebagai cabaran terakhir dalam membuat persiapan terbaik untuk berpisah dengan kehidupan dunia dan menempuh alam akhirat. 

Saat ini juga penentu sama ada manusia itu beroleh hidayah daripada Allah atau akan terus leka dengan kehidupan dunia hinggalah ke hembusan nafas terakhir. Nauzubillah. 

Kemudian sekujur tubuh itu akan melalui pula ujian di alam barzakh. Jika baik amalannya semasa hidup di dunia, mudahlah urusannya di alam ini. Jika tidak, bersiap-sedialah dalam menghadapi paluan seksaan daripada Malaikat Mungkar dan Nangkir. 

Pada hari akhirat, manusia akan dibangunkan oleh Allah bersesuaian firman Allah SWT dalam surah Al-Hajj ayat 7, yang bermaksud: “Dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang yang di dalam kubur.” 

Ketika itu manusia akan berdepan ujian dan masalah dalam bentuk berbeza-beza. Ada yang berjalan dengan kakinya dan ada pula yang berjalan dengan wajahnya. Ada yang meniti titian Siratul Mustaqim sepantas kilat, ada juga yang merangkak-rangkak dan akhirnya terjatuh ke dalam lembah neraka. 

Begitulah antara kehidupan yang perlu kita lalui sebagai hamba Allah. Ujian dan masalah tidak pernah sunyi menemani ke mana saja kita pergi. Pendek kata, masalah dan ujian cuma akan terhenti pada ketika saat kaki menjejakkan kaki ke syurga Allah. 

Namun sebagai seseorang yang percaya pada qada dan qadar yang datang daripada-Nya, setiap ujian dan masalah harus dilihat dengan pandangan mata hati tanpa memberi ruang kepada nafsu untuk menilai. 

Kerana apabila nafsu mula menilai, syaitan akan membisikkan kata-kata durjana yang kemudian akan menyesatkan manusia. Manusia akan mula menyalahkan Allah terhadap apa yang menimpanya.

Segala amal ibadat, solat dan doanya kepada Allah mula dirasakan sia-sia. Kewujudan Allah yang disifatkan dengan sifat Maha Pendengar, Pengasih dan Penyayang mula diragui kerana semakin banyak dia berdoa dan bersolat, semakin hebat ujian yang menimpanya. 

Pada ketika ini, manusia mula mencari bantuan selain daripada Allah. Ketika inilah syaitan menghulurkan ‘bantuan’ yang akan ‘melepaskan’ manusia daripada ujian dan masalah dihadapinya. 

Akan berlakulah kes murtad atau bunuh diri akibat tidak tahan menghadapi ujian Allah SWT. Namun sebaliknya jika manusia mengambil iktibar daripada ujian yang menimpa nabi dan rasul, pasti hatinya merasa terpujuk. 

Ketika menghadapi sesuatu ujian dan masalah, ingatlah bahawa ada manusia yang menghadapi ujian lebih hebat serta lebih teruk lagi. 

Jika anda kehilangan harta benda akibat daripada kemusnahan, ingatlah ada manusia yang kehilangan ahli keluarga dan hidup sebatang kara di dunia. 

Jika anda kehilangan orang tersayang, percayalah anda masih ada Allah yang kekal dan setia menjaga anda hingga ke syurga.

Yang penting, ketika ditimpa musibah, seseorang yang mengaku beriman kepada Allah dikehendaki bersikap sabar dan tidak terlalu bersedih hati serta menyesali apa yang terjadi. 

Allah memberikan ganjaran pahala tidak terhitung kepada orang mukmin yang sentiasa bersabar tatkala mengalami musibah, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 155, yang bermaksud: “Berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, iaitu orang yang ketika musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali.” 

Tidak guna menyesali terhadap apa yang terjadi kerana perasaan sesal itu tidak mampu merubah apa-apa. Ujian dan masalah sewajarnya tidak dihadapi dengan kelemahan kerana kelemahan itu akhirnya menyebabkan hati menjadi mati. 

Daripada Aisyah RA, dia berkata bahawasanya Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya orang salih akan diperberat (musibah) atas mereka. Dan tidaklah seorang mukmin tertimpa satu musibah, seperti tertusuk duri atau lebih ringan daripada itu, kecuali akan dihapus dosanya dan akan ditingkatkan darjatnya.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, al-Hakim dan Baihaqi). 

Sumber: www.hmetro.com.my

Posted in Labels: | 0 comments

Doa Solat Sunat Dhuha (Doa dimurahkan rezeki)


"Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.

Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan, keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh."

Jom Solat sunat Dhuha.. Semoga dipermudahkannya 

Posted in Labels: | 0 comments

Umur kian singkat, ajal makin dekat


Masa bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah memasuki hari ke 18 tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua. Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?” 
Nak berazam perlu tunggu tahun baru saja ke? Setahun ada 365 hari manakala tahun itu juga adaah himpunan antara hari. Dari hari-hari itulah menjadi setahun. 

Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari. Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja, sudah tentu tidak ke mana.

Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam pun tidak tercapai lagi.

Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari, setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak. 

Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru. 

Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. 
Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. 

Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat sejarahnya. 

Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal sejarah. 

Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting. 

Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu. 

Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam, buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang dilalui sepanjang setahun. 

Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. 

Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya. 
Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang paling hampir pada diri kita adalah kematian. 

Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini. 

Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda. 

Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai. 

Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip saja. 

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri. 

Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya. 

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang. 

Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah. 

Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri. 

Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan hanya dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama. 

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya. 

Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain. 

Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat berubah seperti yang diharapkan. 

Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah. Cuma awas berubah jangan jadikan ia upacara bermusim berubah dan beristiqamah sehingga menemui Allah. 

Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.

Sumber: www.hmetro.com

Posted in Labels: | 0 comments

Diam


Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam memberi komen,
Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam menegur,
Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam memberi nasihat,
Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam memprotes,
Terkadang kita hanya perlu DIAM dalam persetujuan,

tapi

Biarlah DIAM kita mereka faham ertinya,
Biarlah DIAM kita mereka terkesan maknanya,
Biarlah DIAM kita mereka maklum maksudnya,
Biarlah DIAM kita mereka terima tujuannya,

kerana

DIAM kita mungkin disalah tafsir,
DIAM kita mungkin mengundang syak wasangka,
DIAM kita mungkin disilap diterjemah,
DIAM kita mungkin tidak membawa apa-apa maksud,

justeru itu

jika kita merasakan DIAM itu terbaik, seharusnya kita DIAM,
namun seandainya DIAM kita bukanlah sesuatu yang bijak,
berkatalah sehingga mereka DIAM.

Posted in Labels: | 0 comments

Tahun baru 2013 harus jadi pemangkin minda


Tiada guna masa berlalu tanpa memperoleh manfaat, usaha perbaiki kelemahan diri
Azam dan iltizam memenuhi gerak hati kebanyakan insan yang berikrar memperbaiki diri.

Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjadi pemangkin minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimanakah pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiadalah gunanya tahun berlalu tanpa apa-apa manfaat yang kita peroleh. Tiadalah manfaatnya tahun berlalu tanpa kita perbaiki untuk masa-masa akan datang. Apa yang berlaku tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa yang dapat mengubahnya dan sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh hal yang demikian kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang telah berlaku kepada kita.

Semoga tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambah baik itu mula dirasainya, ia bukannya suatu jaminan umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan. Melihat kepada cabaran yang akan dihadapi kelak, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru.

Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya. Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya, bangsa dan agama.

Penulis juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula dapat ditingkatkan di samping saling hormat menghormati antara satu sama lain sejajar dengan prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita.

Kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu direalisasikan dan dalam masa yang sama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini bermakna agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan kedamaian terhadap Agama Persekutuan di dalam negara.

Pada masa yang sama umat Islam hendaklah jangan sesekali mengherdik agama orang lain sebagaimana kita sendiri tidak mahu agama kita diherdik. Jangan memperlekehkan agama orang lain seperti kita tidak mahu diri agama kita diperlekehkan.

Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi tahun baru ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain.

Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada tahun hadapan. Berbeza pandangan dalam perkara furu' adalah lumrah dan janganlah begitu terpesona dan taksub dengan sesuatu pandangan hingga tidak boleh berlapang dada menerima teguran orang lain.

Walaupun 2012 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2013 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang sedang berlaku.

Untuk itu pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja. Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa.

Posted in Labels: | 0 comments