SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Memahami Puasa 6 Syawal

Puasa di bulan Syawal @ dikenali puasa 6 hukumnya sunat dan dilakukan setelah umar Islam menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Inilah pandangan sebahagian besar ulama’. Rasulullah s.a.w ada menyatakan”Sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan 6 hari pada bulan Syawal, maka ganjaran pahalanya seolah-olah oleh dia telah berpuasa setahun penuh”. (Hadis Riwayar Muslim). Seseorang yang mahu melakukan puasa 6, mereka boleh memulakannya sama ada hari kedua @ seminggu selepas berhari raya. Ia tidak boleh dilakukan bermula dari 1 Syawal, kerana pada hari raya Allah mengharamkan kita berpuasa dan wajib berbuka. Inilah larangan Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita (Mafhum Hadis Riwayat Bukhari). Namun begitu, adalah lebih baik jika puasa itu dilakukan lebih awal, bagi mengelakkan terkurang hari @ tidak cukup hari. Sehingga puasa itu menjadi puasa 4 @ 5 pula. Maklumlah bulan Syawal ini penuh dengan rumah terbuka yang sering mengganggu puasa 6 kita.
Adakah puasa 6 mesti berturut-turut harinya? TIdak. Ia tidak disyaratkan sedemikian. Maka, sesiapa sahaja boleh berpuasa selagi ada bulan Syawal dan pandangan ini lebih afdal, kata Dr. Yusuf Al Qardawi sendiri. Hari ini pula, orang sering bertanya kepada rakan-rakan, sudah berapa hari beliau berpuasa 6. Pertanyaan ini sedikit sebanyak menjadi motivasi kepada kita untuk berpuasa. Namun, jangan pulaterbit perasaan riak sehingga menghabiskan pahala amalan pula. Maklumlah kita sudah tamat sedang orang lain mungkin terkial-kial menghabiskan puasanya.
Ada orang bertanya, Apakah hukumnya menggabungkan puasa sunatlain dengan puasa 6? Ulamak berbeza pandangan di sini. Ada yang menyatakan adalah lebih utama bagi mereka yang berhutang puasa itu, menunaikan dahulu qada’nya. Ini kerana, yang qada itu wajib hukumnya. Mereka bersandarkan kepada satu hadis Qudsi “. . . dan tidaklah hampir kepadamu seorang hambaku dengan apa juapun, maka yan glebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaku dengan mengerjakan amalan sunat sehingga aku kasih kepadanya . . . ”. (Riwayat Bukhari). Bahkan Aisyah mendahulukan puasa 6 terlebih dahulu sebelum qada’ puasanya, justeru waktu puasa 6 adalah pendek sedangkan qada’ boleh dilakukan selepas dari itu. Aisyah bahkan pernah mentakhirkan qada’ puasanya sehingga ke bulan Sya’aban akan datang justeru sibuk melayani suaminya iaitu Rasulullah s.a.w sendiri.
Kesimpulannya, puasa 6 adalah puasa yang sepatutnya sama-sama dilakukan sebagia jalan merebut jaminan pahala disisi Allah. Bahkan puasa juga memberikan kebaikan daripada aspek kesihatan diri, memandangkan perut kita sudah lama berehat daripada memproses makanan pada siang hari. Maka berilah peluang kepada perut kita untuk “warm up” sebelum beroperasi semula seperti biasa. Apa yang penting, berpuasalah dengan penuh keimanan dan pengharapan, agar Allah Subnahu Wa Taala menerima amalan kita dan menjadikan hamba yang kaya di Akhirat kelak.

Posted in Labels: | 0 comments

Pantun Hari Raya

Kelantan...
Make ikke cicoh budu
Jange lupo tamboh satar
Kelik rayo taksir laju
Nanti rayo dale sepita

Terengganu...
Makang ubi jamang jepong
Makang kepok cicah cuke
Bulang pose mung bengong
Bulang raye mung gile

Pahang...
Sempadan Pahang ada kasino
Nasi dagang ikan patin
Jange mu masam muko
Raya makan rendang sadin

Johor...
Cegitu cegini awak suke
Awak suke kite tak suke
Esok luse hari raye
Sama-sama bersuke rie

Melaka...
Hawau kau berak merate
Kaki bengkak ulau patok
Kalu balik naik kerete
Jangan pandu kalau ngantok

N. Sembilan...
Masak lomak cili api
Campo dongan!daun turi
Hari rayo kolumpo sopi
Tinggal penyamun dongan pencuri (org kolumpo jgn kocik ati!!)

Selangor/K.Lumpur...
Wa cakap lu wa tak tau
Tapi wa tipu sama lu
Raya jangan buat tak tau
Angpau ada bagi gua dulu

Perak...
Gulai tempoyak ikan mayong
Deroyan busok tebok tupai
Pandu hemat ingat kampong
Asal teman selamat sampai

Kedah...
Aloq Staq terketaq-ketaq
Lapaq perut makan pau
Macam mana tak ketaq
Kena paksa bagi angpau

Penang...
Nasi kandaq kedai mamak
Anak mami juai pesemboq
Lepas raya usah dok triak
Kalu ceti mai ikut dapoq

Perlis...
Padang besaq kecik aja
Tempat siam lalu lalang
Hari raya kita berbelanja
Jangan sampai menambah utang

Selamat Hari Raya....... Terima Kasih Asmuni

Posted in Labels: | 0 comments

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Kembali ke IPGM KPM

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pelajar PISMP sem 2 ambilan Januari 2009, PPISMP sem 3 ambilan Julai 2008 dan KPLI R BI 1 dan BM 3, setelah bercuti selama seminggu sempena Hari Raya Aidilfitri. Masih banyak kerja yang perlu kita selesaikan bagi melengkapkan kursus perguruan anda di IPGM KPM. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari saya minta halalkan makan dan minum dan apa juga sepanjang bersama-sama dengan saya sepanjang 2009.

Posted in Labels: | 0 comments

Hari Raya Hari Kemenangan bukan Hari Ratapan

Selamat Hari Raya! Semoga Allah menerima amalan kita semua! Hari ini adalah hari kemenangan dan kegembiraan. Islam apabila hadir ke dalam sesuatu kaum atau masyarakat, ia tidak menghapuskan budaya atau adat yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, atau mengubah rupa asli agama yang tulus dan suci ini. Islam tidak membuang jubah orang Arab, atau kurta orang India, atau sampin orang Melayu. Namun Islam memberikan garis panduan dan prinsip umum dalam berpakaian.
Hendaklah juga kita fahami bahawa Islam amat sensitif jika ada amalan sesuatu bangsa atau kaum itu mempunyai iktikad tertentu yang membabitkan prinsip-prinsip akidah di dalam Islam. Ini seperti kepercayaan orang melayu dahulu bahawa bala boleh ditolak dengan upacara beras kunyit, atau tepung tawar atau apa sahaja yang mempunyai unsur yang sedemikian rupa. Ini kerana ia menyentuh soal pokok dan prinsip dalam akidah Islam.
Islam tidak membantah untuk orang melayu menggoreng ikan menggunakan kunyit, atau memasak dengan berempah kunyit. Demikian juga untuk mereka membuat tepung talam atau tepung bungkus atau ‘tepung pelita’. Namun, apabila mereka membuat nasi kunyit, atau beras kunyit atau tepung tawar yang disertai dengan sesuatu kepercayaan khusus yang tidak benar, maka ia bercanggah dengan prinsip Islam iaitu persoalan khurafat dan syirik, maka ia dilarang oleh nas-nas Islam.
Sama seperti ‘mandi bunga’, jika ia dilihat di sudut kesan herba kepada kesihatan, maka itu mungkin boleh diterima setelah dibuat kajian pakar. Namun jika disertai iktikad karut seperti boleh mempercepatkan jodoh, maka Islam menolak kebodohan yang seperti itu. Ertinya, budaya, adat atau kebiasaan sesuatu kaum boleh diteruskan, namun hendaklah dipastikan ia tidak mengandungi iktikad yang salah, atau amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Berbalik kepada persoalan hari raya pun demikian. Pada asasnya, Islam mengajar umatnya beberapa amalan sempena hari raya. Ini termasuklah bertakbir, bersolat ‘id (hariraya), berhimpun dan bergembira. Kata Umm Atiyyah:
“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat, tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari). Tujuannya menzahirkan kekuatan dan kegembiraan. Justeru, sekalipun Masjid Nabawi itu adalah masjid yang penuh dengan kelebihan, namun Rasulullah s.a.w bersolat hariraya di musolla iaitu tempat solat khas di tanah lapang, bukan dalam masjid. Ini seperti hadis Abi Sa’id al-Khudri, katanya:Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari: “Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”. Dengan bersolat di tempat lapang yang disertai oleh setiap lapisan kaum muslimin maka menambahkan kemeriahan, kekuatan jiwa dan semangat, serta kegembiraan dalam kaum muslimin. Amalan ini diamalkan oleh sebahagian umat Islam sejak zaman Nabi s.a.w sehingga ke hari ini melainkan jika berlaku hujan atau kesukaran mendapatkan tempat lapang.
Masyarakat Melayu
Maka mesej Islam pada hariraya adalah kemenangan, kekuatan umat dan kegembiraan. Jangan ditukar mesej ini dengan yang sebaliknya. Untuk mencapai kegembiraan setiap kaum kadang-kala ada cara yang tersendiri. Ia boleh diterima selagi tujuannya tidak tersasar. Mereka mungkin memakai pakaian khas yang cantik menurut tradisi kaum masing-masing; jubah untuk orang Arab, kurta untuk orang India, berbaju melayu untuk orang Melayu dan seterusnya. Demikian juga juadah makanan; Nabi s.a.w tidak pernah menyuruh atau memakan ketupat, rendang dan dodol pada hariraya. Itu adalah makanan orang melayu. Tidak mengapalah, ia tidak menyanggahi tujuan hariraya. Demikian ucapan selamat hariraya, yang diriwayatkan daripada para sahabat mereka sekadar mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu) (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356). Orang melayu menambah dengan selamat hariraya. Ia mungkin sebahagian daripada aktiviti menceriakan hariraya. Cuma penambahan ‘maaf zahir batin’ yang membawa kepada hariraya menjadi hari khas untuk bermaaf-maafan, mungkin ada sudut negatif dan positifnya. Jika ia membawa masyarakat kita melengah-lengahkan permohonan maaf sesama muslim kerana menunggu hariraya, maka ini sesuatu yang negatif.
Nas-nas Islam tidak pernah menyebut hariraya hari bermaafan, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah menyegerakan pemohonan maaf tanpa menunggu hariraya atau hari tertentu. Demikian juga jika maaf-maafan pada hariraya itu ia membawa suasana ‘airmata dan sedih’ maka itu di luar dari tujuan hariraya. Satu lagi perkara yang disangkakan oleh sesetengah masyarakat sebagai amalan hariraya iaitu bertafakur atau menziarahi kubur dengan taburan bunga dan siraman air. Sesetengah orang suasana harirayanya bertukar menjadi suasana suram dan tidak ceria selepas solat kerana pergi bersedih dan mengenangkan orang yang mati pada hariraya. Jika sekadar lalu di kawasan kubur sambil berdoa tidaklah mengapa. Tetapi melakukan ziarah khas pada hairaya bersama dengan perasaan sedih dan pilu bukan amalan Nabi s.a.w dan menyanggahi tujuan hariraya dalam Islam. Di samping amalan menabur bunga dan menyiram air, bukanlah kenali di zaman salafussoleh sebagai amalan yang dipraktikkan.
Adapun perbuatan Nabi s.a.w meletakkan pelepah tamar atas kubur adalah keistimewan khas baginda, sebab itu tiada sahabah yang meniru perkara yang sama selepas itu. Manusia pada umumnya mendapat kebahagian di akhirat dengan amalan baiknya dan juga doa ikhlas insan lain yang mustajab. Tiada proses belian atau upahan pahala dalam ajaran Islam.
Apapun, sempena hariraya kita hendaklah zahirkan kebesaran Allah dan kekuatan umat Islam sebagai umat yang memimpin alam dengan kebaikan dan hidayah. Gema takbir bukan untuk mengundang kesedihan tanpa sebab. Sebaliknya agar jiwa dipenuhi dengan kebesaran Allah, kecintaan kepada perpaduan dan kebahagiaan umat ini. Ia memberikan semangat kepada kita untuk terus sebagai umat yang berdaulat dan mampu melaungkan kebesaran kerajaan Allah yang menguasai langit dan bumi.
Airmata jika pun ada pada hariraya adalah airmata mengenang kebesaran Allah dan perasaan cinta yang mendalam kepada umat ini. Khutbah hariraya adalah khutbah yang penuh semangat dan makna, bukan khutbah yang ‘menidurkan’ makmum pada pagi hari dan penuh kemandulan serta tidak membangunkan jiwa jihad dan pengorbanan. Imam atau khatib hendaklah sedar akan hakikat ini. Selamat hariraya! selamat membina kekuatan umat dan kecintaan kepada setiap saudara muslim kita. Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd. DrMAZA

