SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Osteoporosis menyerang dalam senyap

MENJELANG tahun 2050 dianggarkan sebanyak 50 peratus kes keretakan tulang pinggul akan berlaku di seluruh Asia.

Ini bermakna Malaysia berdepan dilema dengan peningkatan jumlah warga emas yang dijangka mencecah hampir 4 juta orang dalam tempoh sedekad lagi dengan sebahagian besar mereka menghidap penyakit tulang.

Apatah lagi kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan University of Otago, New Zealand, mendapati wanita di Malaysia mengambil kurang 50 peratus daripada amaun diet kalsium yang diperlukan.

Sedangkan, ketumpatan tulang akan menyusut apabila usia mencecah 30-an. Oleh itu, pengambilan diet seimbang dan amalan gaya hidup yang sihat adalah penting untuk mencegah penyakit berbahaya terutama osteoporosis yang mampu melumpuhkan pesakit hingga ke akhir hayat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, osteoporosis menyerang 'mangsanya' secara senyap bukan sahaja di negara Barat malah merupakan masalah kesihatan yang besar di Asia.Terkini, penghidap osteoporosis di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun mencecah seramai 80 juta orang.

"Bagaimanapun, peningkatan paling ketara dijangka berlaku di negara-negara Asia termasuk Malaysia.

"Kes keretakan tulang akibat osteoporosis melibatkan sekurang-kurangnya 90 orang dalam 100,000 rakyat dan dijangka meningkat di negara jiran lain ," katanya pada perasmian kempen Listen To Your Bones di Sunway Pyramid, Bandar Sunway, baru-baru ini.

Atas sebab itu, menurut Tiong Lai, pihaknya bersama Akademi Perubatan Malaysia berjaya membangunkan Clinical Practice Guideline (CPG) atau Garis Panduan Amalan Klinikal pada tahun 2002 untuk membantu diagnosis, pencegahan dan rawatan osteoporosis.

Standard terbaik untuk mendiagnosis osteoporosis, jelasnya, adalah dengan mengikut tahap ketumpatan mineral tulang (BMD) menggunakan pengimbas penyerapan sinar X dwi-tenaga (DEXA).

"Ukuran BMD dilakukan untuk individu yang menghadapi risiko seperti wanita selepas menopaus, mengalami keretakan atau trauma tulang pinggul, tulang belakang atau pergelangan tangan juga BMI rendah," kata beliau.

Tambahnya, pada masa ini Kementerian Kesihatan mempunyai 14 unit mesin pengimbas DEXA yang ditempatkan di hospital utama seluruh negara.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mohd. Nasir Mohd. Ashraf.

Kempen anjuran Fonterra Brands (M) Sdn. Bhd., dengan sokongan Kementerian Kesihatan itu bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat mengenai pentingnya menjaga kesihatan tulang bagi mencegah osteoporosis.

Kempen Listen To your Bones selama tiga hari yang dilancarkan 8 Mei lalu di Sunway Pyramid itu juga menawarkan pemeriksaan tulang percuma bagi mencapai sasaran sejuta ujian baru di seluruh negara.

Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan khidmat perundingan kesihatan tulang, demonstrasi senaman menguatkan tulang dan sampel percuma produk Anlene seperti Anlene Concentrate, susu tepung Anlene dan yogurt.

Sementara itu, Pengurus Besar Fonterra Brands, John McKay menjelaskan, kebanyakan lelaki mahupun wanita beranggapan bahawa tulang mereka kuat kerana sering bersenam dan aktif melakukan aktiviti luar.

Malah persepsi umum terhadap osteoporosis adalah ia merupakan penyakit orang tua lebih-lebih lagi epidemik itu tidak menunjukkan sebarang simptom awal, sebaliknya hanya dapat dikesan apabila penghidapnya mengalami keretakan tulang.

"Anlene memperkenalkan kandungan nano-kalsium (kalsium mikroskopik) yang 100 kali ganda lebih kecil berbanding kalsium biasa untuk membantu penyerapan secara efektif ke dalam tulang.

"Dua gelas Anlene setiap hari dapat membekalkan nutrien penting untuk membantu membina tulang lebih kuat dari dalam agar anda dapat meneruskan gaya hidup aktif," ujar beliau.

Kaedah pencegahan osteoporosis melibatkan beberapa aspek termasuk pengambilan nutrien seperti kalsium dan vitamin D, senaman, gaya hidup dan pemeriksaan awal juga mengekalkan berat badan ideal.

Posted in Labels: |

0 comments: