Mesti sensitif dan peka
Posted On Thursday, December 20, 2012 at at 12:06 AM by maori
DUNIA semakin hari semakin tua menanti saat sampai ke
penghujungnya. Entah sampai bila bumi ini sanggup menahan kerakusan manusia
yang semakin ghairah melakukan kerosakan demi kerosakan di atas ciptaan Allah
ini.
Cuma kita yang hidup di dunia ini kadangkala
seakan-seakan lupa mengenai kehidupan di alam sana iaitu akhirat. Disebabkan
itu, kita mengambil mudah atau memandang remeh segala perkara dalam keadaan
sedar atau tidak.
Namun, perlu kita peringatkan diri bahawa setiap amalan serta perbuatan kita di dunia akan disoal di depan Allah SWT di akhirat. Kita akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
Jika kita lihat situasi masa kini, antara paling kita
abai serta ketepikan ialah soal halal dan haram. Soal halal dan haram bukan
saja bercampur baur antara satu sama lain, malah lebih malang, ia dikaburkan
segelintir pihak secara sengaja atau tidak.
Sedarilah bahawa setiap yang halal dan haram itu sebenarnya adalah jelas di sisi agama Allah.
Antara penjelasan mengenai halal dan haram adalah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Abdullah An-Numan bin Basyir RA, bermaksud: “Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang samar-samar, kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, barang siapa menjaga dirinya daripada yang samar-samar itu, bererti ia menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan barang siapa terjerumus dalam perkara syubhah (samar-samar statusnya), ia terjerumus ke dalam perkara yang haram...” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Namun, pada hari ini, tidak ramai umat Islam yang sensitif terhadap perkara membabitkan halal dan haram. Sebaliknya, kebanyakan kita menjadi sensitif apabila ada pihak menjadikan sesuatu perkara itu sebagai isu panas.
Seperti contoh, isu murtad yang hangat diperkatakan dan
diperdebatkan sebelum ini. Namun, ia hanya bermusim dan selepas berlalu
‘musimnya’, kita mula melupakan isu ini.
Pada masa sama, kita selalu mengambil mudah perkara membabitkan halal, haram serta syubhah. Contoh paling mudah adalah dalam hal makan dan minum kita. Kita boleh melihat di Internet, ada gambar personaliti tertentu bersama botol atau gelas berisi arak. Lebih malang lagi apabila personaliti itu beragama Islam.
Bukankah lebih elok jika beliau, atau mana-mana orang Islam, tidak menghadiri atau membabitkan diri di tempat yang boleh menimbulkan fitnah seperti itu.
Saya memahami jiwa orang muda yang sukakan hiburan tetapi perlu berhati-hati dengan saluran hiburan yang kita pilih. Jangan apabila mengetahui ia jelas haram, kita masih memilih jurang kerosakan berkenaan yang akhirnya mengundang padah tanpa kita sedari.
Dalam hal pemakanan pula, masih ada segelintir saudara sesama Islam yang mengambil pendekatan mudah dengan melihat logo halal.
Asalkan ada logo ‘halal’, halallah makanan berkenaan pada pandangannya tanpa mengambil berat sama ada logo halal itu diiktiraf atau tidak.
Samalah keadaannya ketika membeli makanan pek di pasar raya mahupun makanan di restoran. Ada yang berpendapat jika tiada bahan haram seperti ‘khinzir’ atau ‘arak’ dalam makanan atau minuman berkenaan, tidak salah untuk dimakan walaupun diberitahu pihak tertentu yang ia haram.
Sama juga senario yang sering dilihat di kedai makan, asalkan pekerjanya ada rupa Melayu atau ada papan tanda ‘tiada khinzir’ atau seumpamanya, kebanyakan masyarakat menganggap makanan di restoran atau kedai makan itu halal.
Harus diingat, setiap yang dimakan mungkin membentuk darah daging kita. Mungkin juga ia mengalir menjadi sebahagian daripada darah daging yang membentuk zuriat kita.
Tidak mustahil antara punca keruntuhan akhlak yang menggusarkan pada hari ini bertitik tolak daripada punca pemakanan kita.
Malah, antara penyebab mengapa kita terlalu ‘liat’ untuk melakukan ibadah disebabkan faktor sumber haram yang kita makan. Oleh itu sentiasa berwaspada ketika memilih makanan dan minuman.
Dalam soal pertuturan seharian kita pula, kita harus berhati-hati dengan apa yang kita lafaz kerana dibimbangi akan menyebabkan akidah kita terpesong. Kadangkala, kata-kata kita seolah-olah menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan.
Firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl, ayat 116 bermaksud: “Jangan kamu berkata dusta menurut yang diterangkan oleh lidahmu sendiri; Ini halal dan ini haram, supaya kamu mengadakan dusta terhadap Allah. Sesungguhnya, orang-orang yang mengadakan dusta terhadap Allah tidak beroleh kemenangan.”
Saya sedih melihat kebanyakan kedai nombor ramalan judi
dipenuhi orang Islam daripada segenap lapisan usia. Lebih pilu lagi apabila
melihat ada mereka yang berumur lebih 60 tahun, tanpa segan silu dan rasa
bersalah, beratur bersama-sama yang bukan Islam.
Pernah terdengar kata-kata dilafazkan seseorang beragama Islam yang kecewa apabila nombor ramalan judinya tidak ‘mengena’ dengan menyebut: “Allah, sikit je lagi nak kena.” Begitu juga sebaliknya, barangkali ada yang menyebut, “Alhamdulillah, kena juga nombor ramalan aku kali ni.” Kata-kata seperti ini boleh membatalkan iman kita. Nauzubillah Min Zalik (kami berlindung dengan Allah daripada hal itu).
Baru-baru ini, saya melihat sebuah video yang banyak dikongsi kenalan di Facebook. Saya sangat terkejut apabila menonton video itu yang menemubual seorang ibu yang sanggup berzina dengan anak lelaki sulungnya selepas ketiadaan suaminya di sisi.
Lebih mengejutkan apabila si ibu, tanpa rasa bersalah, menyatakan: “... daripada berzina dengan orang lain, lebih baik saya berzina dengan anak sendiri.” Beristighfar panjang saya selepas menyaksikan video berkenaan. Manusia semakin jahil akibat jauh daripada hidayah Allah.
Tidak hairan bala dan bencana Allah datang bertimpa- timpa pada akhir zaman ini. Namun demikian, bagi mereka yang tidak mahu menginsafi, bala yang datang dilihat tidak lebih daripada sekadar lumrah alam.
Sebagai Muslim, kita mesti mengambil iktibar bahawa setiap bala yang Allah timpa ke atas manusia adalah kerana kelalaian manusia.
Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum, ayat 41 bermaksud: “Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan benar).” Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud: “...Ketahuilah bahawa dalam diri ini ada segumpal daging, jika ia baik, baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.” Jadi, cerminlah diri dan tanya iman sama ada kita kita tergolong dalam kumpulan ini secara sedar atau tidak.
Sumber:
www.hmetro.com.my