SALAM SEJAHTERA & SALAM PERPADUAN
SELAMAT DATANG
Semoga Ilmu Yang Ada Dapat Membantu Anda
Posting yang ada laman web ini adalah bertujuan perkongsian ilmu, pengetahuan dan maklumat untuk manfaat bersama. Jika ia bukan sumber asal penulis blog ini, maka sumber asalnya akan dinyatakan.

Kelebihan 10 malam terakhir bulan Ramadhan Al Mubarak

Kita sekarang berada hampir pada hari-hari yang dikenali sebagai sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. Sebelum kita meninggalkan Ramadhan ini, penulis ingin mengajak saudara-saudara sekelian, untuk kita bersama-sama merenung kembali, apakah yang telah kita isikan pada hari-hari yang lepas. Apakah amalan-amalan, ibadah-ibadah yang boleh kita persembahkan kepada Allah kelak, ibadah-ibadah yang boleh kita banggakan dihadapan Allah kelak.

Sudahkah kita merebut peluang-peluang yang telah disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini, atau kita telah mensia-siakannya?

Beruntunglah mereka yang telah benar-benar manfaatkan masa mereka di bulan Ramadhan ini untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Pada siang hari mereka berpuasa. Berpuasa bukan sahaja perut mereka, malah berpuasa seluruh anggota badan mereka. Mereka menjaga mata mereka dari melihat pandangan yang haram. Mereka menjaga telinga mereka dari mendengar yang haram. Mereka menjaga lidah mereka dari berkata yang sia-sia. Kemudian pada malam harinya, mereka penuhkannya dengan ibadah, dengan solat terawih, solat witir dan solat tahajjud. Siang dan malam mereka penuhkan masa mereka dengan membaca Al-Quran. Untuk mereka pengampunan dari Allah dan balasan yang berlipat ganda. Semoga kita tergolong dalam jenis orang-orang seperti ini, amin.

Adapun mereka yang cuai, yang leka dari merebut peluang bulan Ramadhan ini, maka sedarlah. Sedarlah bahawa Ramadhan adalah bulan hadiah dari Allah, bulan dimana segala pintu syurga dibuka dan segala pintu neraka ditutup. Bulan dimana Allah s.w.t melepaskan hamba-hambanya dari neraka pada setiap malam. Adakah kita termasuk dalam golongan tersebut?

Maka bagi orang-orang ini, ketahuilah bahawa Ramadhan masih ada sisa-sisa harinya. Masih ada peluang untuk merebut pengampunan dan rahmat dari Allah. Ambillah peluang ini. Rebutlah anugerah Allah. Janganlah sampai Ramadhan meninggalkan kita tanpa mendapat pengampuan dari Allah.

Sepuluh malam terakhir dari Ramadhan merupakan antara malam-malam yang istimewa. Didalamnya ada satu malam yang teramat istimewa. Malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Alangkah beruntungnya mereka yang dapat beribadah pada malam ini. Sesungguhnya dia seperti telah beribadah lebih dari 1000 bulan atau lebih 83 tahun. Firman Allah di dalam surah Al-Qadr:

Maksudnya: Adakah kamu tahu apakah dia itu lailatul qadar? Lailatul qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan.

Dan sabda Rasulullah s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Maksudnya: Carilah malam Lailatul Qadar pada sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadhan.

Inilah hari-hari sepuluh yang terakhir. Hari-hari dimana Rasulullah s.a.w giat beribadah dan beritikaf di masjid. Bilakah akan berlaku Lailatul Qadar? Tidak ada yang tahu dengan tepat. Allah s.w.t merahsiakannya dari manusia agar kita sentiasa giat beribadah pada setiap malam, agar bertepatan dengan malam Lailatul Qadar.

Malangnya, saudara-saudara sekelian, pada malam-malam inilah godaan nafsu begitu kuat. Pada sepuluh hari terakhir inilah sebilangan umat Islam semakin leka dan cuai. Leka dan cuai dari beribadat kerana sibuk memikirkan dan bersiap untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Ada sebahagian dari kita yang sanggup mengorbankan solat Terawih mereka, hanya sekadar ingin berbelanja bagi menyambut Aidilfitri. Oleh itu kita lihat jemaah yang bersolat di masjid-masjid berkurangan apabila Hari Raya semakin dekat. Alangkah sedihnya! Alangkah ruginya!

Ada juga sebahagian kita yang sanggup mengorbankan tidur mereka kerana bersiap-siap menyambut Aldilfitri. Adakah mereka juga sanggup menggorbankan tidur mereka untuk mengerjakan solat Tahajjud dan ibadah-ibadah lain?

Islam tidak melarang umatnya bersiap menyambut ketibaan Aidilfitri dan gembira. Malah Islam menganjurkan agar kita memakai pakaian yang paling baik pada Aidilfitri. Akan tetapi kita mesti sedar bahawa Islam juga menganjurkan kesederhanaan. Islam memerintahkan pengikutnya agar tidak boros berbelanja sehingga sampai kepada tahap membazir kerana orang yang membazir adalah saudara Syaitan. Memadailah kita menyambut Aidilfitri tanpa berbelanja besar, apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang suram dan lembab sekarang ini. Kita perlu berjimat-cermat. Kita perlu tahu bahawa kegembiraan menyambut Aidilfitri bukan terletak pada baju yang baru dan mahal, bukan juga terletak pada hiasan dan perabot rumah yang baru. Tetapi kegembiraan menyambut Aidilfitri adalah kejayaan menjalan ibadah-ibadah yang banyak sepanjang Ramadhan, dan kejayaan melawan hawa nafsu. Inilah kegembiraan sebenarnya bagi orang-orang Islam.

Semoga kita diberi taufik dan pertolongan dari Allah untuk mempergiatkan lagi ibadah kita pada malam-malam akhir Ramadhan ini. Semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang untuk bertemu Ramadhan yang akan datang. Ramadhan kehadiranmu dirindui pergimu ditangisi oleh mereka yang benar-benar menghayatinya. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat maghfirah Allah.

Posted in Labels: |

0 comments: