Sultan Johor Mangkat
Posted On Saturday, January 23, 2010 at at 4:08 PM by maoriJOHOR BAHRU: Sultan Johor, Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, yang memerintah Johor hampir tiga dekad, mangkat pada jam 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini kerana gering.
Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pejabat Kerajaan Negeri, Bukit Timbalan, kira-kira jam 11.30 malam tadi. Baginda yang meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 putera dan puteri, akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, kira-kira jam 2 petang ini.
Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada jam 11.30 pagi Jumaat, 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
Terdahulu, di Istana Besar di sini, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad, mengumumkan pelantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail sebagai Pemangku Raja. Pelantikan itu dibuat mengikut Fasal 9(1)(b) dan 9(2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.
Abdul Ghani pada sidang akhbarnya, berkata pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor pada jam 1 tengah hari di Istana Besar sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar. Beliau turut mengumumkan hari ini cuti umum untuk seluruh negeri Johor dan semua majlis rasmi termasuk hiburan serta keramaian dibatalkan, manakala tempoh berkabung ialah selama tujuh hari dengan semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang bermula jam 6 pagi hingga 6 petang.
Abdul Ghani berkata, baginda dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangkat pada jam 7.15 malam tadi. Katanya, manakala Istiadat pemakaman Diraja akan bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Besar Istana Besar di sini, dengan orang ramai boleh menziarahi jenazah sehingga jam 10.30 pagi.
Al Fatihah.
Moga roh al marhum sultan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman
Amin ya rabbal alamin
Sumber:www.bharianonline.com.my