Posted in Labels: | 0 comments

Selamat Hari Raya Aidilfitri




Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua saudara mara, rakan-rakan, pelajar dan semua umat Islam yang mengenali kami sekeluarga. Selamat kembali ke kampung halaman masing-masing. Berhati-hati di jalan raya.


Posted in Labels: | 0 comments

Hari Raya Bukan Hari Sedih.

Masyarakat melayu kita sering mengaitkan hariraya dengan hari kesedihan. Perkara ini diransang tambah oleh media kita. Apabila tiba hariraya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah hariraya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?

Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan.

Firman Allah (maksudnya):

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan Hari Raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.

Apatah lagi hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Maka Nabi s.a.w dalam sunnahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkin setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin.

Takbir hari raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir hari raya di dunia Arab, lain iramanya.


- Gambar Hiasan

Hiburan

Di sudut hiburan pula, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya.

Hari raya adalah hari gembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

“bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.

Amat menarik sikap lunak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Bayangkan bagaimana dua gadis ini boleh menyanyi dalam rumah Rasulullah s.a.w? Jikalah tabiat Rasulullah itu keras dan garang, tentulah dari awal mereka tidak berani menyanyi dan bergendang dalam rumah Nabi s.a.w.

Lihat pula reaksi baginda apabila Abu Bakr memarahi mereka, baginda tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian nabawi bahawa itu semua diizinkan.

Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menafikan bahawa nyanyian adalah suara syaitan seperti yang disebut oleh Abu Bakr, cuma membiarkan khusus untuk hari tersebut kerana ia hari raya. Pendapat ini agak ganjil. Apakah jika hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Atau apakah hari raya nyanyian tidak menjadi suara syaitan, tetapi apabila tamat hari raya ia kembali menjadi suara syaitan kembali? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr.

Bahkan hadis ini diriwayatkan al-Bukhari bersama riwayat berikut untuk menunjukkan keluasan Islam; kata ‘Aishah juga:

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Pertunjukan yang disebut dalam hadis ini sebenarnya berlangsung dalam masjid Nabi s.a.w seperti mana yang disebut oleh hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang menghadkan menikmati hiburan seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas untuk hari raya sahaja sebenarnya telah menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam.

Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.

Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Demikian Barat dan Yahudi menuduh Islam hal yang sama. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

Apa yang hendak disampaikan adalah hari raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu melayu menjelang hari raya. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan.

Malang masyarakat kita, jika di sebahagian tempat, hari sedih seperti hari kematian dijadikan hari kegembiraan dengan dibuat ‘kenduri atau jamuan kematian’, ‘wang angpau untuk sembahyang jenazah’ dan berbagai perkara lain bagaikan berpesta dengan kematian. Itu semua bukan ajaran Islam.


- Gambar Hiasan

Namun apabila tiba saat yang disuruh gembira iaitu hari raya, didendangkan irama dan drama sedih, menangis di kubur dan berbagai lagi. Kita terbalikkan suasana. Hari raya hari gembira bukan hari sedih. Bak kata sabda Nabi s.a.w: “Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah”

DrMAZA

Posted in Labels: | 0 comments

Diskaun Raya 20 peratus

Plus beri potongan mulai tengah malam hingga 7 pagi selama 6 hari.
PETALING JAYA: Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) menawarkan diskaun tol sehingga 20 peratus kepada pengguna kenderaan kelas 1 di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Elite untuk enam hari sempena Aidilfitri kali ini. Ketua Pegawai Operasi Plus Expressways, Nik Airina Nik Jaffar, berkata tawaran diskaun itu antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi pada 16, 17, 18, 22, 24 dan 25 September ini. "Diskaun itu tambahan kepada diskaun 10 peratus yang sedia ada yang sedang dinikmati oleh pengguna kenderaan Kelas 1 di kedua-dua lebuh raya itu di luar waktu puncak setiap hari," katanya pada sidang media di sini, semalam. Katanya diskaun itu sebahagian daripada Program Insentif Perjalanan menghargai pengguna lebuh raya seperti disaran Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, baru-baru ini. Nik Airina menasihatkan pengguna mematuhi Cadangan Jadual Waktu Perjalanan (JWP) ditetapkan Plus Expressways yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu. Beliau berkata, JWP yang dikuatkuasakan untuk enam hari iaitu pada 18, 19, 22, 23, 26 dan 27 September ini. "Kami menjangka jumlah trafik di lebuh raya kendalian kami, terutama Lebuh Raya Utara-Selatan akan meningkat secara mendadak kepada 1.3 juta kenderaan sehari pada waktu puncak berbanding sejuta kenderaan pada hari biasa. "Jadi kami berharap pengguna dapat mengikuti jadual itu yang terbukti menjadi faktor utama menyumbang kepada kelancaran trafik di lebuh raya," katanya. Beliau berkata, ketika perayaan Tahun Baru Cina lalu kira-kira 50 peratus pengguna lebuh raya mengikuti JWP.
"Risalah JWP akan diedar kepada pengguna lebuh raya mulai minggu depan di semua plaza tol utama di negara ini," katanya. Sejumlah 2,500 kakitangan Plus dan 400 anggota polis dan St John Ambulans ditempatkan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya bagi menghadapi peningkatan jumlah trafik. – Bernama
Penulis - alangkah bagusnya jika amalan ini dilaksanakan sejak dulu lagi agar memberi kemudahan kepada semua pengguna PLUS yang telah bertahun menggunakan kemudahan tanpa mengira turun naik minyak. Kaedah ini sepatutnya boleh dilaksanakan pada musim cuti sekolah dan semua cuti yang melibatkan banyak pergerakan kenderaan. Tentang tempoh masa tu bolehlah difikirkan tidak hanya dari 12 tengah malam hingga 7 pagi boleh diberikan juga kemudahan ini kepada pengguna PLUS yang menggunakan lebuh raya pada waktu lainnya agar semua pengguna PLUS mendapat kemudahan yang sama.

Posted in Labels: | 0 comments