Chelsea patah ego Manchester United
Posted On Monday, August 10, 2009 at at 11:44 PM by maori
WEMBLEY: Salomon Kalou menyempurnakan sepakan penalti kemenangan ketika Chelsea menundukkan Manchester United 4-1 menerusi penentuan penalti buat meraih kejuaraan Perisai Komuniti dalam aksi kompetitif sulung Carlo Ancelotti selaku pengendali.
Aksi pembuka tirai tradisi musim bola sepak Inggeris itu di Stadium Wembley, malam tadi tidak menyaksikan tahap permainan hebat, tetapi disaingi sengit dengan penyudah yang mendebarkan.
United yang bakal mempertahankan gelaran EPL tanpa kelibat Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez berjaya mendapatkan gol awal apabila Nani membuka tirai jaringan selepas perlawanan berlangsung 10 minit.
Apapun, Ricardo Carvalho cantik menyudahkan peluang buat menyamakan kedudukan untuk Chelsea pada minit ke-52.
Dengan perlawanan terikat 1-1, pemain United, Patrice Evra terbaring di padang selepas dikasari Michael Ballack ketika pemain tengah Chelsea, Frank Lampard menjadikan kedudukan 2-1.
Jaringan itu menjelmakan reaksi berang pemain United yang berasakan perlawanan patut dihentikan. Tetapi juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi penyerang England, Wayne Rooney.
Tahniah ! Chelsea dan Manchester United yang bermain dengan bersungguh-sungguh. Ini patut dicontohi oleh pemain Liga Super Malaysia. Harapan saya agar perlawanan sepanjang liga EPL dan lain-lain liga akan dapat dicontohi oleh pemain-pemain dari Malaysia. Kepada peminat "tegar" sokonglah pasukan pilihan anda.